Friday, 26 May 2017

Kedaulatan Negara Tidak Tergadai Bila Geely Beli Saham Proton



Pengerusi parti bunga, Mahathir terus membuat tuduhan mendakwa syarikat pembuat kereta Proton dikatakan sudah dijual kepada China dan bukan milik Malaysia lagi dalam tulisan terbaru di blognya. 

Kononnya, Mahathir menangis kerana hilang anak. Proton tidak hilang, ianya masih ada. Semasa anak besinya hilang betul betul iaitu Perwaja, mengapa Mahathir tidak menangis? Apakah Mahathir mahu nasib perniagaan Proton senasib dengan Perwaja? 

Pembelian saham adalah urusan perniagaan, ianya tidak terbabit pun dengan soal kedaulatan negara. Tuduhan Mahathir itu adalah karut, kerana syarikat yang memiliki Proton DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) hanya menjual 49.9 peratus kepentingan mereka di dalam syarikat itu.

DRB-Hicom masih memegang pegangan majoriti iaitu 51.1 peratus dan ianya secara majoritinya akan tetap menjadi syarikat milik Malaysia.

Mahathir tuduh kata kerajaan jual aset negara termasuklah Proton ini kepada negara asing katanya untuk menyelesaikan hutang. Takkan Mahathir tidak tahu sengsara apa yang Proton tanggung dari segi pusingan modal dan kewangan untuk menampung operasi.

Pembelian saham oleh Geely ini adalah perkongsian strategik untuk membawa masa depan yang lebih baik untuk syarikat Proton dan pekerjanya.

Pada 2 Ogos 2010, syarikat Geely membeli  pegangan dalam syarikat Sweden, Volvo dengan harga USD$1.3 billion dari Ford Motor. 

Selepas itu jualan kereta Volvo naik 27% berbanding tahun sebelumnya. Kilang Volvo masih lagi di Sweden dan Belgium. 

Pihak pembangkang di Sweden tidak pula membangkitkan soal penjualan pegangan Volvo ke syarikat Geely sebagai menjual kedaulatan negara Sweden.

Geely juga telah membeli The London Taxi Company di United Kingdom dengan harga £11.04 pada 2012. Ada pihak pembangkang di United Kingdom dakwa pembelian Geely ini seolah menjual kedaulatan negara? Tidak.

Hanya pihak pembangkang yang bernama Pakatan Harapan di Malaysia sahaja menuduh kerajaan menjual kedaulatan negara bila Geely membeli saham Proton.

Rakyat sudah tahu pada tahun 1985 hingga 2000, Proton mengeluarkan kenderaan kebanyakan berdasarkan rekabentuk dan serta alat ganti termasuk enjin dari Mitsubishi dari Jepun. 

Proton mengadakan kerjasama dengan Mitsubishi Motors antara tahun 1983 dan 1984 untuk pengeluaran kereta Malaysia yang pertama. Kereta yang Mahathir pandu di Jambatan Pulau Pinang. 

Ia bukanlah keseluruhannya hasil kerja Proton. Ianya kerjasama strategik antara syarikat Jepun dengan syarikat Malaysia, Proton. Apakah pada masa itu kedaulatan Malaysia tergadai kepada Jepun? 

Proton kini tarafnya adalah sebuah syarikat korporat di bawah kawalan jutawan tempatan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Keputusan yang dibuat adalah keputusan perniagaan kerana Syed Mokhtar tidak mahu lagi menanggung kerugian. 

Mengapa Mahathir enggan menyelar keputusan Kerajaan Pulau Pinang yang meluluskan Enakmen Pinjaman Kerajaan Negeri (Bank dan Sumber Kewangan Lain) 2017 untuk membolehkan kerajaan Lim Guan Eng meminjam wang tanpa had dari China?

Pinjaman tanpa had itu dikatakan kononnya untuk membiayai projek prasarana baru di pulau berkenaan dan pojek lain.

Wang akan dipinjam iaitu berhutang dengan Bank Eksport-Import China (Exim Bank Of China) untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP). 

Mengapa Mahathir tidak kata DAP hendak jual Penang pada China? Takut pada DAP? 1MDB dulu berhutang untuk perniagaan bukan main lagi Mahathir bising. Kini, Guan Eng pinjam duit tanpa had, kenapa Mahathir diam? 

Mahathir patut menangis kerana sudah 25 kampung Melayu di Penang sudah hilang kerana dikerjakan DAP. Tanah di Penang sudah habis dilelong DAP pada kroninya. Malah duit zakat untuk orang Islam pun sudah diseleweng kroni kroni Guan Eng. 

Kenapa Mahathir tidak menangis? Proton tidak ke mana mana. Masih ada. Ianya hanya kerjasama strategik.

Syarikat Proton tidak akan rugi kerana menjual sebahagian pegangannya kepada syarikat yang mempunyai potensi dari China, sebaliknya akan lebih berjaya dalam industri pembuatan kereta.

Lebih elok Mahathir tuduh, kutuk dan kritik Guan Eng yang jelas-jelas menindas rakyatnya. Guan Eng terlibat dengan rasuah tetapi enggan melepaskan jawatan.

Pembelian saham Geely adalah urusan perniagaan, ianya tidak menjejaskan pun kedaulatan negara kita. Usah terpedaya dengan tangisan simpati Mahathir.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??