Saturday, 15 August 2015

RANCANGAN GULING KERAJAAN IKUT "PINTU BELAKANG" DIDEDAH !!!


Pergh... Ini betul-betul satu pendedahan panas yang dibuat oleh TPM baharu, DS Ahmad Zahid Hamidi!!

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan didalangi oleh seorang tokoh UMNO yang juga pemimpin Barisan Nasional (BN).



Beliau berkata rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada anggota Parlimen pembangkang serta menarik anggota Parlimen BN menyokong gerakan mereka untuk menumbangkan kerajaan melalui ‘jalan belakang’.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata: “Saya mendapat tahu tahu ada usaha terancang untuk menggulingkan kerajaan sedia ada oleh pembangkang dan didalangi seorang tokoh UMNO dan (yang juga pemimpin) BN.

“Gerakan tumbang kerajaan melalui ‘pintu belakang’ sedang giat dilakukan dengan usaha mendapatkan statutory declaration (akuan bersumpah) dalam kalangan semua ahli Parlimen pembangkang selain menarik ahli Parlimen BN untuk bubar kerajaan sedia ada melalui pintu belakang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ampang di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata perkara itu serius dan telah mendapat maklumat tersebut daripada “sumber-sumber yang sangat-sangat boleh dipercayai.”

“Usaha ini sedang berjalan, kononnya seluruh 87 anggota Parlimen pembangkang berserta seorang anggota Parlimen Bebas, dengan menjadikan 88 orang, sedang berusaha supaya anggota Parlimen BN menyokong mereka,” katanya.

Tanpa mendedahkan nama tokoh terlibat, Ahmad Zahid berkata peguam kumpulan terbabit dikatakan sedang menyediakan “memorandum tujuh muka surat kertas kuning berserta akuan bersumpah” untuk menyatakan kononnya mereka mendapat suara majoriti bagi mengulingkan kerajaan.

Beliau berkata rancangan mereka itu tidak akan dibenarkan berlaku. “Perkara seserius ini adalah perkara yang akan membawa kepada gelojak politik nasional kerana mereka tidak sanggup mahu menunggu lama (sehingga diadakan) pilihan raya umum (PRU), mereka mahu masuk melalui pintu belakang,” katanya.

Ahmad Zahid turut melahirkan rasa hairannya terhadap usaha untuk mengulingkan kerajaan ini “yang diketuai oleh seorang pemimpin UMNO dan BN” dan menurutnya ia akan terdedah sendiri tanpa perlu didedahkan.

Untuk itu, Ahmad Zahid mahu semua anggota UMNO dan BN termasuk di peringkat akar umbi memandang serius rancangan itu, dan perlu kekal bersatu bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku.

“Kekuatan kita berdasarkan kepada ketaatsetiaan yang merupakan tonggak kepada kekuatan kepemimpinan.

“Bukan sahaja kita mendambakan kekuatan dan sokongan akar umbi dan bahagian (UMNO) kepada presiden parti, tetapi anggota Parlimen BN, saya amat yakin, mereka tidak akan terjebak dan terperangkap dengan permainan pintu belakang yang akan dilakukan oleh tokoh-tokoh tertentu ini,” katanya

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru seluruh anggota UMNO Selangor dan parti komponen BN negeri bekerjasama merancang strategi untuk merampas kembali negeri itu daripada pembangkang dengan tumpuan pada kawasan Lembah Jaya, Bukit Antarabangsa dan Ampang.

“Bangkitlah UMNO Selangor. Lupakan titik bengik. Pemimpin harus turun ke bawah, jangan tebuk kapal yang dilanda badai, sebaliknya pegang layar, tali, sauh dan dayung bersama.

“Kita tidak mahu apabila kapal dilanggar, ahlinya tebuk kapal itu,” kata Ahmad Zahid sambil menambah anggota UMNO negeri harus kembalikan kegemilangan Selangor sepertimana semasa di bawah BN.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar dalam ucapannya mewakili 22 Bahagian UMNO Selangor menyatakan taat setia kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta timbalannya Ahmad Zahid.


“Semua anggota UMNO harus bersatu-padu agar UMNO terus mendapat sokongan rakyat. UMNO Selangor berazam untuk berusaha keras menawan Selangor. Kita bukan susah untuk menang, cuma kena jaga kawasan masing-masing untuk mendapat balik Selangor,” katanya. – BERNAMA


1 comment:

  1. Lupa lak, bila nak pekena dema, mula kata ada akuan sumpah la, ,7 mukasurat la, warna kuning la....cakap siap dgn ekspresi muka pelakon Doraemon....saya ada bukti!!!!!!
    Masa keluar satu draf kononnya dari Peguam Negara nak tangkap Najib, cepat2 nafi pulak....tak srmena2 Gani yg segar bugar terkucil keluar

    ReplyDelete