Saturday, 25 February 2012

MAT SABUN NORMAH 121 GAGAL !!!



Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hari ini gagal dalam permohonannya untuk mengetepikan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Butterworth atas dakwaan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Mohd. Amin Firdaus Abdullah membuat keputusan tersebut atas alasan ia tidak melibatkan isu pokok bagi menentukan sama ada kes boleh didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana ia melibatkan isu sejarah.

Menurutnya, kedua-dua pertuduhan yang dikenakan terhadap Mohamad boleh dihukum mengikut seksyen tersebut semata-mata berdasarkan intipati kesalahan dan tidak berasaskan fakta sejarah.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa hak membuat pendakwaan adalah terletak di tangan pendakwa raya, justeru hanya pihak pendakwaan boleh menarik balik, menolak atau mengetepikan pendakwaan.

Mohd. Amin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan peguam-peguam, Mohamed Hanipa Maidin dan Aminuddin Zulkifli yang mewakili Mohamad serta Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim bagi pihak pendakwaan.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Ahli politik pembangkang itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam, 21 Ogos tahun lalu.

Mohamed Hanipa kemudian memohon mahkamah membenarkan penangguhan perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Sesyen sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan namun dibantah oleh Suhaimi yang menjelaskan permohonan peguam terbabit tidak berasas sama sekali.

Mohd. Amin Firdaus bagaimanapun menolak permohonan penangguhan tersebut dan memerintahkan kes itu diteruskan oleh Mahkamah Sesyen.

Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen Butterworth dekat sini, Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin menetapkan 26 Mac ini bagi sebutan semula kes tersebut.

Mohamad mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Utusan






1 comment: