Wednesday, 2 December 2015

KENAIKAN KOS DAN HARGA JADIKAN SEGELINTIR MANUSIA BIOL OTAK !!! #GST #Petrol #TolNaik


SAYA terpanggil untuk menulis apabila melihat kemewahan gaya hidup kebanyakan rakyat negara kita dalam berbelanja namun dalam masa yang sama mereka cukup nyaring mengecam kepimpinan negara apabila sebahagian barangan atau perkhidmatan mengalami kenaikan harga waima kenaikan tersebut hanyalah 10 sen.

Agak sedikit memualkan apabila setiap kali saya membuka laman-laman media sosial, pelbagai ragam dan reaksi negatif dilemparkan kepada pentadbir negara apabila sesetengah barangan atau perkhidmatan diumumkan untuk kenaikan harga atau kos.



Warga netizen lebih cenderung menghabiskan waktu di laman media sosial untuk mengutuk, mencaci dan menghina daripada mencari solusi bagi mengatasi kenaikan kos tersebut.

Apa yang amat melucukan disebalik semua itu adalah, mereka ini juga yang riak menunjukkan gaya hidup mewah dalam perbelanjaan.

Justeru saya terfikir, apakah kenaikan kos yang diumumkan melibatkan sesuatu barangan atau perkhidmatan itu benar-benar menghimpit dan membebankan rakyat atau semuanya hanyalah retorik bagi mencipta polemik?

Bagi menjawab soalan ini, saya akan kemukakan tiga sahaja contoh untuk anda semua renungkan dan fikirkan bersama.

1- Cukai GST

Mereka ini menimbulkan kecelaruan apabila GST dilaksanakan sehingga ada pula pemimpin pembangkang yang mengatakan kononnya rakyat membayar cukai GST sebanyak RM19 sehari.

Bukankah ianya membawa maksud rakyat membayar GST sebanyak RM570 sebulan, jika demikian faktanya maka pendapatan rakyat Malaysia telah mencecah sekurang-kurangnya RM9,500 sebulan dan ini telah cukup menjadikan rakyat negara kita telah pun berada ditahap berpendapatan tinggi.

Sedangkan hakikatnya, purata GST yang dibayar oleh seorang rakyat tidak sampai pun RM30 untuk sebulan dan bukan semua barangan dikenakan GST seperti barangan makanan mentah basah dan kering.

Tidak tahulah jika pemimpin pembangkang tersebut mengira perbelanjaannya di Starbuck Coffee sebagai perbelanjaan rakyat, ye tak?

Dalam pada isu GST diperbesarkan kerana dikatakan kononnya sangat membebankan, namun jumlah pengunjung di pusat membeli belah tidak pernah berkurang, malah ianya meningkat saban hari.

Lihat sahaja di Pusat Membeli Belah Sogo, pasti sesak tidak mengira masa, tidak kurang juga kompleks membeli belah bertaraf 5 bintang seperti The Pavillion.

Tiada pusat membeli belah yang terpaksa ditutup kerana GST mengekang rakyat untuk berbelanja, tiada kedai kopi mewah ‘mat salleh’ yang terpaksa gulung tikar kerana GST mengurangkan jumlah pelanggan mereka, tiada pawagam yang bungkus kerana GST menghalang rakyatnya untuk berlibur dan berpacaran.


Apakah GST telah menyekat rakyat untuk boros dalam berbelanja? Jawapannya adalah TIDAK!

2- Petrol / Bahan Bakar

Ketika negara menggunakan sistem subsidi penuh untuk bahan bakar saat kejatuhan harga minyak dunia, pemimpin pembangkang amat terdesak dalam mendesak kerajaan untuk menghapuskan subsidi dan mengikut harga pasaran semasa minyak dunia.

Maka, berbondong-bondonglah penganut mereka turut berdemonstrasi dan memekik di media sosial menghasut kononnya kerajaan zalim jika tidak menghapuskan subsidi bahan bakar dan mengikut harga pasaran semasa dunia.

Kepimpinan negara dituduh menggelapkan wang subsidi sedangkan berdekad-dekad lamanya kerajaan telah menanggung penuh subsidi bahan bakar waima ketika itu harga pasaran dunia minyak mentah melambung setinggi langit.

Hari ini, negara kita menggunakan sistem harga apungan untuk petrol dan semua bahan bakar, bermakna kita mengikut harga pasaran semasa dunia dan harga baru dikemaskini setiap bulan mengikut purata harga pasaran dunia.

Dalam perkataan lainnya, setiap bulan harga petrol dan bahan bakar akan berubah-ubah, akan ada masanya naik dan ada masanya akan turun.

Apabila harga petrol naik 10 sen, maka kita akan melihat polemik yang dimainkan terutama oleh mereka yang anti kerajaan.

Pelbagai kata cercaan dan hinaan dilemparkan sedangkan itulah yang mereka minta sebelum ini – mengikut harga pasaran semasa dunia!

Namun, apabila harga petrol turun 10 sen seperti hari ini, sepatah kata ‘terima kasih’ pun tidak sudi diungkapkan sebaliknya masih mencebik dengan kata-kata sinis terhadap pentadbir negara kita.

Saat harga minyak naik walaupun hanya 10 sen, mereka memaki hamun kerajaan namun setiap hari jalanraya dan lebuhraya tetap sesak dengan kenderaan hampir disemua tempat.

Malah statistik penjualan kereta pelbagai jenama dan kelas meningkat saban hari dan belum lagi mencatatkan penurunan keatas pembelian kereta baru mahupun terpakai.

Mereka mampu membeli kereta berharga puluhan dan ratusan ribu RM dengan pembayaran pinjaman beratus hingga beribu RM sebulan, tetapi tidak mampu untuk mengisi minyak.

Bukankah pelik bunyinya, ibarat mampu membeli dan membela kucing Parsi tetapi tidak mampu hendak memberikan kucing makan.

Mereka katakan mereka tidak berduit untuk membeli petrol bagi kenderaan mereka, tetapi mereka tiada masalah berpelesaran dihujung minggu dan mereka lebih sanggup meredah kesesakan jalan dengan kenderaan mereka daripada menggunakan pengangkutan awam.

Mereka mampu berhabis wang ringgit untuk mengubahsuai kenderaan walaupun ada pengubahsuaian tersebut melanggar undang-undang dan punya risiko menerima ‘surat cinta’ dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tetapi mereka tidak mampu mengisi minyak? Mahu berhenti menggunakan petrol?

Setakat ini belum lagi dengar stesen minyak ditutup kerana rugi disebabkan pelanggan berhenti dari menggunakan petrol, jika ada sekalipun stesen minyak yang gulung tikar adalah kerana saingan jenama apabila pelanggan menukar jenama petrol untuk kegunaan kenderaan mereka.


Apakah harga apungan petrol dan bahan bakar ini menyekat mereka untuk berlibur, berpeleseran dan memaksa mereka untuk menggunakan pengangkutan awam serta meningkatkan statistik jualan basikal? Jawapannya adalah TIDAK!

3- Kadar Tol

Baru-baru ini syarikat-syarikat konsesi tol dalam bandar telah menaikkan kadar tol sekitar 17% sehingga 80% iaitu sekitar 30 sen sehingga RM1.

Pada awalnya, ianya menjadi satu isu yang besar bagi sebilangan netizen dengan menuduh kerajaan memungkiri manifesto PRU13 dengan menaikkan kadar tol.

Namun begitu, selepas mereka ini telah ‘pandai’ membezakan tol bandar dan tol antara bandar serta mengetahui siapa pemilik syarikat konsesi berkenaan, isu kenaikan tol menjadi milo suam basi.

Begitulah sikap ‘double standard’ segelintir rakyat kita ini.

Biarpun ada yang mendiamkan diri tanpa memohon maaf atas cercaan kepada kerajaan, tidak kurang juga sebilangan kecil mereka yang masih mencanangkan rintihan akibat dari kenaikan tol tersebut.

Dalam manifesto PRU13 kerajaan Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri telah bermanifestasi bahawa tiada kenaikan tol antara bandar yang akan dinaikkan.

Sehingga hari ini sejak tahun 2005, tol antara bandar yang mana dibawah pengurusan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) tidak pernah dinaikkan.

Ini bermakna BN telah menunjukkan keupayaannya untuk menunaikan janji biarpun sebelum bermanifestasi pada PRU13.

Walaupun BN tidak pernah berjanji untuk tidak menaikkan kadar tol dalam bandar, tetapi Perdana Menteri kita telah berusaha supaya syarikat konsesi ini tidak menaikkan tol dengan membayar pampasan kepada pemilik-pemilik konsesi.

Tetapi, sampai bila pemilik konsesi tol dalam bandar ini perlu dikenyangkan dengan keuntungan atas angin menggunakan duit kerajaan?

Alangkah baiknya jika wang pampasan tersebut digunakan untuk manfaat rakyat seperti subsidi kepada bahan makanan, pendidikan dan juga kesihatan.

Biarpun begitu, dalam pada segelintir mereka meluah rintih kerana kenaikan kadar tol tersebut, tetapi jumlah kenderaan diatas lebuhraya tidak pernah berkurang.

Malahan, bilangan kenderaan diatas lebuhraya semakin meningkat saban hari sehingga memaksa syarikat konsesi mengeluarkan belanja yang lebih bagi urusan penyelenggaraan dan baik pulih lebuhraya.

Setakat ini, belum lagi kita dengar ada syarikat konsesi tol yang alami kerugian, semuanya untung sama ada keuntungan dari kutipan tol mahupun keuntungan atas angin dari pembayaran pampasan oleh kerajaan.

Sedikit lucu juga melihat segelintir yang kononnya ‘pejuang marhaen’ yang mengutuk kerajaan atas kenaikan kadar tol ini, manakan tidak mereka merintih untuk satu keperluan tetapi melakukan pemborosan bagi memenuhi kehendak.

Mereka merungut terpaksa membayar kenaikan kadar tol untuk pergi dan pulang bekerja yang mana ianya merupakan satu keperluan untuk mendapatkan nafkah menyara kehidupan tetapi mereka tidak pernah bersungut ketika bermewah dan boros berbelanja untuk sesuatu yang bukan keperluan.

Hujung tahun seperti ini, pasti ramai yang sibuk dengan jadual percutian walhal dimedia sosial mereka ungkitkan kesempitan hidup mereka kerana terpaksa membayar tol yang dikatakan membebankan.

Membayar tol untuk ketempat pencarian rezeki dirungut dan dimaki, tetapi menghabiskan ribuan ringgit untuk gajet dan telefon pintar canggih mereka boleh tersenyum puas pula.

Apakah kenaikan kadar tol menyekat mereka dari menukar telefon pintar sedia ada ke versi yang lebih canggih dan mengekang mereka dari jadual percutian serta memaksa mereka menyimpan kenderaan di rumah untuk menggunakan pengangkutan awam? Jawapannya adalah TIDAK?

Keperluan VS Kehendak

Jika melihat kepada trend pemikiran segelintir warga netizen yang meroyan di media sosial kerana kenaikan harga dan kadar sesuatu barangan atau perkhidmatan, ianya mengundang rasa tidak senang dan jelek kepada sebahagian yang lain.

Manakan tidak, merencanakan persepsi negatif terhadap kenaikan kos tersebut yang merupakan keperluan tetapi dalam masa yang sama mereka mampu pula menghabiskan wang ringgit untuk sesuatu yang sekadar memenuhi kehendak semata-mata.

Mereka mampu untuk membeli rokok dan membeli barangan vape tetapi merengus untuk mengeluarkan duit bagi satu keperluan dalam mencari nafkah.

Walhal mereka tahu merokok dan vape adalah memudaratkan kesihatan, namun pada mereka ianya tidak menjadi masalah.

Malah pengguna vape ada yang sentiasa menukar gajet vape mereka atas alasan ‘upgrade mode’ dengan berhabis ratusan dan ada juga mencecah ribuan ringgit.

Menukar gajet telekomunikasi dan telefon pintar yang canggih-canggih sudah semacam menukar baju, tetapi mereka tidak mampu menyelaras perbelanjaan untuk kenaikan kos bagi mencari nafkah.

Apa sahaja yang naik pasti kerajaan yang dimaki, tetapi hairannya mereka tidak pula memaki bila gaji yang naik!

Itu pun ada juga yang mencebik dan merungut bila gaji naik kononnya ‘seciput je’. Kufur nikmat sungguh.

Kesimpulannya disini, kenaikan kos atas apa yang saya nyatakan diatas sebenarnya tidaklah terlalu membebankan kepada mereka yang pandai menyelaras perbelanjaan.

Sebaliknya mereka yang merungut dan merengus adalah pihak-pihak yang punya masalah untuk membezakan antara keperluan dan kehendak.


Mereka ini tidak tahu apa yang utama dan penting kerana itu mereka megah bila berboros untuk memenuhi kehendak mereka sedangkan keperluan diletakkan sebagai asas yang terakhir!

[ SUMBER ]



1 comment:

  1. Org yg menunjukkan kebodohan dgn mengutuk kjaan dgn kenaikan 10 sen aku ibaratkan seperti manusia boddo yg tak tahu malu menayang kebodohan mereka.

    ReplyDelete