KESEMUA 47 peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2016 (PABM 2016) teruja berkongsi pengalaman menaiki kapal persiaran Putrajaya, semalam.
Masing-masing melahirkan riak wajah teruja melihat seni bina dan keindahan pusat pentadbiran Malaysia yang tersergam indah di sepanjang laluan tasik tersebut.
Melusuri sepanjang tasik Putrajaya, kesemua peserta menaiki kapal persiaran Daun yang dikemudi seorang kapten kapal dan pembantunya yang memberikan pelbagai informasi menarik mengenai sejarah Putrajaya.
Peserta dari Republik Czech, Lukas Fort, berkata dia seronok dapat melakukan aktiviti santai selepas melalui peringkat saringan PABM 2016.
“Seronok naik cruise dengan rakan-rakan yang lain, di samping itu kami semua dapat menjamu mata melihat sendiri keindahan Putrajaya yang memang sangat cantik dan memukau mata memandang,” katanya.
Selain Lukas, peserta dari Itali, Giuseppina Monaco turut berkongsi perasaan gembira dapat menaiki pelayaran dengan suasana yang cukup tenang dan mendamaikan selain persekitaran Putrajaya yang sangat segak mata memandang.
“Seronok sangat, memang betul-betul cantik, saya pasti akan datang kembali melawat Putrajaya, kali ini mungkin saya akan bawa kawan-kawan dan ahli keluarga saya juga, siapa tahu kan?” katanya teruja.
Peserta dari Afganistan, Palwasha Bakhteri pula berasakan Putrajaya mungkin boleh disenaraikan antara salah satu keunikan di dunia berdasarkan keunikan seni bina bangunannya yang cukup unik dan menarik.
“Seni bina dia sahaja sudah cukup menarik kehadiran pelancong, tambah lagi dengan persekitaran sekitarnya yang cukup redup dan tenang. Memang antara destinasi wajib buat orang luar untuk datang ke Putrajaya sekiranya mereka melancong di Malaysia.
“Kalau tak datang sini, macam tak lengkap percutian anda di Malaysia!” katanya lagi.
Peserta dibawa mengelilingi sekitar tasik yang mengambil masa selama lebih kurang sejam sebelum dibawa menjamu selera di Restoran Tasik Putrajaya bagi merasai sendiri keunikan masakan Malaysia yang menjadi buah mulut masyarakat dunia. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Post a Comment