Demi nafsu buasnya, seorang guru yang diberi tanggungjawab mendidik bertindak di luar batasan apabila sanggup merogol pelajarnya sendiri selepas memaksa mangsa menonton video lucah di sebuah bilik rumahnya, di Sungai Besar, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Noor Mushar Muhammad berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek berusia 34 tahun itu menghantar mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah ke sebuah klinik kesihatan.
Menurutnya, mangsa yang berusia 16 tahun itu menaiki kereta suspek ke klinik itu untuk menghantar sample kahak kerana dipercayai menghidap penyakit tibi.
“Suspek memberhentikan kereta di hadapan klinik kesihatan itu dan mangsa turun kereta untuk menghantar sample kahak tersebut ke makmal klinik terbabit.
“Setelah selesai menghantar sample, mangsa terus kembali ke kereta gurunya itu dan kemudian suspek sempat bertanya kepada mangsa hendak ke mana, sebelum terus memandu kereta menuju ke rumahnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Noor Mushar berkata, sebaik mangsa tiba di rumah, suspek terus menarik tangan mangsa menuju ke bilik belakang rumahnya sebelum memaksa mangsa yang berdiri di hujung katil berdekatan pintu duduk di atas katil.
“Suspek cuba memancing mangsa dengan memaksa mangsa menonton video lucah sebelum bertindak merogolnya. Mangsa yang berada dalam ketakutan hanya mampu berdiam diri dan merelakan perbuatan gurunya itu,” katanya.
Bagaimanapun, Noor Mushar berkata, mangsa yang kembali ke sekolah keesokannya itu mengadu perbuatan suspek kepada guru kaunseling sebelum pihak sekolah menghubungi penjaga mangsa untuk memaklumkan kejadian itu.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya.
Sementara itu, katanya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam telah berjaya menahan guru itu di hadapan sekolahnya kira-kira jam 3.40 petang kelmarin.
“Laporan polis dibuat keluarga mangsa sehari selepas kejadian dan suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Noor Mushar berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. – Sinar Harian
No comments:
Post a Comment