Friday 16 May 2014

AMBIL ALIH #PLUS: UNTUK RAKYAT ATAU KEPENTINGAN HALIM SAAD ?!!


Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) merupakan nadi utama pengangkutan di Semenanjung Malaysia dan kadar tol merupakan antara isu politik yang boleh memberi kesan buruk kepada kerajaan jika tidak ditangani dengan baik. 


Justeru mahu tidak mahu kerajaan harus menolak sebarang cadangan penswastaan semula secara terbuka kepada mana-mana pihak terutamanya kepada kumpulan Tan Sri Halim Saad.

Akhbar The Star, 25 Mac lalu melaporkan Tan Sri Halim Saad berhasrat mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya PLUS melalui melalui syarikat pelaburannya Idaman Saga. 

Kononnya melalui pengambil alihan ini kerajaan dapat menyelamatkan kos subsidi sebanyak RM 64 bilion.

Dalam cadangan tujuh muka suratnya, Idaman berjanji akan mengekalkan kadar tol sedia ada dan akan melupuskan sebarang pampasan daripada kerajaan sehingga konsesi berakhir pada 2038.

Idaman juga memberi beberapa janji manis antaranya menawarkan kad diskaun kepada pengguna untuk mengurangkan kadar tol mereka sehingga 50% bagi perbelanjaan antara RM 100-200 tertakluk kepada jarak tertentu.

Menggelarnya Skim Tol Mesra Rakyat, Idaman menganggarkan pengguna akan mengurangkan perbelanjaan sehingga RM 1,200 setahun untuk perjalanan melebihi 50 KM setiap hari dan RM 2,400 setahun untuk mereka yang melebih 100 KM setiap hari.

Bagaimanapun Idaman tidak menyatakan sebarang harga pembelian ke atas syarikat PLUS Malaysia Berhad (PMB) yang menguasai konsesi PLUS. 

PMB telah diperbadankan pada 29 November 2010 merupakan gabungan dua GLC iaitu UEM Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pada 29 November 2011, PLUS telah berjaya melengkapkan pemerolehan aset dan liabiliti PLUS Expressways Berhad (“PEB”). 

Semenjak itu, PMB menjadi syarikat pegangan Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad, Expressway Lingkaran Tengah Sdn Bhd (“ELITE”), Linkedua (Malaysia) Berhad (“Linkedua”), Konsortium Lebuh Raya Butterworth-Kulim (KLBK) Sdn Bhd (“KLBK”), TERAS Teknologi Sdn Bhd (“Teras”), PLUS Helicopter Services Sdn Bhd (“PHS”) dan ianya juga adalah pemegang saham besar Touch ‘n Go Sdn Bhd.

Sebagai sebahagian amalan korporatnya, Projek Lebuhraya Usahasama Berhad, anak syarikat milik penuh PMB, telah diperbadankan pada 27 Julai 2011 untuk melakukan penggabungan semua konsesi lebuh raya di bawah satu entiti tunggal. 

Pemerolehan kesemua aset lima konsesi lebuhraya telah dilengkapkan pada 12 Januari 2012.

Dengan lengkapnya pemerolehan tersebut, PMB adalah pengusaha lebuh raya bertol terbesar di Malaysia dan salah satu yang terbesar di Asia Tenggara.

Sejarah Halim dan Idaman

Cadangan pengambil alihan PLUS oleh Idaman Saga ini sungguhpun tampak cantik tapi sangat meragukan. 

Idaman Saga tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam pengurusan Lebuh raya, apatah lagi untuk menguruskan rangakain lebuh raya terbesar di Asia Tenggara.

Manakala rekod Halim sendiri walaupun berpengalaman mengendalikan PLUS pada awal perkhidmatannya menerusi Renong Berhad, namun beliau telah lama meninggalkan industri ini. 

Ini menimbulkan tanda tanya sama ada cadangan beliau ini boleh diangkat sebagai satu cadangan yang ampuh atau sekadar usaha membina semula nama beliau dalam bidang korporat tempatan.

Menurut sumber, dalam kertas cadangan yang dise­rahkan kepada Kementerian Kewangan, tidak ada langsung disebut secara terperinci tentang cadangan harga atau nilai pengambilalihan, bagaimana pelan kewangan untuk mengambil alih PLUS bahkan tiada butiran tentang kewangan dan rekod prestasi atau keupa­yaan Idaman Saga untuk melaksanakannya.

Ini merupakan kali kedua Halim Saad muncul untuk mengambil alih PLUS yang boleh dianggap “mercu tanda korporat” beliau sebelum krisis kewangan 1998.

Pada 2009, syarikat yang dikaitkan de­ngan Halim, Jelas Ulung pernah berusaha untuk mengambil alih PLUS tetapi tidak berjaya kerana gagal menyediakan deposit awal RM50 juta dan bukti memiliki dana tersebut.

Antara Kehendak Rakyat dan Kehendak Halim Saad

Kita kena akui Tan Sri Halim Saad antara tokoh korporat terkemuka suatu ketika lalu. 

Namun krisis kewangan 1998 yang melanda Asia menyebabkan beliau sendiri gagal melawan arus tersebut. 

Kita boleh melihat sudut positif mahu pun negatif.

Dalam krisis 1998, bukan Halim seorang yang menerima akibatnya. 

Banyak nama besar Melayu dan bukan Melayu yang kecundang atau hampir kecundang. 

Selain Halim Saad, tokoh-tokoh seperti Tan Sri Tajudin Ramli, Tan Sri Shamsuddin Kadir dan Tan Sri Abdul Rashid Hussain nama besar yang terpaksa mengalah dalam taufan tersebut.

Pada 2003 hanya tinggal beberapa nama Melayu dalam senarai 40 orang terkaya di Malaysia yang antaranya Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dengan kekayaan sebanyak RM1.67 bilion menduduki tempat ketujuh, pemaju hartanah Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar (RM1 bilion), Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah (RM625.3 juta), Datuk Hamdan Mohamad (RM613.7 juta), Tan Sri Rozali Ismail (RM570.6 juta), Tan Sri Azman Hashim (RM543.6 juta), Tan Sri Saleh Sulong (RM264.5 juta) dan Tunku Datuk Yaacob Tunku Abdullah (RM193.2 juta).

Justeru bukan kita untuk menghakimi kredebiliti Halim Saad. 

Halim telah membuktikan bahawa beliau berjaya berada dalam liga besar suatu ketika dahulu.

PLUS tidak mempunyai masalah apa-apa pun pada hari ini. 

Ia berada dalam keadaan terbaik dari segi perkhidmatan, urus tadbir dan pengurusan kewangan.

Masalah kenaikan tol mengikut perjanjian konsesi hanyalah isu teknikal. 

Kerajaan boleh mengubahnya jika ia mahu, kerana PMB dimiliki oleh GLC. 

Namun kerajaan mempunyai tanggungjawab terhadap pelabur dan juga para pemberi pinjaman.

Pembabitan pelaburan KWSP dan Tabung Haji bermakna ia merupakan pelaburan duit rakyat yang perlu mengambil kira pulangan dividen kepada penyimpan.

Demikian juga pemberi pinjaman pasti mahu kepastian dan jaminan apakah pinjaman mereka akan dibayar mengikut jadual jika ia diambil alih oleh syarikat swasta sepenuhnya.

Sungguhpun cadangan Idaman Saga tampak “segak bergaya” namun ia sekadar cadangan tanpa sebarang fakta konkrit termasuk kos pembelian, pembayaran hutang dan apakah jaminan lebuh raya ini tidak akan dicagarkan untuk kepentingan syarikat tersebut ?

Hakikat cadangan yang terlalu mudah ini didedahkan kepada media sungguh mengejutkan. 

Seolah-olah ia cuba memberi tekanan kepada kerajaan agar menjualkannya kepada Idaman Saga.

Ia seolah-olah mahu menimbulkan spekulasi dan kemarahan rakyat kononnya kerajaan atau UMNO ada kepentingan dalam PMB sebab itu enggan membenarkan Idaman Saga mengambil alih. 

Dengan kata lain, pembocoran cadangan separuh masak ini bertujuan menimbulkan persepsi negatif kepada kerajaan dan parti pemerintah. 

Seolah-olah kerajaan menghalang kadar tol yang rendah untuk kepentingan kroni.

Fakta sebenar, cadangan ini hanya “jualan impian” untuk pembinaan imej korporat. 

Dari segi perniagaan ia tidak bernilai apa-apa tanpa butiran jual beli dan tanggungan sedia ada diambil kira.

Selebihnya, sangat merbahaya untuk kerajaan melakukan kesilapan kali kedua membenarkan pihak swasta menguasai sebahagian besar lebuh raya di negara ini.

Cuma kita tertanya-tanya, apakah ada motif politik tertentu cuba dimainkan oleh Tan Sri Halim Saad melalui cadangan yang indah khabar dari rupa ini? 

Pertanyaan ini sangat mendesak kerana ia seolah-olah seperti mengiyakan kenyataan Anwar Ibrahim kononnya beliau mampu menurunkan harga tol jika menang pilihan raya.

[ SUMBER ]



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??