Wednesday, 17 May 2017

Wan Azizah Sebenarnya Sindir Azmin Bukannya PAS



Kalau diamati betul-betul, arahan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya semua wakil PKR di Kelantan meletakkan jawatan serta-merta bukan bertujuan bersikap sinis pada PAS tetapi sebenarnya hendak Menteri Besar Selangor Azmin Ali buka mata dan sedar kelemahannya.

Sebagai Presiden, Wan Azizah sudah tunjuk berani beliau dengan masuk campur hal ehwal negeri Kelantan dan suruh semua wakil parti yang dilantik jadi Ahli Majlis Kerajaan Tempatan di syarikat GLC supaya meletak jawatan. 

Selepas parti PAS membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PKR, Azmin patutnya sudah pergi menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan maklumkan kepada Tuanku bahawa PAS dan PKR sudah tiada hubungan dan ketiga-tiga Exco PAS perlu dilepaskan dari jawatan mereka.

Sebaliknya, Azmin berbaik-baik pula kepada tiga Exco PAS itu. Sebelum ini Azmin lari ke Morocco dan Jordan, kini lari sampai ke Belgium pula.

Azmin memang takut berdepan masalah. Lihat sahaja bagaimana Azmin selesaikan isu DEIG, isu tanah Paya Wetlands, isu plastik 20 sen, isu krisis air Selangor, isu pintu gerbang dan isu Yawas. Azmin lari dari menjawab isu dan membiarkan semua isu ini tergantung tanpa tali. 

Bukan takat takut nak jawab isu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim ini juga takut hendak buat keputusan dan bertindak. 

Azmin takut kerana khuatir hilang sokongan dan takut berdepan masalah akan terlepas jawatan Menteri Besar. Azmin sudah mula rasa syok pegang jawatan MB di Selangor hasil dari kegagalan 'Langkah Kajang' Rafizi.

Memang PAS lah parti yang banyak bagi kemenangan kepada PKR dan Azmin. Sekali wakil PAS sudah hilang dari dalam barisan Exco, Azmin pasti menggelabah kerana ia bakal diapit oleh Exco dari DAP dan PAN yang belum tentu betul-betul menyokongnya. 

Sekarang ini, kapak dan lembing sudah di tangan Azmin. Jika ada maruah, pecat secepat mungkin semua Exco PAS dari dalam Kerajaaan Negeri dan semua wakil PAS dalam kerajaan, kemudian bentuk kabinet baru.

Wan Azizah dah buat keputusan. Semua pemimpin PKR di Kelantan diminta letak jawatan atas sebab maruah dan prinsip parti kata Wan Azizah.

Sebenarnya Wan Azizah hendak sindir Azmin. Sebagai MB dari PKR, apakah Azmin ada prinsip dan maruah untuk laksanakan kuasanya kepada pihak yang telah serang partinya?. Azmin lebih fikir kedudukan dirinya sendiri berbanding parti. Itulah sebabnya Wan Azizah perli.

Seperkara lagi, PKR nampak hanya berani dengan PAS sahaja dalam bab gertak atau ambil tindakan ini. Kalau dengan satu lagi parti dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP, PKR kecut perut malah mereka pula yang kena buli. 

Pada 20 Februari 2016, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tanpa agak-agak terus pecat dua wakil rakyat PKR dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tidak mengundi menyokong dalam usul tambak laut ketika sidang DUN.

Kedua-dua ADUN itu ialah ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng. Apa tindakan dari Wan Azizah dan PKR? Tidak berani pun lawan DAP.

Semalam, ADUN Penanti Dr Norlela Ariffin pula mengadu peruntukan untuk kawasan DUN yang diwakilinya telah disekat oleh kerajaan negeri DAP, Guan Eng. 

ADUN Penanti ini  terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Wan Azizah. Anak buah sendiri kena buli dengan Guan Eng begitu sahaja. Presiden PKR mana berani buat apa.

Alasannya Guan Eng sekat peruntukan kerana tidak hadir pada Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas baru-baru ini.

Senang-senang saja, Guan Eng "putaq kepala" PKR sampai macam-macam DAP buat kepada parti itu.

Dua kem sudah wujud dalam PKR. Di Selangor, bukan lagi PKR yang jadi kerajaan negeri tetapi parti Azmin yang jadi kerajaan. Di Penang, DAP buli habis-habisan PKR dan PAS, Guan Eng tidak takut langsung.

Yang bacul dan takut adalah Azmin di Selangor. Azmin hanya berani letak jawatan Presiden Persatuan Bolasepak sahaja. Lepas Azmin letak jawatan, masalah bola Selangor terus selesai. Gaji tertunggak pemain sudah selesai semalam.

Sampai bila Azmin mahu biar masalah politik Selangor ini terus tergantung tanpa tali? Sindiran Wan Azizah adalah teguran Anwar dari tirai besi penjara. Azmin nampaknya mahu perang besar dengan Anwar?

Inilah cara parti pembangkang mentadbir parti mereka dan kerajaan negeri. Lintang pukang habis jadinya, kebajikan rakyat entah ke mana sebab asyik berebut jawatan yang ada.

No comments:

Post a Comment