Saturday, 23 March 2013

KEMISKINAN DI KELANTAN BUKAN SANDIWARA TAPI REALITI - TIANG CHUA !!!



Kemiskinan di Kelantan adalah suatu realiti tetapi malangnya telah dikaburkan dengan pelbagai persepsi oleh sesetengah pihak sehingga menyebabkan keadaan itu seolah-olah menjadi kebenaran yang 'tersembunyi'.


Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Bahagian Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Ibrahim Che Omar berkata, kajian beberapa buah universiti menunjukkan bahawa Kelantan adalah negeri ketiga termiskin selepas Sarawak dan Sabah dengan bilangan penduduk miskin lebih 58,000 orang, manakala 1,800 daripadanya dalam kategori miskin tegar.

Bagaimanapun, Ibrahim yang juga Pengarah Kampus UMK Jeli berkata, penduduk miskin di negeri ini seperti dibiarkan mencari jalan keluar sendiri daripada masalah mereka tanpa sokongan bersungguh-sungguh pihak yang diangkat sebagai pemimpin.

"Benar, kemiskinan adalah perkara yang kita tidak mungkin basmikan kerana ia suatu ketentuan Allah di mana ada kelompok yang sudah ditakdirkan mempunyai rezeki yang lebih dan ada pula yang mendapat kurang daripada kelompok yang lain.

"Tetapi ini tidak bermakna pemimpin tidak bertanggungjawab untuk mengurangkan kadar kemiskinan rakyatnya sedangkan ini adalah amanah yang akan disoal pada akhirat kelak.

"Kebanyakan pemimpin hanya pandai bercakap tetapi tidak pula mahu mengikuti contoh yang selalu disebut seperti yang dilakukan Khalifah Islam, Umar Al-Khattab yang keluar menyamar pada waktu malam mencari rakyat miskin sehingga menjumpai ibu yang memasak batu untuk anak-anak yang kelaparan.

"Kisah ini menunjukkan bahawa menyelesaikan masalah kemiskinan adalah suatu perkara yang menjadi kewajipan seorang pemimpin tetapi setakat mana kita sebenarnya telah mengikut panduan yang ditinggalkan Rasulullah dan para sahabat baginda menjadi tanda tanya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Forum Bicara Rakyat bertajuk "Kemiskinan di Kelantan: Antara Tanggapan dan Realiti" anjuran MPN Bahagian UMK yang dihadiri 250 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) daerah Pasir Mas di sini hari ini. - UTUSAN


1 comment:

  1. Tq bro..info pasal kemiskinan ini harap kita yg berblogging ini juga dpt main peranan sama membantu. salam

    ReplyDelete