Thursday, 24 March 2016

SAMBIL MENYELAM MINUM AIR PESERTA #PABM PERKENALKAN TRADISI MEREKA

Hatsune Yanai
Kreatif, berani dan bijak merupakan ciri-ciri yang boleh menggambarkan para peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2016 Piala Perdana Menteri kerana masing-masing berusaha memikat hati juri untuk dipilih memenangi pertandingan tersebut.



Selain mengetengahkan isi kandungan pidato yang lengkap dengan pelbagai fakta, terdapat beberapa peserta yang membuat kelainan dengan memakai pakaian kebangsaan negara masing-masing.

Antaranya, peserta dari Azerbaijan, Salima Qurbanova, 22, yang memakai sut lengkap pakaian tradisional negaranya dan percubaannya ternyata berjaya mencuri perhatian ramai termasuk pihak penganjur.

“Walaupun saya gagal memasuki peringkat separuh akhir tapi sekurang-kurangnya berjaya memperkenalkan budaya dan tradisi Azerbaijan yang ramai tidak tahu,” katanya.

Peserta dari Korea, Han Jun Beom, 23, pula kelihatan cukup segak dan bangga dengan ‘hanbok’ berwarna kuning yang dipakainya sejak hari pertama saringan.

Han Jun Beom
“Ini baju tradisi negara saya. Ramai orang muda mengenali Korea dengan lagu-lagu Kpop, jadi tidak salah rasanya untuk saya memperkenalkan sedikit adat resam yang diwarisi nenek moyang saya pula kepada umum,” katanya.

Dalam pada itu, peserta kecil molek dari Jepun, Hatsune Yanai, 21, memberitahu, dia mengambil masa seminggu belajar daripada ibunya cara-cara memakai kimono demi pertandingan ini.

“Idea memakai kimono ini diberikan oleh senior saya yang pernah menyertai pertandingan ini.


“Mungkin kimono ini yang membawa tuah kepada saya hingga berjaya memasuki peringkat separuh akhir,” katanya. – Utusan

No comments:

Post a Comment