Thursday, 24 March 2016

KETUA JURI #PABM TEGUR CARA PESERTA BERPIDATO !!!

Dr Mazlina Mohd Hussain
Ketua juri Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2016 Piala Perdana Menteri (PABM 2016), Dr Mazlina Mohd Hussain berkata peserta perlu lebih menekankan isi pidato daripada gaya persembahan.



Ini kerana menurut beliau, markah untuk isi pidato adalah yang paling tinggi iaitu sebanyak 40 markah daripada gaya persembahan yang hanya menyumbang sebanyak 20 markah sahaja.

“Ramai peserta merasakan hakim hanya melihat gaya sedangkan kita mahu mendengar idea-idea bernas daripada pemidato tentang tema dan tajuk pidato mereka.

“Bagi juri peserta lebih menekankan aspek gaya itu sebabnya ada yang menyanyi, ada yang bersketsa sedangkan isi itu yang lebih penting sebab markah isi adalah 40 markah,” katanya ketika ditemui Mynewshub pada peringkat saringan PABM 2016 yang diadakan di Universiti Tenaga Nasional, Uniten, di sini semalam.

Namun, Dr Mazlina tidak menafikan bahawa prestasi peserta tahun ini semakin baik jika dibandingkan dengan peserta tahun lalu terutamanya bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) yang semakin baik dalam mutu penyampaian pidato mereka.

“Mutu pidato peserta terutama dari pelajar antarabangsa di Malaysia pada tahun ini adalah sangat baik.


“Pemidato ini bukan sekadar kemahiran bercakap sahaja kerana peserta merupakan pelajar universiti jadi mereka perlu melakukan kajian sebelum berpidato dan setiap tahun saya melihat peningkatan dari segi mutu yang diberikan oleh peserta-peserta yang terlibat,” katanya lagi.

Sementara itu, wakil Malaysia yang terpilih ke peringkat separuh akhir menerusi kategori Alam Melayu, Muhammad Haziq Jamaludin, 23, berkata dia akan memberikan yang terbaik untuk melangkah ke peringkat akhir yang bakal diadakan Jumaat ini.

Mengangkat tema Pendidikan Penyuluh Gelita Dunia, Haziq menyatakan dia banyak mencari rujukan di perpustakaan agar isi teks pidatonya cukup lengkap dengan segala fakta yang diperlukan dalam topik yang dibawanya itu.


“Saya banyak cari rujukan di perpustakaan sebab konteks tema saya adalah mengenai hal pendidikan yang dikaitkan dengan isu hak asasi, macam mana nak bangunkan wanita, kanak-kanak adalah dengan pendidikan,” ujarnya yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Sementara itu, peserta Belanda, Priscilla Haley Rashid pula menyifatkan peserta Australia, Rebecca Clare Lawrence sebagai pencabar terdekatnya dalam usaha untuk mengungguli kategori Antarabangsa.


“Rebecca lawrence pesaing terkuat sebab pidato dia bagus dan bahasa Malaysia dia cukup lancar,” ujarnya yang merupakan kacukan Belanda-Indonesia yang hanya baharu mempelajari Bahasa Melayu sejak tiga tahun lalu.

Rebecca pula enggan dibayangi tekanan memandangkan tahun lepas, wakil negaranya, Emma Cecilia Roberts berjaya mengondol tempat ketiga, sebaliknya dia hanya ingin memberikan fokus agar dapat membuat terbaik bagi menghadapi saingan suku akhir pada esok hari.

“Saya gembira terpilih tapi sedikit khuatir tentang persiapan untuk suku akhir, tapi saya cuba yang terbaik.


“Topik saya ialah Hubungan Perdagangan di antara Malaysia dan Australia. Saya akan cuba buat sehabis baik dan enggan memikirkan sebarang tekanan,” ujarnya.

Peserta dari United Kingdom, Tavan Karl Kessler Dutton pula cukup teruja dengan kemaraannya ke peringkat suku akhir malah dia juga sudah bersiap sedia dengan segala persiapan yang harus dilakukan untuk ke peringkat seterusnya.

“Saya akan membuat persiapan dengan berlatih di depan cermin. Selain itu, saya banyak dengar lagu dan filem Melayu untuk lebih memperkasakan bahasa Melayu saya,” katanya yang menyatakan wakil dari China, Australia, Belanda dan Republik Czech merupakan pesaing terkuat untuknya bagi kategori Antarabangsa.

Peringkat suku akhir PABM 2016 berlangsung semalam di Uniten yang mana menyaksikan hanya lima daripada 10 peserta yang mara ke peringkat separuh akhir esok.

Peringkat akhir pertandingan ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Jumaat ini.


Program itu akan dipancarkan secara langsung menerusi TV2 bermula jam 8.30 malam. – MYNEWSHUB.CC


No comments:

Post a Comment