Monday, 21 January 2013

APA KATA YAB PM DS @NajibRazak : SEMINAR NUSANTARA ISLAM DI ASIA TENGGARA - CABARAN DAN HARAPAN


Alhamdulillah, segala kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT, di atas limpah kurnia, inayah dan redha-Nya jua, dapat kita semua bertemu di dalam ‘Seminar Nusantara – Islam di Asia Tenggara: Cabaran dan Harapan’ pada hari ini. 

Saya berasa sangat senang hati, untuk bertemu muka, berbicara di hadapan kalangan delegasi seluruh Asia Tenggara, yang sudi bersama di dalam seminar yang saya rasakan amat penting dan strategik ini.

Setinggi tahniah, kepada semua pihak penganjur – FELDA, Persatuan Generasi Bistari, MyKMU; yang dapat merapatkan saf pemikiran, kerana istiqamah dalam bekerjasama dan seterusnya menjayakan seminar yang bolehlah kita sifatkan bertaraf ‘regional’ pada hujung minggu ini. 

Sekalung penghargaan kepada kepimpinan tertinggi pengurusan FELDA, kerana sudi menjadi penganjur kepada seminar yang berorientasikan semangat keintelektualan yang sangat tinggi ini.

Nyata, FELDA bukan sahaja mempunyai daya saing dalam bidang komoditi dan pembangunan ekonomi; malahan turut terlibat dalam program-program ‘Corporate Social Responsibility’ (CSR) yang begini sifatnya. 

Lebih penting lagi, dengan penganjuran seminar bersifat sebesar dan sepenting ini, FELDA tidak lagi menutup pintu pelaksanaan program di dalam kelompok FELDA sahaja, malah sudah mampu menjadi penganjur kepada program CSR yang lebih dalam dan penting maknanya kepada Negara.

Saya kira, kehadiran Persatuan Generasi Bistari di dalam sidang penganjuran seminar ini mewakili ‘semangat dan kemahuan generasi muda’, dalam memahami, mentakwil dan mencetus semarak minda, untuk memahami latar ‘cabaran dan harapan’ untuk umat Islam di Asia Tenggara. 

Tahniah juga, kerana mempunyai semangat dan kemahuan, sekaligus mempunyai ‘perspektif serantau’ dalam membicarakan isu yang menjadi keprihatinan kita bersama. 

MyKMU pula mewakili kalangan pengamal media baru yang turut mempunyai followers dan pengikut yang tersendiri. 

Kita mengharapkan, agar sisi fikir dan curahan ilmu yang dikongsi dalam seminar ini, akan turut dapat dihayati oleh kumpulan yang lebih ramai di luar sana, melalui media baru.

Setinggi tahniah dan selamat datang kepada semua cendikiawan, para peserta dan delegasi ke seminar ini. 

Moga, di akhir penganjuran ini nanti, kita dapat mencari kata sepakat, bicara muafakat; dalam menggaris cabaran dan harapan baru, kepada kita, umat Islam di Asia Tenggara ini, insya’Allah.

Para Hadirin,

Tuan Puan Yang Dihormati,

ISLAM DI ASIA TENGGARA – SUATU PERSPEKTIF

Hari ini, umat Islam mewakili lebih 1.6 bilion penduduk dunia. 

Lebih 60 % umat Islam berada di Asia. 

Hanya 15 % daripada keseluruhan umat Islam berbangsa Arab. 

Empat Negara yang mempunyai jumlah umat Islam paling ramai juga terletak di Asia (Indonesia, India, Pakistan dan Bangladesh). 

Di dalam perspektif dunia, rantau kita di Asia Tenggara ini tidaklah dianggap sebagai rantau ‘central’ kepada dunia Islam. 

Malahan, dalam banyak analisa geo-strategik, rantau Asia Tenggara ini masih dianggap sebagai ‘periphery’ kepada dunia Islam.

Sejujurnya, saya tidaklah menganggap istilah ‘central’ dan ‘periphery’ ini patut menjadi masalah kepada kita. 

Ianya tidak menjadi luka pun kepada kita, sekiranya rantau ini tidak pun dianggap sebagai rantau ‘penting dan strategik’ kepada pembangunan dunia Islam, melalui perspektif orang lain. 

Namun, mutakhir ini, brand, wajah dan cita Islam rantau sebelah sini semakin mendapat perhatian ramai pihak luar. 

Apatah lagi, model politik di dunia yang dikatakan ‘central’ kepada Islam sudah semakin dimamah masalah politik yang berterusan.

Saya kira, Islam di Asia Tenggara ini menjadi perhatian – seiring dengan tempoh dan dekad masa pembangunan ekonomi yang berlaku tidak beberapa lama dahulu. 

Era 90-an, menyaksikan kebangkitan ekonomi rantau Asia Tenggara. 

Kita dirujuk sebagai kumpulan Negara rantau Asia Tenggara yang mempunyai data pembangunan ekonomi yang luar biasa.

Dalam tempoh waktu yang sama, ekonomi di Malaysia, Indonesia, Thailand juga menampilkan semangat ‘ekonomi’ yang meningkat dengan pantas. 

Namun, dengan satu serangan matawang, ianya menyebabkan ‘krisis ekonomi’ yang juga bersifat luar biasa. 

Hari-hari baik kita cepat berlalu. 

Pasca 1998, kita kembali kepada ekonomi Asia Tenggara yang masih lagi baik, namun tidaklah seperti yang berlaku pada dekad sebelumnya.

Malaysia sendiri berdepan dengan krisis ekonomi yang luar jangka. 

Rakyat hilang pekerjaan. 

Perniagaan terpaksa ditutup. 

Pasaran saham menjunam. 

Kita didekati oleh kalangan penasihat ekonomi dunia yang mengatakan hanya ada ‘satu’ jalan keluar – iaitu kembali kepada penyelesaian ‘Washington Consensus’

Menaikkan kadar faedah. 

Membuka pasaran seluas mungkin. 

Menutup perniagaan yang dirasakan tidak menguntungkan. 

Malangnya, ada kalangan tokoh politik tempatan sendiri, yang cuba mendapat ‘laba politik’, dan mula bercakap dengan nada dan suara yang sama.

Tempoh-tempoh itu adalah suatu keadaan yang sukar. 

Saya cukup yakin, tanpa krisis kewangan 1998, rantau Asia Tenggara, terutamanya kalangan umat Islam rantau ini sudah pasti mampu membentuk semangat setiakawan dan kerjasama yang lebih unggul dan dinamik. 

Dalam pada itu, kita tidak juga berada dalam keadaan yang terlalu terpisah sesama kita pada ketika ini.

Kekuatan ekonomi intra-ASEAN pada ketika ini hampir mencecah USD$1.2 trilion jika digabungkan GDP seluruh negara anggota. 

Dengan jumlah penduduk hampir mencecah 600 juta orang. 

Sebahagian yang pastinya signifikan daripada angka ini pastinyalah kalangan umat Islam yang berada di rantau ini. 

Ini membayangkan rantau ini punya ‘signifikasi ekonomi’ yang perlu diambil kira.

Saya sengaja memulakan ucapan dengan menyentuh soal ekonomi, kerana ianya adalah suatu asas yang sangat penting, dalam meletakkan kita semua, di dalam ‘perspektif’ yang betul di mata orang luar. 

Rantau yang berselirat dengan masalah politik, isu kemiskinan, isu perang saudara, masalah antara kaum dan sebagainya akan memberikan impak yang negatif kepada keupayaan kita mengurus dan mentadbir negara dan rantau ini. 

Ahamdulillah, pada waktu dan ketika ini, rantau Asia Tenggara ini menampilkan wajah dan potensi umat Islam yang sangat positif, sekaligus mampu bersaing dengan mana-mana rantau sekalipun di dunia ini, insya’Allah.

ASIA TENGGARA – LEGASI KEPIMPINAN ISLAM PAR EXCELLENCE

Secara sejarahnya, rantau Asia Tenggara ini berkongsi jalur sejarah yang hebat dan dinamik. 

Perkembangan Islam di Asia Tenggara, turut dinaungi oleh beberapa buah empayar dan kerajaan yang ‘wibawa’ dan mendapat pengaruh luar biasa di rantau sebelah sini. 

Kerajaan Perlak-Samudera Pasai, Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor-Riau, Kerajaan Demak, Kerajaan Acheh, Kerajaan Pattani, Kerajaan Brunei dan Kerajaan Melayu-Champa adalah contoh-contoh kerajaan wibawa yang diterasi oleh kepimpinan Islam.

Sudah barang tentu, bangkit dan tenggelamnya kerajaan-kerajaan Islam di Asia Tenggara sudah melalui perjalanan historikal dan asbab sejarah yang panjang. 

Namun, kewibawaan kerajaan-kerajaan lama ini pastinya didasari oleh beberapa faktor yang asas – antara lainnya termasuklah kemampuan ekonomi, kewibawaan kepimpinan dan kerajaan yang ada pada ketika itu.

Turut juga mengakar kekuatan pohon kerajaan pada ketika itu adalah agama Islam yang mula menjadi dasar pemerintahan kepada banyak kerajaan. 

Dalam Hukum Kanun Melaka, sebagai misal, sudah wujud istilah ‘Khalifatul Mukminin’ yang tercatat jelas di atas wang syiling kerajaan Melayu. 

Raja Melaka menggunakan gelaran ‘Zillullah fil-alam’ (bayangan Allah di dalam alam). 

Terdapat juga kalangan pimpinan zaman itu yang komited sepenuhnya dengan ajaran Islam.

Sejujurnya, saya merasakan, adalah juga amat penting di dalam seminar nusantara ini, untuk kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada sejarah berkenaan apa yang pernah berlaku kepada kerajaan-kerajaan Melayu yang hebat – di rantau ini pada suatu ketika. 

Dengan semangat yang sama, kita perlu mencari harapan baru kepada apa lagi yang perlu usahakan untuk tempoh-tempoh masa yang mendatang ini.

Hadirin/Hadirat delegasi seminar yang dihormati,

RANTAU WASATIYYAH DAN TRANSFORMATIF

Ahli sarjana, sejarawan, pakar geo-strategis dunia pada ketika ini, mengakui bahawa dunia Islam di Asia Tenggara ini membawa bersamanya ‘nilai Islam’ yang jauh berbeza berbanding dunia Islam lain. 

Islam di Asia Tenggara punya ‘niche’ dan keistimewaan tersendiri. 

Kepada mereka, ini berkait banyak dengan kaedah perkembangan Islam di rantau kita ini, yang nyata lebih mengambil kira faktor sosio-budaya – yang turut ‘leverage’ kepada unsur kebudayaan, pendidikan, sastera dan lain-lain.

Nyata, Islam yang sederhana, yang mengamalkan semangat ‘wasatiyyah’, kesederhanaan dan moderation, sangat ‘appealing’ dan mudah diterima di rantau sebelah sini. 

Justeru, kita perlu kembali kepada semangat ‘wasatiyyah’ dan kesederhanaan ini dalam erti kata dan maksudnya yang sebenar.

Jika benar, pendekatan ‘wasatiyyah’ ini pernah menjadi model kecemerlangan kerajaan rantau ini pada suatu ketika, maka, wujud keperluan untuk kita kembali kepada semangat dan roh wasatiyyah dalam kita berdepan dengan cabaran masa hadapan. 

Ekstremisme, radikalisme, terorisme – sebenarnya adalah satu modul pemikiran dan amalan yang sangat asing kepada rantau ini. 

Oleh yang demikian, dalam kita merencana pembangunan dan perjalanan kerajaan Asia Tenggara untuk masa hadapan – penting untuk kita kembali kepada elemen ‘wasatiyyah dan moderation’ ini.

Secara realitinya, usaha kembali kepada semangat wasatiyyah ini bukannya datang dengan sendiri dan mudah. 

While Islam in Southeast Asia has been moderate in character, it is undergoing a process of revivalist change in some segments of society. 

Some Southeast Asians returning from Islamic religious schools in the Middle East and Pakistan have returned with a new, radical, militant, Islamist, and extremist form of Islam that is more likely to be anti-American or anti-Western in character

Tidak keterlaluan jika saya katakan, perkara sama juga sedang berlaku di Malaysia. 

Sepanjang dekad 80-an dan 90-an, kita sudah mula dengan amalan politik ekstrim, politik takfir, amanat itu dan ini, yang akhirnya membawa perpecahan kepada umat Islam di segenap peringkat. 

Pada mereka, ini tidak menjadi masalah, asalkan mereka mampu meletakkan diri mereka di puncak kuasa.

Dalam beberapa segi, mereka menggunakan ‘agama’ untuk menampilkan diri mereka sebagai kumpulan yang maksum, bersih dan diredhai oleh Allah. 

Politik diasaskan kepada prinsip ‘holier-than-thou’

Pada mereka, keahlian parti politik juga boleh mengesahkan tiket kepada umat Islam – samada mereka mahu ke syurga atau neraka. 

Inilah trend yang pada hakikatnya membayangkan bahawa unsur ekstremisme dan radikalisme semakin menebal di kalangan umat Islam.

Kerajaan dan pemimpin digambarkan dalam keadaan yang paling buruk dan ekstrim. 

Pelbagai gelaran dilekatkan kepada pemimpin tertentu – sebagai usaha berterusan untuk memberikan aura dan persepsi negatif rakyat kepada pemimpin. 

Mahazalim. Mahafiraun. Kafir. Zalim. Rasuah. 

Ini semua sudah diulang-ulangkan ke dalam minda rakyat, agar mereka bangkit untuk menentang kerajaan dan pimpinan.

Suasana ‘Arab Spring’ mahu dijadikan template politik baru kepada suasana politik halaman Asia Tenggara. 

Atas nama demokrasi dan freedom of expression – mereka mahu membawa debat politik ke jalanan. 

Ini semua boleh sahaja kita samakan sebagai usaha terancang, untuk memperkecilkan saluran demokrasi dan menggunakan kaedah jalanan untuk mendapat kuasa.

Saya tidak berniat untuk mengambil gambaran pukul rata kepada situasi kepada semua Negara di Asia Tenggara. 

Senario kita mungkin sahaja berbeza. 

Namun, cabaran kepada Islam boleh datang dalam pelbagai bentuk yang berbeza. 

Adakalanya, ia bukan dalam bentuk radikalisme, namun liberalisme dan keterbukaan tanpa batas, yang juga boleh memberikan masalah kepada interpretasi dan syiar Islam.

RANTAU ASIA TENGGARA SEBAGAI CATALYST KEGEMILANGAN ISLAM

Kita perlu memperluaskan maksud dan terma Islamic Revivalism – al tajdid al islami; dalam bentuknya yang lebih luas dan holistik. 

Dalam berhadapan dengan tuntutan globalisasi – Islamic Revivalism tidak boleh terlalu terkongkong dalam isu dan perkara ‘form’; tetapi juga substance. 

Islamisasi bukan hanya sekadar pada rupa paras, namun juga perlu meliputi asas dan fundamental kemasyarakatan yang lebih besar. 

Ini termasuklah soal pembangunan ekonomi, pemeliharaan maslahah syariah, kewibawaan politik, kerjasama serantau yang lebih bersungguh dan istiqamah.

Saya teringat petikan tulisan Ziauddin Sardar sekitar tahun 1988: 


‘…In planning for Islam resurgence, then due emphasis has to be given to all aspects of society: ijtihad (intellectual struggle) must go hand in hand with jihad (all out effort)… allowances must be made for both unity of goals and diversity of actions, history has to be given due recognition but the future too has to be emphasized’.

Rantau Asia Tenggara mempunyai potensi yang sangat besar dan luas untuk menjadi catalyst dan pemangkin kegemilangan Islam. 

Untuk itu, secara kolektif, kita mestilah bersungguh mewujudkan ‘knowledge-triumphant’ society di kalangan masyarakat Islam di rantau ini. 

Masyarakat yang mampu menggandingkan ilmu wahyu dengan ilmu-ilmu baru yang diperlukan masyarakat Islam dalam bersaing di peringkat yang lebih global dan terbuka.

Renaissance Islam rantau ini juga seharusnya menyaksikan kalangan masyarakat Islam yang mampu berdikari, mempunyai kebitaraan ekonomi yang sesuai dengan kehendak zaman. 

Kita tidak wajar mempunyai sikap sentimental dan bermelankoli dengan kejayaan lama agama Islam, tanpa melihat kepada cabaran-cabaran baru yang perlu dihadapi dalam bersaing di pentas yang lebih terbuka. 

Syukur Alhamdulillah, dalam konteks Malaysia, usaha dan perancangan ekonomi yang dilaksana kerajaan pada ketika ini berada di landasan yang tepat dan betul.

Transformasi Ekonomi, Sosial, Politik dan Kerajaan berlaku dalam suasana yang sangat kondusif dan diberikan dokongan oleh majoriti rakyat. 

Agenda pembangunan sosial diberikan pertimbangan yang seadilnya, seiring dengan pembangunan ekonomi yang semakin mapan. 

Potensi generasi muda digembleng sebaiknya, agar tersedia peluang yang luas buat mereka untuk membangun potensi diri. 

Peranan wanita dibuka seluasnya. 

Nasib orang miskin dibela. 

Institusi zakat dan sosial lain diperkemas. 

Sistem perbankan Islam diperdana.

Pada ketika ini, tumpuan akan diberikan kepada usaha pembesaran kek ekonomi yang mampu dikongsi bersama oleh masyarakat Malaysia pelbagai kaum. 

Ya, saya tidak menolak hakikat bahawa masih ada masalah-masalah yang menghambat kita, namun ianya bukanlah alasan untuk kita tidak mara ke hadapan dan mencabar diri untuk mencapai tanda aras kehebatan baru.

Dalam konteks Asia Tenggara, saya rasa kita semua boleh bersetuju bahawa masih banyak yang mampu kita terokai dengan perencanaan yang lebih bersifat ummatik dan saling membantu. 

Inilah masanya, untuk kita sama-sama mencari idea, merencana program kerjasama baru yang boleh diteroka di kalangan masyarakat Melayu-Islam di Asia Tenggara. 

Ibarat bidalannya, ‘cubit paha kiri; paha kanan terasa’, tidak mungkin kita mengambil sikap tidak peduli kepada apa yang berlaku kepada masyarakat Islam di rantau ini.

Namun, sebarang usaha mestilah dilakukan dengan saluran politik dan diplomatik yang betul. 

Bukan cara kita di ASEAN untuk turun mencampuri urusan-urusan dalaman yang melibatkan negara lain. 

Namun, dalam isu dan perkara-perkara tertentu, kita akan suarakan di atas platform yang bersesuaian dan tidak menganggu-gugat hubungan bilateral mahupun multilateral di kalangan negara ASEAN.

Dalam dunia yang serba terkait, adalah satu perkara yang tidak munasabah, untuk kita duduk mendiamkan diri dalam isu-isu yang dibangkitkan di dalam media alternatif. 

Alhamdulillah, saya berasa cukup senang hati dan kagum, apabila pihak penganjur bersikap pro-aktif, untuk turut melibatkan delegasi dan peserta dari Moro, Myanmar dan lain-lain masyarakat Islam di dalam seminar ini.

Saya amat mengharapkan, agar sebarang perbincangan ikhlas, dapatan, kajian yang dibentangkan di dalam seminar ini – dapat kita bukukan dan diterbitkan sebagai bahan rujukan kita di masa hadapan. 

Adalah suatu perkara yang sangat malang, sekiranya perbincangan yang kita lakukan di dalam seminar ini, akhirnya terabai dan tidak mampu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang lebih tuntas dan menyeluruh.

Untuk masa hadapan, kerjasama di antara masyarakat Islam di Asia Tenggara tidak boleh kekal dalam modul-nya yang lama. 

Perlu ada modul, pendekatan dan mekanisme baru yang boleh kita perkenalkan dan perkukuhkan untuk masa hadapan. 

Ianya tidak perlu terhad dalam bidang pendidikan, pengajian Islam semata-mata. 

Malahan, adalah sesuatu yang sangat molek, jika kita mampu bekerjasama dalam bidang-bidang yang lebih menjanjikan keuntungan ekonomi jangka panjang buat semua pihak. 

Perlu ada pendekatan ‘blue ocean strategy’ dalam membugar kerjasama sesama masyarakat Islam di nusantara ini.

Saya mendoakan yang terbaik kepada penganjuran seminar ini. 

Bukan sahaja terbaik daripada sudut penganjuran – namun juga mempunyai resolusi, konklusi dan dapatan yang boleh kita laksanakan di peringkat yang lebih tinggi. 

Perlu kita sama-sama memegang konsep asas, untuk kita menjadi rahmat kepada sekalian alam – rahmatan lil alamin, dalam apa jua yang kita bangkitkan di dalam seminar ini nanti.

Dengan lafaz BISMILLAHIRAHMANIRAHIM, saya merasmikan. ‘ Seminar Nusantara : Islam di Asia Tenggara – Cabaran dan Harapan’ ini.



YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
MAJLIS PERASMIAN SEMINAR NUSANTARA
“ISLAM DI ASIA TENGGARA: CABARAN DAN HARAPAN”
(Dibacakan oleh YB Senator Dato Seri Jamil Khir Bin Baharom)


No comments:

Post a Comment