Sunday 3 November 2013

#PRKSgLimau - PAS REBAH DI SUNGAI LIMAU 351 AHLI PAS SERTAI UMNO TUBUH 5 CAWANGAN BARU !!!


Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau (N20) telah menyaksikan 'penghijrahan' 351 orang ahli parti PAS yang menyertai UMNO pada malam tadi, sesuai dengan tema Barisan Nasional (BN) sempena PRK DUN Sungai Limau, 'Berani Hijrah'.




Dengan kemasukan 351 orang ahli PAS ke dalam UMNO, 5 cawangan baru UMNO ditubuhkan iaitu; Kampung Permatang Keramat Sungai Dedap, Kampung Klinik Sungai Dedap, Kampung Sungai Limau Dalam, Kampung Titi Simen Sungai Daun dan Kampung Tok Rama.

Borang-borang keahlian bagi kelima-lima cawangan yang baru ditubuhkan diserahkan kepada Ahli Parlimen Jerai, Dato' Sri Jamil Khir Baharom, didalam Majlis Berani Hijrah yang diadakan di Kampung Sungai Limau Dalam.

Turut hadir sama YB Datuk Azeez Rahim, Ahli Parlimen Baling dan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya, Exco Pemuda UMNO Malaysia.


Mungkin pengikut tegar pembangkang akan menuduh bahawa ini adalah satu sandiwara UMNO tetapi penduduk di DUN Sungai Limau lebih tahu kebenarannya memandangkan semasa Majlis Berani Hijrah tadi telah dihadiri oleh penduduk tempatan dan hampir semua media utama turut hadir.


Ketika menemuramah beberapa orang bekas ahli PAS yang telah menyertai UMNO pada hari ini, rata-rata menyatakan bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan PAS.

Mereka yakin 'penghijrahan' ini bakal membawa perubahan besar kepada seluruh penduduk di DUN Sungai Limau khususnya dan menyatakan rasa bersyukur kerana Allah telah membuka pintu hati mereka untuk satu 'hijrah' yang amat bermakna.


Dato' Sri Jamil Khir juga menyatakan bahawa penubuhan 5 cawangan baru yang disertai oleh bekas ahli PAS ini akan memberikan keyakinan pengundi DUN Dungai Limau terhadap BN.

Antara rungutan terhadap PAS dari bekas-bekas ahli PAS ini adalah sikap pemimpin PAS yang tidak mempunyai hasrat untuk membantu golongan miskin dan berat tulang untuk turun padang.

Sepertimana yang kita semua telah maklum, PAS telah memerintah Kedah selama sepenggal malah mantan ADUN Sungai Limau juga adalah dari PAS iaitu Allahyarham Dato' Sri Azizan Razak.

Selama sepenggal itu juga, tiada sebarang perubahan yang mampu PAS laksanakan di peringkat DUN mahupun negeri.

Oleh itu, keyakinan rakyat terhadap PAS semakin hilang dan buktinya kita juga dapat lihat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu bila mana BN merampas semula Kedah dari PAS.

Justeru, kemasukan 351 orang ahli PAS kedalam UMNO hari ini tidaklah terlalu mengejutkan kerana penulis memang telah menjangkakan perkara sebegini akan terjadi saat kegamatan PRK DUN Sungai Limau.

Bekas-bekas ahli PAS ini menyatakan keyakinan yang tinggi terhadap Ahli Parlimen mereka, Dato' Sri Jamil Khir, mampu membawa perubahan besar kepada penduduk Jerai khususnya Sungai Limau.

Mereka juga yakin kemampuan calon BN untuk PRK DUN Sungai Limau, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, dalam merealisasikan impian mereka untuk membawa perubahan kepada penduduk DUN Sungai Limau.

Dengan pelbagai isu yang dihadapi PAS ketika ini, penulis cukup yakin akan lebih ramai lagi ahli PAS yang akan meninggalkan parti dan sebahagiannya akan menyertai UMNO.

Antara isu yang diungkit oleh bekas ahli PAS yang sempat penulis temui, menyatakan ketidakpuasan hati mereka bila PAS bercelaru tentang isu penggunaan Kalimah Allah bagi penganut agama selain agama Islam.

Ada pemimpin PAS sendiri yang menyokong, ada yang membantah malah tidak kurang yang sekadar membisu sahaja.

Sikap pemimpin PAS yang tidak sekata dalam menyatakan pendirian terhadap isu paling besar dan kritikal bagi seluruh umat Islam ini melunturkan keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap PAS.

Malah, mereka juga tidak sukakan 'perkahwinan paksa-rela' antara PAS dan DAP.

Penulis juga turut difahamkan terdapat pergaduhan antara jentera PAS Sungai Limau dengan jentera PAS Pusat.

Jentera PAS Sungai Limau menolak kehadiran Anwar ke Sungai Limau dan membuat kempen 'Tolak DAP' tetapi PAS Pusat membantah keras tindakan PAS Sungai Limau dan cuba untuk membuatkan PAS Sungai Limau mengikut telunjuk PAS Pusat.

Ini juga turut menjadi faktor beberapa bekas ahli PAS ini meninggalkan PAS dan menyertai UMNO pada malam tadi.

Apa yang penulis boleh katakan disini adalah, kekuatan PAS di Sungai Limau bukanlah dari penyokong atau jentera tempatan, tetapi kekuatan PAS di Sungai Limau hanyalah bergantung kepada jentera luar yang dibawa dan juga penyokong 'import'.

Mungkin pembaca boleh datang sendiri ke DUN Sungai Limau dan lihat kekuatan sokongan didalam siri-siri ceramah PAS di peringkat PDM.

Siri ceramah pembangkang yang dihadiri Anwar semalam atau Cikgu Bard sebentar tadi, mungkin nampak ramai, tetapi yang ramainya adalah petugas dan penyokong 'import' dari Kelantan dan Terengganu.

Manakala di peringkat PDM, PAS hanya mampu mengumpul kurang dari 20 orang penyokong bersama kerusi kosong, walaupun penceramahnya adalah calon PAS PRK DUN mereka sendiri.

Justeru, kekalahan PAS di PRK DUN Sungai Limau adalah sesuatu yang tidak mustahil...


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??