Monday 15 May 2017

Tahaluf Siyasi – Antara Kuasa, Wang Dan Wala, Di Mana Kedudukan PAS Di Selangor



Tarikh 11 Mei 2017 adalah tarikh yang tidak akan dilupakan oleh PAS dan PKR kerana pada hari  berkenaan, Majlis Syura PAS mengambil tindakan berani dengan memutuskan tahaluf siyasi parti itu  dengan PKR setelah 9 tahun hubungan terjalin.

Tindakan yang diambil ini bukan mudah namun keputusan Muktamar PAS kali ke 63 di Alor Setar pada awal bulan ini telah menghantar isyarat bahawa PAS enggan lagi bersekongkol dengan PKR dalam apa jua bentuk hubungan politik.

Melihat kepada keputusan Majlis Syura ini, timbul persoalan, apa nasib tiga orang Exco kerajaan negeri di Selangor? Bagaimana pula dengan Ahli Majlis Tempatan? Bagaimana pula kedudukan imam-imam dan penjawat awam lantikan kerajaan negeri yang kebanyakannya adalah ahli PAS?

Apa pilihan yang ada pada mereka? Adakah mereka akan memilih kuasa atau wang ataupun memilih untuk taat kepada keputusan Majlis Syura dan kepimpinan tertinggi PAS?

Dalam keadaan sekarang, tidak banyak pilihan yang ada buat ahli PAS setelah keputusan berkenaan dibuat.  Pilihan yang ada hari ini adalah kekal setia dengan PAS atau memilih untuk terus berada di bawah pentadbiran Datuk Seri Azmin Ali selaku Menteri Besar Selangor.

Secara amnya, sebagai seorang manusia, kita tidak dapat lari dari hasutan hawa nafsu. Kali ini, keputusan Majlis Syura itu merupakan ujian kepada ahli PAS yang mempunyai jawatan dalam kerajaan Pakatan Harapan di Selangor.

Menyebut tentang nafsu, tarikan kuasa dan kewangan seringkali menjerumus seseorang itu meninggalkan prinsip kesetiaan. Sering kali, seseorang itu akan melakukan kesilapan dalam membuat keputusan dan ini juga tidak mustahil boleh berlaku.

Ramai yang sedang melihat sejauh mana kesetiaan ahli PAS menjunjung prinsip taat kepada perintah ketua sebaik sahaja Majlis Syura memutuskan untuk tidak lagi meneruskan tahaluf siyasi mereka dengan PKR.

Majlis Syura PAS membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PKR disebabkan beberapa perkata, antaranya ialah tindakan PKR tidak menyokong, malah menentang sebahagian daripada agenda Islam dibawa PAS seperti Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

PKR juga melanggar adab bekerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej parti berkenaan.

Selain itu, PKR telah khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??