Pasukan keselamatan telah melancarkan serangan ke atas penceroboh kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada jam 7 pagi ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata kerajaan mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaultan negara sebagaimana yang dituntut oleh rakyat memandangkan usaha kerajaan menggelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.
"Sebaliknya, anggota pasukan keselamatan kita diserang dan dibunuh, rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, bimbangkan keselamatan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Najib berkata pada hari Jumaat lepas, penceroboh kumpulan bersenjata dari selatan Filipina yang mendakwa diri sebagai "Tentera Sulu" di Sabah itu telah melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang bertugas di kawasan tersebut menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terbunuh, sehari kemudian enam lagi anggota polis dibunuh oleh penceroboh di Semporna.
“Setelah serangan yang pertama, saya telah menegaskan bahawa penceroboh mesti menyerah diri dan jika mereka enggan pihak berkuasa negara ini akan bertindak," katanya.
Najib berkata sejak pencerobohan oleh kumpulan bersenjata di Lahad Datu pada Feb 12 lepas, kerajaan telah mengambil pendekatan untuk menyelesaikan konflik ini tanpa pertumpahan darah.
"Pihak polis telah mengadakan pertemuan dan rundingan dengan harapan penceroboh akan bersetuju keluar dengan aman tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang yang serius,“ katanya.
Najib berkata sebagai negara Islam yang cintakan keamanan dan mengangkatkan perjuangan penyelesaian konflik scara perundingan, usaha untuk mengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.
"Semakin lama pencerobohan ini berlanjutan, jelas kepada pihak berkuasa bahawa penceroboh tidak berniat untuk keluar dari tanah Sabah," katanya. - BERNAMA
Published with Blogger-droid v2.0.10
No comments:
Post a Comment