Sunday, 25 November 2012

NASIHAT BUAT PERWAKILAN - #PAU2012 SEMAKIN HAMPIR !!!


PAU 2012 semakin hampir menjelang dalam 3 hari lagi.


Para perwakilan dinasihatkan tidak menyinggung sensitiviti mana-mana pihak ketika membentangkan usul dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berlangsung mulai 27 November hingga 1 Disember ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, walaupun perwakilan bebas bersuara, mereka seharusnya membahaskan usul masing-masing secara berhemah.

"Kita memang ada kebebasan. Kita terima semua usul, ada yang bahas dan ada yang tidak bahas. Namun, sebagai sebuah parti yang berteraskan kaum, kita juga bimbang.

"Kita minta perwakilan bertenang sedikitlah. Kalau hendak sebut, sebutlah tetapi jangan menyakitkan hati orang lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat media menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Menara Datuk Onn, PWTC di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd. Rauf Yusoh.

Tengku Adnan mengulas tentang kemungkinan perwakilan membentangkan usul-usul sensitif termasuk isu hudud dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Perhimpunan selama lima hari itu akan dihadiri seramai 5,447 perwakilan UMNO dari seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Perhimpunan Agung UMNO tahun ini dijangka lebih banyak berkisar tentang persiapan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Seperti yang berlaku dalam perhimpunan Agung MCA dan Gerakan sebelum ini, UMNO juga akan melakukan perkara serupa.

"Perhimpunan Agung UMNO tahun ini juga akan berlangsung dalam suasana parti yang bebas daripada pergolakan dalaman dan ahli-ahlinya yang bersatu teguh," ujarnya.

Sementara itu, jelas Tengku Adnan, langkah-langkah keselamatan akan diperketatkan bagi memastikan perhimpunan agung tersebut berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. - Utusan




No comments:

Post a Comment