Friday, 25 January 2013

NYAWA PENDUDUK TERANCAM !!! MBSA GAGAL - PAKATAN HARAM SELANGOR TUNGGU ADA NYAWA YANG MELAYANG !!!


Kira-kira 1,000 penghuni Pangsapuri Indahria di Seksyen 22 di sini dilanda kebimbangan ekoran masalah rekahan tanah yang menyebabkan struktur kediaman mereka retak sejak setahun lalu.

Penduduk mendakwa ia berpunca daripada beberapa batang tiang struktur bangunan letak kereta bersebelahan blok pangsapuri 15 tingkat itu patah awal tahun lepas diikuti rekahan tebing akibat hakisan tanah di tepi Sungai Damansara.

Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, jalan raya di tepi pangsapuri itu yang menghala ke kawasan letak kenderaan turut retak dan hanya ditutup dengan plastik oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak September lalu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Indahria, Anuar Pin berkata, pihaknya telah merujuk masalah itu kepada pemaju, Shanghai Realty (M) Sdn. Bhd. tetapi setakat ini tiada tindakan diambil.

Dakwanya, pemaju sebaliknya menyalahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana menjalankan projek mendalamkan anak sungai yang terletak bersebelahan pangsapuri itu pada bulan Mac tahun lalu.


"Pemaju sebenarnya tahu masalah keretakan bangunan pangsapuri telah berlaku sebelum kerja-kerja mendalamkan sungai dijalankan.

"Sebenarnya projek JPS ini telah berjaya menghalang keretakan lebih besar berlaku selepas mereka membina tembok penghadang hakisan," katanya di sini semalam.

Anuar berkata, penduduk kecewa dengan kegagalan MBSA menyelesaikan masalah itu walaupun beberapa perbincangan dilakukan sejak Mei tahun lalu.

Seorang penduduk, Hishamudin Ali, 39, berkata, masalah serupa pernah berlaku pada tahun 2010 namun ia telah diselesaikan pemaju setelah mendapat perhatian media.

Dakwanya, syarikat pemaju telah diberitahu oleh syarikat perunding yang mereka lantik sendiri mengenai pergerakan tanah yang boleh menjejaskan struktur bangunan itu.

"Sekarang bukti sudah di depan mata. Mengapa pemaju dan MBSA masih gagal menyelesaikan masalah ini sedangkan ia sudah setahun berlaku.

"Kami harap mereka mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu ini dan tidak memperjudikan nyawa penduduk," tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad ketika dihubungi menjelaskan, pihaknya akan memaklumkan masalah itu kepada kerajaan negeri pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada minggu hadapan.

"MBSA akan memastikan sebarang tindakan yang diambil hasil mesyuarat tersebut akan dapat mengatasi masalah tersebut secepat mungkin demi keselamatan penduduk," ujarnya. - Kosmo!




No comments:

Post a Comment