Thursday 24 March 2016

#PABM: LAWATAN KE UKM UNTUK SATU PANDANGAN JELAS KEPENTINGAN BAHASA


Kesemua peserta pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2016 (PABM 2016) dibawa ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor bagi menghadiri satu lawatan ilmiah, semalam.



Program yang dilakukan adalah bertujuan untuk memberikan satu pandangan yang jelas tentang kepentingan bertutur dalam Bahasa Melayu di seantero dunia.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku kemudian disusuli dengan lagu UKM, Varsiti Kita.

Selepas nyanyian lagu-lagu rasmi, Timbalan Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Noraziah Awal memberikan ucapan kepada semua peserta PABM 2016 yang hadir.

Beliau menerangkan bahawa UKM adalah salah sebuah universiti penyelidikan terkemuka yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pembelajaran semasa kuliah dijalankan.

Walaupun menggunakan bahasa Melayu, UKM berjaya melahirkan begitu ramai pelajar yang berjaya sehingga dikenali ke serata dunia.


Angkasawan pertama negara kita, Sheikh Muszaphar Shukor yang merupakan salah seorang insan disegani dunia, juga merupakan produk keluaran UKM.

Program diteruskan lagi dengan ucapan fellow dari Institut Alam dan Bahasa Melayu, Junaini yang menerangkan tentang kepentingan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

Junaini kemudian menyentuh aspek perasaan yang timbul antara dua pihak apabila bertutur dalam bahasa ibunda dan menerangkan bahawa pertuturan dalam bahasa Melayu juga membantu menjana sektor politik Malaysia.

Dia kemudian menjelaskan tentang kursus intensif bahasa Melayu yang disediakan di UKM dengan janji bahawa setiap pelajar akan mahir berbahasa Melayu dalam level-level yang tertentu.

Selepas tamat penerangan pihak UKM, kesemua peserta pidato dibawa ke Muzium Warisan Akademik UKM, sebuah galeri yang mempamerkan kesemua sejarah UKM sejak ia ditubuhkan pada 18 Mei 1970 sehingga hari ini.

Muzium ini terbahagi kepada 10 bahagian utama yang menerangkan setiap satu pameran dengan terperinci dan mendalam.


Ia juga mempamerkan semua senarai Canselor dan Timbalan Canselor sejak UKM ditubuhkan, semua jubah bagi setiap fakulti dan taraf pendidikan, pencapaian setiap fakulti dan terdapat satu bahagian khas yang menceritakan tentang angkasawan negara. – MYNEWSHUB.CC


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??