Saturday 23 February 2013

TAHNIAH !!! JUARA PABM PESERTA MALAYSIA DAN PANAMA !!!


Peserta Malaysia, Panama Juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2013

Peserta dari Malaysia iaitu Mohd Ikhwan Mohd Rosseli dan Derrick Fernando Jaramillo dari Panama dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2013 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya di sini, malam ini.


Masing-masing menjuarai pertandingan tersebut bagi kategori Nusantara dan Antarabangsa.

Mereka berdua membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM21,700, piala pusingan piala Perdana Menteri, hadiah iringan serta sijil.

Derrick Fernando Jaramillo atau lebih mesra digelar ‘Pak Derih’ yang telah memenangi kategori Antarabangsa telah membawakan tajuk pidatonya, Malaysia Di Hatiku berjaya menumpaskan empat peserta lain iaitu Abdel Rahman Ibrahim Sulieman (Jordan), Daniel Krausse (Jerman), Abdul Matin Mohammad Azeem (Afghanistan) dan Zhang Yaqi (China).

Sementara itu, Mohd Ikhwan Mohd Rosseli yang telah memenangi kategori Nusantara pula membawakan tajuk pidato Belia Cerminan Keunggulan Negara telah berjaya menewaskan Adi Ismat Lamat (Brunei) dan Muhammad Zulfadhli Razali (Indonesia).

Manakala, bagi naib juara kategori Nusantara ia menjadi milik Muhammad Zulfadhli Razali (Indonesia) dan kategori Antarabangsa berpihak pada Zhang Yaqi (China).

Mereka telah membawa pulang wang tunai bernilai RM15,500, piala iringan, hadiah iringan dan sijil.

Bagi tempat ketiga kategori Nusantara pula dimenangi oleh Adi Ismat Lamat (Brunei) dan kategori Antarabangsa menjadi milik Abdel Rahman Ibrahim Sulieman (Jordan).

Masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM9,300, piala iringan, hadiah iringan dan sijil.

Mengimbas kembali sejarah PABM 2013 kali ini, seramai 77 orang peserta dari 72 buah negara telah melibatkan diri pada kali ini berbanding 69 peserta dari 64 buah negara pada tahun lalu.

Objektif utama penganjuran PABM ini adalah untuk memartabatkan pengaruh dan kesejagatan Bahasa Melayu.

Ia juga adalah sebagai bukti kerajaan tidak pernah meminggirkan bahasa kebangsaan, malah ia semakin diperkasakan kepada seluruh dunia.

Malah, dengan penganjuran seumpama ini, ia dapat memperlihatkan pola permintaan yang tinggi terhadap jurusan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, untuk makluman, pertandingan PABM 2013 ini dibahagikan kepada peringkat Saringan, Suku Akhir, Separuh Akhir dan Akhir.

Ia bermula dari 19 hingga 22 Februari di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya.

Penganjuran pada kali ini telah pun memasuki kali ke-7 dan ia adalah ilham daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Diharapkan usaha seperti ini dapat dijalankan pada tahun-tahun berikutnya.

Tahniah diucapkan kepada pemenang !!! - mynewshub


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??