Friday, 16 May 2014

AMBIL ALIH #PLUS: UDANG DISEBALIK MEE HALIM SAAD DAN IDAMAN SAGA ?!!


Beberapa minggu lalu kami mendedahkan cadangan tujuh muka surat Idaman Saga Sdn Bhd, syarikat pelaburan yang dikaitkan dengan Tan Sri Halim Saad, untuk mengambil alih Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dengan menjanjikan tiada kenaikan tol selamanya.



Kami dimaklumkan sungguhpun kerajaan tidak begitu berminat mendengar cadangan tersebut Idaman Saga masih terus melobi untuk dipertimbangkan. 

Kerajaan dikatakan kurang berminat kerana Tan Sri Halim Saad pada 2009 pernah mengemukan cadangan yang lebih kurang serupa namun akhirnya tidak meneruskannya apabila diminta meletak deposit sebanyak RM 50 juta sebagai bukti kesungguhan rancangan pengambil alihan itu.

Kesungguhan Tan Sri Halim Saad ingin mengambil alih PLUS sangat mencurigakan. 

Halim mendakwa mahu membantu kerajaan mengurangkan beban kewangan dan politik akibat kenaikan tol. 

Namun, pengambil alihan PLUS sebagai lebuh raya terpanjang dan aset terbesar jalan raya negara lebih banyak isu dan komplikasi termasuk harga yang jauh lebih mahal berbanding lebuh raya lain.

Masalah tol sebenarnya banyak berlaku di dalam bandar. 

Justeru jika Halim benar-benar mahu membantu kerajaan di samping membuat untung, mengambil alih lebuh raya di dalam bandar seperti Litrak atau LDP lebih menguntungkan, lebih mudah diuruskan dan tentunya lebih murah dari PLUS jika berdasarkan harga pasaran.

Jumlah trafik yang lebih tinggi, dan ketiadaan tempat hentian yang banyak membolehkan Idaman Saga membuat keuntungan lebih besar jika mereka benar-benar mempunyai formula luar biasa dalam mengelakkan kenaikan tol tanpa menjejaskan keuntungan dan pembayaran balik pinjaman syarikat konsesi.

Kami difahamkan sejak kebelakangan ini Idaman Saga secara berterusan mewujudkan strategi perhubungan awam bagi mewujudkan persepsi mereka boleh menguruskan PLUS lebih baik dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government Linked Company - GLC) dan menjamin kadar tol yang tetap dan murah. 

Ini bagi memberi tekanan kepada kerajaan untuk menjual PLUS kepada mereka.

Seorang pemerhati ekonomi yang dihubungi menyatakan adalah sukar untuk Idaman Saga menjanjikan kadar tol yang murah tanpa mengorbankan kualiti jalan, kebersihan dan pengurusan tempat rehat yang baik seperti yang dilakukan oleh PLUS Berhad sekarang.

“Pengambil alihan PLUS Berhad juga bermakna mereka mengambil alih hutang konsesi itu dan juga menambah hutang baru. Saya tidak fikir pembelian ini akan dilakukan secara tunai. Pembelian PLUS jika berlaku akan berharga berbilion ringgit dan memerlukan pembiayaan kewangan yang besar.”

Ini bermakna pengambil alihan ini akan menyebabkan PLUS menanggung hutang yang lebih besar dari sedia ada.

“Kemungkinan besar sekarang ini ialah Idaman Saga akan memohon mengambil alih PLUS dengan harga diskaun sebagai timbal balas menstabilkan harga tol. Dalam masa yang sama, saya fikir mereka akan membuat keuntungan melalui pengurangan kos penyelenggaraan yang sekaligus akan merendahkan kualiti perkhidmatan sepanjang PLUS.”


Selain itu, penulis melihat kemungkinan paling besar mengapa Idaman Saga ingin mengambil alih PLUS dan bukannya syarikat konsesi tol yang lain ialah kedudukan strategik tanah-tanah dalam PLUS Berhad sepanjang lebuh raya tersebut.

Kawasan sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan termasuk hentian R&R sedia ada jika dibangunkan secara komersial tanpa mengambil kira faktor alam sekitar dan keindahan setempat boleh memberi pulangan hartanah yang lumayan kepada PLUS BERHAD.

Sudah tentu pengkomersialan yang intensif akan membolehkan Idaman Saga membuat keuntungan berlipat kali ganda dan melupuskan (offset) kerugian dari penentuan harga tol yang murah dan tetap.

Namun dalam jangka masa panjang, jika ini berlaku ia bukan sahaja merugikan negara malah mengancam aset alam sekitar negara yang sangat bernilai.

Apakah kita mahu melihat sepanjang lebuh raya Utara-Selatan akan dipenuhi bangunan-banguan komersial dan papan-papan iklan gergasi diletakkan secara besar-besaran ?

Sudah tentu juga kaedah pengurusan hari ini yang menggambarkan Lebuh Raya Utara Selatan sebagai jalan raya mesra alam sekitar yang menyamankan akan hilang sekelip mata bila ia diuruskan untuk meraih keuntungan maksima.

Hakikatnya, jika Idaman Saga benar-benar mahu membantu kerajaan dan rakyat bukankah sepatutnya ambil alihlah tol-tol dalam bandar yang kian menekan kehidupan rakyat.

[ SUMBER ]



No comments:

Post a Comment