Monday, 24 December 2012

KONVENSYEN BN BOLEH UBAH SIKAP PEMIMPIN BN !!!



Bahang Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13) semakin hari semakin terasa kehangatannya khususnya dikalangan pemimpin parti politik malah para pengundi juga kian tidak sabar untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi demi negara tercinta.

PRU 13 ini diramalkan oleh ramai pemerhati politik sebagai yang paling mencabar bagi BN selaku juara bertahan berikutan tentangan sengit yang bakal dihadapi dari gabungan tidak rasmi parti-parti pembangkang yang kini bersekongkol di bawah nama PR.  

Walaupun dari segi trend sokongan pengundi dan kajian semasa pilihanraya jelas menunjukkan BN terus berada di depan, namun cabaran sengit yang dijangkakan ramai ini tetap memerlukan perhatian khusus dari pucuk pimpinan BN.

Sekarang bukan masanya untuk goyang kaki dan berasa lega dengan pelbagai kajian semasa yang memihak kepada BN sebaliknya tempoh waktu yang berbaki ini sewajarnya diguna pakai sebaik-baiknya supaya PRU 13 kelak benar-benar menjadi milik kita.

Amat penting bagi BN  melakukan persiapan rapi bukan sahaja untuk menebus kembali kehilangan beberapa negeri semasa PRU 2008, tetapi juga demi memastikan majoriti dua pertiga mampu diperolehi kembali.

Oleh itu, selain melipat gandakan persediaannya lebih daripada biasa, disarankan juga agar satu Konvensyen BN Pusat dianjurkan sebagai langkah tambahan untuk menyuntik semangat menjelang PRU 13 nanti.

Langkah ini penting bukan sahaja untuk memotivasikan pemimpin, ahli dan penyokong BN tetapi juga berperanan untuk memperkukuhkan semangat kerjasama serta dimanfaatkan untuk menyelaraskan tugasan sesama komponen BN.

Di masa yang sama ia dapat dijadikan landasan untuk menjawab isu-isu terkini yang dipropagandakan oleh pembangkang, dengan demikian ia akan menjadi input berguna untuk anggota parti semasa kempen pilihanraya kelak.

Disamping itu dengan adanya konvensyen ini juga akan membolehkan parti-parti komponen BN memahami lebih lanjut isi kandungan manifesto BN seterusnya memudahkan petugas-petugas parti menjalankan tanggungjawab menyebar luas kepada para pengundi di kawasan masing-masing.

Dengan reputasi BN sebagai gabungan berdaftar yang terbukti sentiasa menepati janjinya, ditambah dengan langkah tambahan mengadakan konvensyen ini ia bakal menjadi bonus penting ke arah mencipta kejayaan yang lebih besar pada PRU 13 nanti.


No comments:

Post a Comment