Monday, 10 August 2015

USAHA DAN ILTIZAM KERAJAAN MENGANTARABANGSAKAN BAHASA MELAYU - @NajibRazak !!!


Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam ucapan perasmian pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015 menyatakan bahawa penganjuran pertandingan ini adalah satu usaha dan iltizam kerajaan dalam mengantarabangsakan dan meletakkan Bahasa Melayu di kedudukan yang amat tinggi.



Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang telah memasuki tahun kesembilan penganjurannya merupakan sebuah majlis yang berprestij kerana menjadi satu-satunya pertandingan Bahasa Melayu peringkat antarabangsa.

Menurut Najib, PABM berjaya mengumpulkan para pelajar pusat-pusat pendidikan tinggi dari pelbagai negara yang meliputi 6 benua berpenghuni.

“Penganjuran bukanlah dibuat sekadar untuk berseronok-seronok atau mendapatkan pujian semata-mata bahkan ia merupakan satu usaha dan iltizam kerajaan dalam mengantarabangsa dan meletakkan Bahasa Melayu di kedudukan yang amat tinggi dan dapat diajar sebagai satu subjek di gedung-gedung ilmu ternama di seluruh pelusuk dunia,” ucap Perdana Menteri.

“PABM menjadi platform mempertontonkan kepada seluruh rakyat Malaysia dan sebagai tanda simbolik bahawa Bahasa Melayu sememangnya bersifat global telah berkembang maju serta dimartabatkan sehingga ke seantero dunia bertepatan dengan tema penganjurannya, ‘Pengantarabangsaan Bahasa Melayu’,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, Bahasa Melayu telah menempuh pelbagai proses evolusi yang amat mencabar seperti melalui keilmuan, perluasan kuasa dan empayar, perdagangan, perkahwinan serta kebudayaan.

Bahasa Melayu juga telah melalui pelbagai aspek penyerapan dan penyebatian daripada sanskrit kepada Bahasa Melayu moden serta penambahan perkataan dan kosa kata antaranya daripada Bahasa Arab, China, Belanda, Portugal dan Bahasa Inggeris.

“Bahasa Melayu itu milik dunia dan telah menjadi khazanah antarabangsa. Bahasa Melayu masih dianggap muda terutamanya dari segi pengistilahan sains dan teknologi berbanding Bahasa Inggeris yang kini diterima sejagat sebagai bahasa teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT,” katanya.

Tambah Najib lagi, perkembangan dan ledakan ICT telah memberikan cabaran besar kepada Bahasa Melayu untuk memasuki alam siber dan bersaing dengan bahasa-bahasa lain yang lebih dominan.

Walaupun masyarakat menerima dan memberi ruang kepada Bahasa Inggeris untuk berkembang dalam sistem pelajaran, Perdana Menteri menekankan bahawa kerajaan tetap menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam pendidikan dan pengantaraan rasmi di negara ini.

“Penguasaan bahasa asing termasuk Bahasa Inggeris tidak semestinya melunturkan jati diri dan keintelektualan seseorang itu. Sebaliknya, ia akan melahirkan jati diri yang lebih kukuh dan semakin kuat perasaan sayang terhadap bangsa dan kepentingan bahasanya,” ujar Najib.

“Kelahiran teknologi ICT telah membawa perubahan yang amat pantas dalam mencorakkan pola perniagaan sehingga telah mencetuskan iklim ekonomi baru dunia yang disebutkan sebagai K-Ekonomi. Signifikannya Bahasa Melayu perlu cukup utuh dan mantap serta harus berupaya mengemudikan masyarakat penuturnya untuk bergerak seiring dengan arus pembangunan K-Ekonomi hari ini.”

“Seandainya kita gagal, Bahasa Melayu akan terkebelakang dan boleh jadi dianggap tidak lagi relevan. Dalam konteks ini kerajaan sentiasa bersedia membantu mana-mana pihak yang mahu memberikan penekanan kepada Bahasa Melayu sebagai wadah K-Ekonomi demi memastikan Bahasa Melayu relevan dan berterusan untuk sepanjang zaman,” ujar Perdana Menteri.

Perdana Menteri turut mencadangkan 5 perkara sebagai satu usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu di era ICT, dalam ucapan perasmian pertandingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015.

Menurut Perdana Menteri, usaha untuk mengantarabangsakan Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia memerlukan inisiatif dan perkasa yang bersepadu serta inklusif.

Sebagai contoh, beliau menyatakan bahawa para pendahulu telah memaktubkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan melalui perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau mencadangkan 5 perkara sebagai ikhtiar dan usaha memartabatkan Bahasa Melayu di era ICT.


Pertama, meminta Kementerian Pendidikan Tinggi terus mengadakan perbincangan untuk menubuhkan lebih banyak kerusi pengajian Bahasa Melayu di Universiti-universiti tersohor di serata dunia.

Kedua, mengadakan kerjasama dengan sekolah atau institusi pengajian tinggi luar negara terutamanya dalam bidang penyelidikan dan penghantaran tenaga pengajar yang berkaitan dengan bahasa dan persuratan Melayu.

Ketiga, memperkenal dan mempromosikan Bahasa Melayu melalui penglibatan negara dalam persidangan-persidangan antarabangsa dan di institusi-institusi pengajian tinggi negara-negara yang berkenaan.

Keempat, menyarankan agar Kementerian Pengajian Tinggi, Dewan Bahasa serta syarikat-syarikat penerbitan di negara ini bekerjasama dan membekalkan bahan bacaan dan rujukan khususnya tentang tamadun Melayu serta negara Malaysia ke masyarakat antarabangsa.

Sebagai tambahan atas langkah ini, beliau juga mencadangkan agar filem, televisyen tempatan yang menonjolkan Bahasa Melayu dan budaya Malaysia dieksport ke negara luar.

Kelima, membangunkan Bahasa Melayu didalam alam siber seperti membina portal dan penerbitan elektronik khusunya mengenai kebudayaan Melayu serta Malaysia.

Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang kini telah memasuki tahun kesembilan penganjurannya dengan penyertaan yang meningkat, Perdana Menteri turut mencadangkan agar Alumni PABM dapat ditubuhkan melalui Kementerian Pengajian Tinggi.

Melalui Alumni PABM ini, beliau berharap agar setiap dari ahli alumni ini boleh berperanan sebagai duta kecil dalam memperkasakan Bahasa Melayu di negara masing-masing.

“Usaha-usaha tambahan wajar dilakukan seperti pemenang-pemenang ini diberikan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah,” ujar Najib.

“Sebagai contoh, Universiti Putra Malaysia telah menawarkan 10 biasiswa kepada peserta PABM pada tahun lalu bagi melanjutkan pengajian di Universiti berkenaan. Semoga tawaran seperti ini dapat diteruskan lagi pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang,” katanya.


Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa ikhtiar untuk menjadikan Bahasa Melayu agar terus berkembang subur mencapai tahap supranasional serta universal akan terus dilaksanakan. 

[ SUMBER ]


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??