Tuesday, 25 December 2012

TRAGEDI PAGI KRISMAS BUAT IBU TUNGGAL !!!


Gambar sekadar hiasan

Perayaan Krismas yang sepatutnya disambut meriah oleh penganutnya hari ini bertukar tragedi bagi seorang ibu tunggal apabila rumahnya di Flat Sri Kelantan, Sentul di sini musnah dalam kebakaran.

K.Gerjarani, 52, berkata ketika kejadian 11 pagi itu, beliau dan anak perempuannya berumur 27 tahun tiada di rumah sebelum dimaklumkan oleh jiran mengenai kebakaran yang berlaku di unitnya yang terletak di tingkat 16.

"Saya baru keluar rumah untuk bersarapan, namun selepas mendapat panggilan, saya terus bergegas pulang dan mendapati rumah saya hangus sepenuhnya. Tiada barangan yang sempat diselamatkan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Gerjarani yang bekerja sebagai kerani di klinik swasta berkata kejadian itu turut mengorbankan dua kucing yang dipeliharanya di rumah yang didiami sejak 20 tahun.

"Saya tak kisah pasal rumah, rumah boleh dicari, tapi saya sedih kucing yang menjadi peneman saya selama ini, mati," kata wanita itu yang berpakaian tradisi masyarakat Punjabi sempena sambutan Krismas.

Gerjarani menganggarkan kerugian yang dialaminya sekitar RM20,000.

Sementara itu, seorang jirannya Zaitun Mohd Safi, 58, berkata beliau menyedari kebakaran itu apabila terlihat asap keluar dari bahagian dapur rumah mangsa.

"Saya terus hubungi jiran saya. Sementara dia sampai, jiran-jiran cuba pecahkan pintu rumahnya tapi tak berjaya. Saya hubungi bomba untuk bantuan," kata suri rumah itu.

Dalam pada itu, Komander Operasi Kanan Ibu Pejabat Bomba Dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Sulaiman Tan Abdullah berkata selepas menerima panggilan pada 11.05 pagi, 35 anggota dari balai bomba Sentul, Chow Kit dan Gombak dikejarkan ke tempat kejadian.

Punca kejadian dan nilai sebenar kerugian masih disiasat, katanya. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment