Thursday, 22 November 2012

ANWAR IBARAT ULAR LIDAH BERCABANG !!!



Dewan Rakyat meluluskan usul tergempar mengutuk serangan dan keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel dengan disokong sebulat suara oleh semua ahli parlimen Selasa lalu.

Usul tersebut dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dibaca oleh Perbahasan digulung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Usul itu diluluskan setelah tiga jam perbahasan oleh anggota Dewan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang yang lain.

Anwar dalam membahaskan usul tersebut turut mengutuk dengan keras perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap penduduk Gaza yang lemah lagi tertindas.

Malah Anwar dengan lantangnya mengesyorkan supaya Kerajaan Malaysia mengambil langkah lebih drastik untuk menghalang rejim Zionis terus menindas penduduk bumi Palestin yang di bawah cengkamannya.

Bagi sesiapa yang mendengar ucapan Anwar yang berapi dan begitu tegas, sudah tentu akan teruja dan tertarik dengan sikap beliau yang seakan-akan sama dengan pendirian kerajaan Barisan Nasional.

Malah boleh dikatakan ketua Umum PKR itu seolah-olah mahu dilihat sebagai pejuang dan pendokong kuat kepada perjuangan rakyat Palestin yang telah dirompak serta dijarah tanah air mereka oleh sang penindas Zionis Yahudi sejak 1948.

Tetapi apakah benar kenyataan Anwar yang mengutuk serangan terbaru Zionis ke atas penduduk Gaza satu pendirian beliau yang harus dipercayai oleh umat Islam di negara ini.

Adakah kenyataan keras beliau lebih baik daripada dasar berterusan kerajaan BN yang bukan sahaja telah mengutuk tindakan kejam rejim Zionis Yahudi sejak dari era Merdeka lagi tetapi telah memberi sokongan moral dan material kepada perjuangan untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan kaum Yahudi.

Disetiap peluang pada pentas persidangan mesyuarat antarabangsa termasuk perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, wakil Malaysia akan berdiri di hadapan perwakilan menyatakan tanpa selindung dan ragu pendirian tegas negara berhubung isu Palestin.

Dasar dan pendirian Malaysia tidak pernah berubah sejak 55 tahun lalu berhubung isu Palestin.

Ini berlainan pula dengan Anwar yang berubah-ubah pendiriannya terhadap Israel.

Kalau semasa di dalam Kabinet, beliau akur dan patuh kepada pendirian kerajaan namun setelah disingkir daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, rakyat mula melihat sikap sebenar atau 'true colours' Anwar berkaitan isu Palestin.

Kenyataan beliau semasa ditemuramah oleh akhbar Wall Street Journal pada 26 Januari tahun ini menyerlahkan keyakinan Anwar dalam konteks konflik Palestin-Israel.

Kata beliau, "I support all efforts to protect the security of the state of Israel." atau "Saya menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel." 

Seperti juga kenyataan songsang anaknya, Nurul Izzah yang seolah-olah mengalakkan orang Melayu murtad tidak dapat disangkal, begitu juga  kalimat yang diucapkan oleh Anwar tidak mampu dinafikan walaupun sedaya mungkin mahu dijelaskan dengan pelbagai cara.

Hakikatnya Anwar cuba mempamerkan sikap talam dua muka menyokong perjuangan rakyat Palestin tetapi malangnya pada masa yang sama juga mencintai musuh yang membunuh beribu kanak-kanak, wanita, orang tua serta rakyat Palestin yang tidak berdosa sejak 64 tahun menduduki wilayah tersebut.

Pendirian bermuka-muka Anwar ini adalah kerana beliau tidak mahu kehilangan sokongan kawan-kawan Yahudinya yang berpengaruh di Washington dan London dalam usaha politik untuk menjadi Perdana Menteri.

Jika beliau tidak menyokong golongan Yahudi kaya yang terus membiayai rejim Zionis untuk melakukan kekejaman ke atas rakyat Palestin, maka tiadalah harapannya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Maka kutukan Anwar terhadap kezaliman rejim Zionis di Gaza semasa perbahasan usul tergempar itu hanyalah usaha untuk menutup sikap munafik beliau yang secara senyap dan terang menyokong Israel dan golongan Zionis-Yahudi.

Beliau pernah menuding jari mengkritik hebat tindakan kerajaan mengupah firma komunikasi APCO dan mengaitkan syarikat itu dengan tokoh-tokoh Yahudi di Israel dan Amerika Syarikat tetapi lupa bahawa beliau sentiasa di dalam dakapan pemimpin Yahudi ketika berada di luar negara.

Siapakah yang ditemui oleh Anwar setiap kali beliau bertandang ke Amerika Syarikat jika tidak pemimpin-pemimpin Yahudi yang telah beliau kenali dengan rapat semasa berada di dalam kerajaan lagi ???

Jadi janganlah rakyat Malaysia tertipu oleh sikap lunak yang cuba ditunjukkan oleh Anwar berhubung isu Palestin kerana sebenarnya itu hanya topeng yang dipakai luaran untuk menyembunyikan agenda sebenarnya.



No comments:

Post a Comment