Monday 5 March 2012

BOLEHKAH NGO MENGATASI PARTI-PARTI POLITIK DARI SEGI KEBAJIKAN !!




PM anggap kuasa baru perjuang kebajikan masyarakat

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan mengiktiraf pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai kuasa baru pergerakan rakyat dan rakan strategik dalam memperjuangkan isu kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

Oleh itu, Perdana Menteri berharap NGO bergerak seiring dengan kerajaan bagi memantapkan pentadbiran dan memajukan ekonomi, politik dan sosial negara kerana Barisan Nasional (BN) tidak pernah alpa terhadap janjinya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita mengiktiraf fungsi NGO sebagai rakan strategik dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, apatah lagi dengan kemampuan NGO muncul sebagai kuasa baru dalam membantu memajukan masyarakat dan negara.
“Dengan ledakan teknologi maklumat (IT) dan fenomena globalisasi, maka berlaku perubahan besar dalam NGO yang hari ini muncul sebagai kuasa baru untuk memajukan masyarakat,” katanya berucap merasmikan program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan kira-kira 20,000 pemimpin serta ahli 1,623 NGO dari seluruh negara.

Program itu bertujuan memberi penghargaan kepada NGO sebagai rakan strategik kerajaan dalam membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaksanakan pelbagai program agama, kebajikan, kesukarelaan, kesihatan, pendidikan dan kebudayaan. 

Pada majlis itu, 18 NGO membuat pengakuan secara berasingan untuk terus memberikan sokongan padu kepada BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, selain memohon kerajaan menyediakan dana lebih besar bagi membantu NGO melaksanakan program kebajikan dan kesejahteraan anggota masyarakat.

Perdana Menteri berkata, kejayaan negara dalam bidang ekonomi, politik dan sosial sekarang dan pada masa depan tidak datang bergolek, sebaliknya direalisasikan melalui kecekapan urus tadbir kerajaan BN yang menjanjikan kelangsungan kesejahteraan.

Katanya, sejajar konsep turun padang dan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, kerajaan akan mempergiat usaha mendekati NGO berbanding menunggu pertubuhan itu datang untuk memohon bantuan kerajaan sebelum ini.

Sumber : Berita Harian Online

Harapan dan sokongan Perdana Menteri kepada badan-badan NGO mungkin boleh memberi impak yang baik kepada masyarakat tetapi masalah kewangan sering menghimpit badan-badan NGO untuk bergerak bebas kepada masyarakat, walaupun dana ada disediakan tetapi amat sukar diperolehi....

Badan-badan NGO bukanlah topeng mahupun cermin yang hanya digunakan bila diperlukan oleh sesuatu pihak, sebaliknya haruslah menjadi penghubung masyarakat kepada kerajaan.

Semoga program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) tidak di adakan 5 tahun sekali seperti pilihan raya tetapi setiap tahun..



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??