Saturday, 26 March 2016

GADIS JEPUN JUARA #PABM PIALA PERDANA MENTERI 2016


Peserta dari Jepun, Hatsune Yanai, 21, dinobatkan juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2016 kategori Antarabangsa, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.



Hatsune Yanai, memilih tajuk pidato ‘Ilmu Keamanan Yang Seimbang Kunci Kebahagiaan Manusia’ berjaya menambat hati para juri sekali gus menewaskan dua pesaing terdekat dalam pertandingan akhir malam ini.

Sementara itu, Wang Jialu Aleeya, 20, dari China hanya berpuas hati dengan gelaran naib johan manakala Megan Rose Donelly, 27, dari Amerika Syarikat diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga bagi kategori yang sama.

Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut merasmikan pertandingan tersebut.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan isteri, Toh Puan Che Kamariah Zakaria dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk PABM, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.

Dalam pada itu, wakil Malaysia, , Muhamad Haziq Jamaludin, 23, yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara bagi kategori Alam Melayu menerusi tajuk pidato ‘Rahsia Keamanan’.

Kemenangan itu sekali gus menewaskan rakan senegara, Irfan Mohamad Fairus, 21, yang diumumkan sebagai naib johan dan Muhammad Sa’mae, 19, dari Thailand (tempat ketiga).

Abdalla Hassan Gharib, 36, dari Tanzania pula diumumkan juara kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (Pam) diikuti Nasear Slayman, 31, dari Kemboja (naib johan) dan Anas Mohamad Husian Kassim, 26, dari Iraq di tempat ketiga.

Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, piala Perdana Menteri, piala dan hadiah iringan serta sijil.

Naib johan memba­wa pulang hadiah wang tunai RM12,000 (piala dan hadiah iringan serta sijil) manakala tempat ketiga menerima RM8,000 (piala dan hadiah iringan serta sijil).

Seramai 47 peserta dari 34 buah negara mengambil bahagian dalam pertandingan PABM Piala Perdana Menteri 2016 yang bermula Isnin lalu, namun hanya sembilan peserta yang layak ke peringkat akhir.

Pertandingan PABM peringkat akhir diadili oleh tujuh juri profesional terdiri daripada tokoh dan pakar bahasa itu disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV2. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??