Wednesday, 21 May 2014

#PRKTelukIntan: BUKAN PERTANDINGAN RATU CANTIK !!!


Pilihanraya Kecil (PRK) di Parlimen Teluk Intan (P076) adalah medan untuk rakyat memilih wakil rakyat dan bukan untuk memilih ratu cantik jelas YB Datuk Shahrul Zaman Datuk Yahya, Exco Belia Dan Sukan Negeri Perak yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, ketika berucap dalam Mesyuarat Gerak Kerja PRK Majlis Belia Daerah (MBD) Hilir Perak di Little Kitchen, Kampung Bahagia, malam semalam.


Shahrul Zaman ketika berucap turut menyatakan bahawa terdapat peluang yang amat baik untuk Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan.

“Peluang yang BN ada adalah secara genuine malah calon BN, Datuk Mah Siew Kiong merupakan Presiden Gerakan Kebangsaan. Tidak dinafikan DAP menawarkan calon yang menarik, tetapi ini bukanlah pertandingan ratu cantik. PRK Teluk Intan diadakan bagi memilih wakil rakyat untuk Parlimen bagi memberikan khidmat kepada penduduk disini.”

“BN menawarkan calon yang berpendidikan tinggi, mempunyai rekod kerja yang baik dan seorang yang berpengalaman luas sebagai wakil rakyat malah pernah memegang jawatan dalam kabinet sebagai Timbalan Menteri,” ujar Shahrul mengulas tentang calon PRK.


Calon BN, Datuk Mah Siew Kiong pernah menjadi ADUN Pasir Bedamar (N55) selama 1 penggal pada tahun 1995 dan kemudiannya menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan selama 10 tahun dari 1999 sehingga 2008.

Ketika mengulas berkaitan strategi PRK, Shahrul menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan corak politik serangan peribadi.

“Saya tidak bersetuju dengan cara menyerang peribadi calon lawan. Sebaliknya, adalah lebih baik jika kita ketengahkan kelebihan calon kita sendiri. Kita ada kelebihan dari segi calon yang berpengalaman dan berkredibiliti.”

“Ini (PRK Teluk Intan) merupakan peluang keemasan bagi rakyat Teluk Intan untuk mendapatkan wakil rakyat yang bakal mengisi jawatan dalam kabinet dan kemungkinan Datuk Mah untuk menjadi Menteri Penuh adalah tinggi jika beliau dipilih oleh rakyat di sini,” tambah Shahrul lagi.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh MBD Hilir Perak dijalankan malam semalam dihadiri oleh wakil-wakil dari pelbagai persatuan belia semua kaum termasuk Gerakan Belia 4B (GB4B) Kawasan Parlimen Teluk Intan.

[ SUMBER ]


No comments:

Post a Comment