Thursday, 21 February 2013

UITM JEJAKI 5,000 PELAJAR SELURUH NEGARA !!!



Universiti Teknologi Mara (UiTM) memulakan misi penjelajahan ke seluruh negara bagi mencari 5,000 pelajar miskin yang berkelayakan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti itu.


Naib Canselornya, Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata program Jelajah Destini Anak Bangsa (JDAB) 1Malaysia 2013 itu diadakan secara besar-besaran dengan turut membabitkan 1,000 sukarelawan universiti berkenaan.

"Dalam penjelajahan ini kita akan mencari pelajar-pelajar daripada kalangan keluarga miskin tegar yang layak untuk memasuki universiti ini di peringkat pra diploma terlebih dahulu.

"Ini untuk merealisasikan hasrat UiTM bagi mengubah nasib anak Melayu dan bumiputera miskin menerusi suatu proses pemindahan ilmu secara formal di universiti ," katanya selepas majlis makan malam bersama media di sini Rabu malam.

Sahol Hamid berkata sejak dilancarkan beberapa tahun lalu, seramai 16,000 pelajar telah diambil memasuki UiTM dan 87 peratus daripadanya telah diserap masuk ke program diploma.

"Kita mendapat dana RM25 juta untuk membiayai pelajar-pelajar ini menyambung pelajaran mereka dengan kerjasama pelbagai agensi seperti bank tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Beliau berkata para pensyarah universiti itu sanggup membuat potongan gaji setiap bulan untuk disumbangkan kepada dana itu yang membuktikan komitmen tinggi UiTM.

Katanya, selain penjelajahan JDAB, pihaknya juga turut mengadakan program Kesukarelawan Perdana UiTM 2013 yang membabitkan sukarelawan termasuk artis tempatan dalam memberi khidmat bakti seperti mengadakan majlis ceramah dan gotong royong.

"Turut sama beberapa bas bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di lokasi tertentu," katanya.

JDAB dinaungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mana program itu bertujuan membantu anak-anak golongan kurang berkemampuan di luar bandar, pedalaman dan miskin bandar untuk menyambung pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Pelajar yang terpilih perlu mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya tiga kredit di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan jika diterima masuk, mereka diberikan penginapan secara percuma termasuk wang saku.

Hadir sama pada majlis itu beberapa artis tempatan seperti Adira AF, Danny XFactor dan Syed Aiman. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment