Thursday, 24 March 2016

ISTERI PERDANA MENTERI, ROSMAH MANSOR RAI PESERTA #PABM 2016


Seramai 47 orang peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2016 diraikan oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana hari ini.



Majlis resepsi itu diadakan bagi meraikan peserta PABM 2016 dan bersuai kenal dengan finalist PABM yang akan bertanding di peringkat akhir Jumaat ini bagi merebut gelaran juara dan trofi pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Berbahagia To’ Puan Seri Che Kamariah Zakaria, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kiann Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk PABM serta Datuk Professor Dr Asma Ismail Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi.

Datin Seri Rosmah dalam ucap tama beliau mengucapkan tahniah kepada para peserta PABM 2016 kerana telah mewakili negara dan universiti masing-masing dalam pertandingan pidato ini.

Rosmah berkata PABM, yang dimulakan pada 2007 dengan hanya 23 peserta dari 23 negara, mencatatkan pertambahan peserta setiap tahun dengan edisi ke-10 kali ini menarik 47 penyertaan dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Belanda, United Kingdom dan Uzbekistan.

Bermula dengan hanya satu kategori sahaja, kini terdapat tiga kategori iaitu antarabangsa, alam Melayu dan pelajar antarabangsa di Malaysia, katanya.

Tambah Rosmah lagi, pertandingan pidato ini merupakan manifestasi iltizam, hasrat dan cita-cita Kerajaan serta rakyat Malaysia untuk melihat Bahasa Melayu berkembang subur di persada antarabangsa.

“Di samping memartabatkan Bahasa Melayu, PABM juga bertujuan untuk memantapkan kreativiti penutur dalam aspek berpidato kerana pidato merupakan satu seni persembahan yang unik dan berkesan sekiranya di sampaikan dengan baik. Ianya mampu mengubah pandangan dan paradigma pemikiran penonton yang mendengarnya.

“Ia ibarat senjata ampuh para pemidato yang mampu merubah perasaan dan semangat pendengar,” katanya ketika berucap di majlis resepsi Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Bahasa Melayu perlu diglobalkan dengan memberi tumpuan kepada kerjasama akademik dengan universiti ternama seluruh dunia melalui bidang pengajian bahasa Melayu, ujar beliau lagi.

Katanya kerjasama itu dapat diperkukuhkan dan diperluaskan lagi dengan penganjuran persidangan antarabangsa dalam bahasa Melayu yang mengumpulkan tokoh dan cendekiawan serta para pelajar dari seluruh dunia.


“Kita boleh mempergiatkan lagi program pertukaran tenaga pelajar dan para pelajar dari universiti-universiti luar negara ke Malaysia. Menggalakkan penempatan sabatikal kepada tenaga pengajar Bahasa Melayu yang berada di unversiti-universiti luar negara ke universiti tempatan bagi mengukuhkan penguasaan Bahasa Melayu. Disamping mendedahkan mereka dengan budaya dan adat resam masyarkat Melayu”, kata Datin Seri Rosmah.


Majlis yang berlangsung selama dua jam itu turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan penuh warna-warni dari universiti tempatan dan peserta PABM 2016.

Datin Seri Rosmah turut menghiburkan para tetamu dengan beberapa buah lagu diiringi oleh Datuk Syed Sobri dan Datin Azie semasa majlis itu berlangsung.

Selain itu, pelbagai juadah dan hidangan tradisional tempatan turut dihidangkan antaranya soto, roti jala dan talam Sarawak disajikan kepada hadirin yang hadir.


Pada Jumaat ini, peserta yang mara ke peringkat akhir akan berentap di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi penentuan Juara PABM 2016. -MYNEWSHUB.CC


No comments:

Post a Comment