Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan berkata, rakyat Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin kerana mengambil satu langkah yang positif untuk membantu rakyat Selangor dalam menangani masalah air ini.
"Dalam taklimat yang diberikan kepada Tan Sri dan delegasi yang datang pada hari tersebut, kita sedar dalam masa 130 hari (bermula dari 24 Oktober), paras takungan air di empangan tersebut berada di dalam keadaan yang sangat kritikal. Kemungkinan besar tidak ada air lagi.
"Ini merupakan fakta yang telah diberikan oleh pihak Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), bukan fakta yang dikeluarkan oleh parti politik. SPLASH merupakan agensi yang diberikan kuasa untuk menjaga kepentingan air di negeri Selangor. Mereka sendiri yang mengatakan bahawa dalam masa 130 hari, paras takungan air di Empangan Sungai Selangor akan berada di tahap yang paling kritikal," ujarnya ketika di temui di lobi parlimen.
Tambahnya, pendedahan ini merupakan satu perkara yang serius namun kerajaan Selangor terus selesa untuk bermain politik.
"Ini baru soal air, belum lagi dalam soal skim merawat air. Kalau empangan dah kosong, nak rawat air macam mana? Saya harap kerajaan negeri Selangor peka dan jangan gunakan isu ini sebagai isu politik semata-mata untuk memenangi undi. Ini perkara yang nyata, orang Kuala Kubu Bharu nampak empangan ini setiap hari, kita nampak realiti paras air empangan ini kosong, jadi tak perlu nak dipolitikkan.
"Apa yang lebih mengejutkan ialah kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar yang mengatakan Selangor tidak mengalami masalah kekurangan air. Dia tak pernah sampai pun ke empangan tersebut, dia cakap berdasarkan apa, saya pun tak tahu," ujarnya lagi.
Justeru beliau berharap Menteri Besar Selangor sedar, jangan angkuh dan terima hakikat bahawa Selangor akan mengahadapi krisis air pada tahun 2014.
Dalam masa yang sama, Kamalanathan melihat teknologi membran yang diutarakan Tan Sri Khalid merupakan satu teknologi yang baru, tetapi dalam masa yang sama, kerajaan Persekutuan telah menyediakan projek Langat 2 untuk membuat rawatan air.
"Kita hanya perlukan kelulusan dan kerjasama kerajaan negeri Selangor untuk membantu mengatasi masalah air ini. Kita harus melaksanakan projek ini kerana kebaikan bukan sahaja kepada rakyat negeri Selangor, malah kepada penduduk Lembah Klang secara keseluruhannya," ujarnya mengharapkan agar Tan Sri Khalid tidak lagi mempolitikkan isu air ini.
No comments:
Post a Comment