Thursday, 24 March 2016

10 TAHUN #PABM BERJAYA ANGKAT BAHASA MELAYU DI MATA DUNIA


Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2016 disifatkan sebagai platform terbaik untuk mengangkat Bahasa Melayu ke mata dunia selain daripada mencapai cita-cita menjadikan lingua franca.



Menerusi pertandingan merebut Piala Perdana Menteri ini, para peserta pidato berkenaan berpendapat, bukan sahaja mereka dapat mempelajari Bahasa Melayu tetapi juga mengenali cara hidup dan budaya masyarakat di negara ini.

Sebanyak 47 orang peserta mengambil bahagian dalam tiga kategori pertandingan PABM 2016, yang tahun ini menyambut ulang tahun 10 penganjuran.

Hari ini berlangsung pusingan suku akhir selepas pusingan saringan bermula semalam.

Pusingan separuh akhir akan berlangsung esok, manakala pertandingan akhir akan diadakan pada 25 Mac ini.

Pemidato dari Jordan, yang melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mashal Kasem Alqudah berkata, PABM ini penting sebagai satu medium untuk berkongsi bahasa-bahasa dunia.

Pemidato dari Namibia, Rikambura Kaiho pula berpendapat, pidato berkenaan satu medium yang digunakan untuk mempelajari Bahasa Melayu. Kaiho merupakan pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sementara itu, peserta dari Iraq, Anas Mohamad Husian Kassim berpendapat, menyertai PABM adalah cara yang terbaik untuk mempelajari Bahasa Melayu.

Beliau yang belajar di Universiti Malaysia Pahang (UMP) ini berkata, melalui penyertaan dalam PABM, para peserta dapat memahami budaya dan cara hidup masyarakat majmuk di Malaysia.

Dalam pada itu, pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Youness Lahdili dari Maghribi pula berkata, bahasa berfungsi sebagai penghubung bagi setiap masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya.

Peserta PABM dari Tanzania, Abdalla Hassan Gharib berpendapat Bahasa Melayu adalah bahasa yang sangat menarik dan akan berkongsi bahasa ini bersama rakan-rakan di negaranya. Beliau merupakan pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Bercakap kepada wartawan Kapsul Berita, pemidato dari India, Hemavathi Krishnan berkata, pentas pidato adalah medium terbaik untuk menyebarkan Bahasa Melayu ke seluruh dunia.

Walaupun pelajar dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ini tidak mampu melayakkan diri ke peringkat separuh akhir, dia tetap gembira dan bangga kerana berpeluang menyertai PABM 2016.


Peserta pidato dari Kemboja, yang melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nasear Slayman mengakui penyertaannya dalam PABM dapat meningkatkan kemahiran Bahasa Melayu sekaligus memperkasakan Bahasa Melayu. – Utusan

No comments:

Post a Comment