Wednesday, 21 May 2014

#PRKTelukIntan: TAN SRI PROF SAHOL JAWAB FITNAH CALON DAP !!!


Penuntut yang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dipilih berdasarkan merit dan cukup syarat, bukan berdasarkan fahaman politik dan status keluarga masing-masing, kata Naib Canselornya Tan Sri Profesor Sahol Hamid Abu Bakar (gambar).


Beliau sekaligus menolak dakwaan calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud bahawa hanya anak orang Umno daripada keluarga berada sahaja dipilih memasuki UiTM berbanding anak keluarga bukan daripada parti itu.

UiTM, katanya, mengambil penuntut berdasarkan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) untuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ia tidak boleh membuat pilihan mengikut parti.

"Dakwaan (Dyana Sofya) tidak benar, tidak logik, tidak cerdik dan tidak matang," katanya ketika dihubungi di London hari ini.

"Ada juga yang datang merayu tidak kira siapa (orang Umno atau bukan Umno), ramai anggota parti bukan Umno datang dengan nama-nama untuk diberi tempat dan ada juga pemimpin parti bukan Umno datang minta tolong calon mereka. Kita terima (rayuan) dan beri tempat berdasarkan merit dan syarat," katanya. 

Dyana Sofya, yang juga bekas penuntut jurusan undang-undang UiTM sebelum ini mendakwa universiti itu hanya mengambil penuntut daripada kalangan keluarga pemimpin Umno yang berada untuk melanjutkan pelajaran, berbanding penuntut miskin yang lebih layak bukan daripada keluarga anggota Umno.

Sahol Hamid menarik perhatian bahawa UiTM mempunyai program khas anak miskin tegar membabitkan 5,000 penuntut daripada keluarga berpendapatan kurang RM3,000 dipilih mengikuti pengajian di universiti itu.

Beliau berkata statistik juga menunjukkan 65% pengambilan penuntut UiTM terdiri daripada anak keluarga kurang berada. 

Katanya, hampir 70% daripada alumni UiTM yang bilangannya hampir mencecah 600,000 datang dari luar bandar dan daripada keluarga tidak mewah. 

Sahol Hamid berkata tidak salah untuk mengaitkan UiTM dengan Umno kerana parti itulah yang memperkenalkan UiTM dan ia sehingga kini memberi sokongan berterusan dan menjaga kebajikan institusi itu.

"Mana-mana institusi sepatutnya bertuah untuk mendapat sokongan seumpama itu. UiTM berada pada kedudukannya kini kerana Umno dan tiada siapa boleh menafikan hakikat itu," katanya.

Naib Canselor itu menegaskan terdapat banyak institusi di Malaysia dan seluruh dunia yang dikaitkan dengan organisasi dan parti politik. – Bernama


No comments:

Post a Comment