Kerajaan tidak akan memberi sebarang amaran kepada mana-mana pihak yang bercadang mahu mencetuskan huru-hara sebaliknya akan terus bertindak secara tegas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebarang kompromi dengan pihak tertentu khususnya pemimpin pembangkang yang sedang menghasut rakyat turun ke jalanan bagi mencetus rusuhan sekaligus menjayakan hasrat menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Saya tidak akan memberi amaran tetapi tunggulah tindakan tegas," katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas tindakan yang bakal diambil ke atas pemimpin pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merancang mencetuskan huru-hara.
Isnin lalu, pemimpin pembangkang seperti Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) R. Sivarasa dan Tian Chua ketika berceramah dalam Perhimpunan Tragedi 13 Mei secara terbuka menghasut rakyat ke jalanan bagi menumbangkan kerajaan BN melalui kaedah rusuhan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri yang diterajui kepimpinan baharu bersedia sepenuhnya memastikan kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara kekal terpelihara dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada.
"Pencegahan itu lebih baik daripada penyelesaian, dan pencegahan awal itu lebih murah 'harganya' berbanding penyelesaian masalah. Saya akan guna pendekatan itu agar pihak kerajaan tidak disanggah dan mereka (pembangkang) juga tidak melakukan penyanggahan," jelasnya.
Sementara itu, mengulas kecaman pembangkang selepas beliau meminta pihak tidak setuju dengan sistem pilihan raya Malaysia berhijrah ke negara republik jika menjadikan isu undi popular sebagai alasan, Ahmad Zahid berkata, pembangkang melenting kerana mereka cuba menipu rakyat.
"Orang yang makan cili memang akan terasa pedasnya, sebab itu pemimpin seperti Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng melenting dengan kenyataan saya, tetapi apa yang dinyatakan adalah hakikat dan sudah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment