Wednesday, 21 May 2014

#PRKBukitGelugor #PRKTelukIntan: MENGUJI PENERIMAAN RAKYAT TERHADAP HUDUD ATAU PAS ?!!


Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor dan Teluk Intan, bakal menjadi medan pungutan suara parti DAP untuk melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap cadangan pelaksanaan hudud oleh sekutunya PAS.



Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jika DAP menang ia jelas menunjukkan bahawa rakyat menolak hudud.

“Itu merupakan satu pertentangan ideologi terpaksa PAS pikul serta membayangkan sikap tidak berprinsip PAS untuk melaksanakan hukum hudud,” katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung situasi terkini PRK di Bukit Gelugor dan Teluk Intan.

Keadaan itu juga, katanya, jelas menunjukkan perjuangan PAS dalam hukum hudud tidak ada kena mengena dengan Islam dan lebih menjurus kepada perjuangan politik.

PRK Bukit Gelugor menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon DAP, Ramkarpal Singh dengan Datuk Huan Cheng Guan daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) serta dua calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan.

Sementara di PRK Teluk Intan, pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Ahmad Shabery berkata, penduduk kawasan berkenaan perlu berfikir tentang kepentingan mereka terlebih dahulu sebelum memilih pemimpin.

“Ini bukan Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi PRK untuk memilih wakil mereka, sudah tentu perkara yang paling diutamakan adalah siapa yang boleh bekerja,” katanya.

Jelasnya pengundi perlu bersikap praktikal dan melihat wakil pemimpin yang dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Persekutuan. – BERNAMA


No comments:

Post a Comment