Monday 1 October 2012

TEKS BAJET 2013 : MENSEJAHTERAKAN RAKYAT



FOKUS KELIMA: MENSEJAHTERAKAN RAKYAT

Tuan Yang di-Pertua,

96. Kerajaan juga akan menyediakan 6 bilion ringgit pada tahun 2013 di bawah Insentif Pembiayaan Swasta yakni PFI 2 untuk melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Antara projek yang telah dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah serta klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan.

Mewujud Kejiranan Yang Selamat dan Harmoni

Tuan Yang di-Pertua,

97. Kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan kadar jenayah sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA.

Usaha mengurangkan kadar jenayah akan terus dipertingkatkan.

Untuk tujuan ini, peruntukan sejumlah 591 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2013 untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pertama : Menambah bilangan perjawatan baru Polis DiRaja Malaysia pada 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah serta menaik taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan moden;

Kedua: Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal memantau kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan 1,000 buah motosikal dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit;

Ketiga: Menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis seramai 10,000 orang dengan peruntukan 70 juta ringgit bagi membantu polis membanteras jenayah; dan

Keempat : Menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau CCTV sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tuan Yang di-Pertua,

98. Kerajaan sedar akan tugas dan tanggungjawab berat pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia.

Kepada warga PDRM saya mendengar rintahan saudari dan saudari sekelian tentang beberapa anomali yang wujud terutamanya dalam perjawatan untuk para pegawai.

Kerajaan mendengar dan mengambil maklum kita tidak sekali-kali mengambil mudah tentang soal ini.

Kerajaan telahpun mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam agar kajian komprehensif dilakukan untuk menambahbaik laluan kerjaya warga PDRM.

Kajian dan segala cadangan yang dibuat hendaklah merundingi semua “stakeholder” dan hendaklah diselesaikan dalam masa secepat mungkin.

99. Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang dituduh di mahkamah mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan dan telah memberi geran pelancaran sebanyak 14 juta ringgit kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Kerajaan dengan ini menambah 20 juta ringgit lagi peruntukan untuk tahun 2013.

Tuan Yang di-Pertua,

100. Penglibatan swasta dan komuniti setempat secara menyeluruh bersama Kerajaan adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat.

Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

Pertama : Menyokong peranan persatuan penduduk bagi tujuan menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk ini, Kerajaan bercadang memberi geran berjumlah 10,000 ringgit kepada 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, dengan kos sebanyak 40 juta ringgit;

Kedua : Mempertingkatkan peranan rukun tetangga dalam membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan mensasarkan 6,500 penubuhan kawasan rukun tetangga menjelang tahun 2013. Kerajaan akan memperuntukkan 39 juta ringgit bagi membiayai aktiviti KRT;

Ketiga : Menyediakan sepasang pakaian seragam untuk 300,00 anggota RELA yang aktif dengan peruntukan sebanyak 90 juta ringgit; dan

Keempat : Tolakan sepenuhnya perbelanjaan pemasangan alat kawalan keselamatan bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama ia dibelanjakan, berbanding dengan tolakan semasa iaitu 8 tahun, di bawah galakan Elaun Modal Dipercepatkan. Kerajaan juga bersetuju galakan yang menarik ini turut diberi kepada syarikat pemaju perumahan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Tuan Yang di-Pertua,

101. Pastinya, Kerajaan terus komited untuk membasmi gejala rasuah.
Bagi tahun 2013, sebanyak 276 juta ringgit akan diperuntukkan kepada SPRM bagi membanteras rasuah.

Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai 5,000 anggota.

Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha Kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.

Memacu Transformasi Komuniti

Tuan Yang di-Pertua,

102. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar atau RTP bagi mengukuhkan pembangunan kawasan luar bandar.

Untuk komuniti di bandar pula, sukacita saya mengumumkan Program Transformasi Bandar atau UTP.

Sejumlah 200 juta ringgit akan disediakan bagi maksud ini.

Bagi memastikan penyelarasan strategik di antara RTP dan UTP, National Strategic Coordination Unit akan diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan.

103. Urban Transformation Program adalah inisiatif Kerajaan dalam pembangunan komuniti bandar bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Kerajaan dan swasta yang efisien, cepat dan mudah diakses.

UTC dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan Kerajaan sedia ada yang kosong atau mengoptimumkan penggunaan bangunan dengan kos yang minimum.

Sebagai contoh, di UTC, rakyat boleh membuat pasport dalam tempoh satu jam sahaja, membayar zakat, bil utiliti, cukai pintu, membeli kain dan buku serta menjalankan aktiviti riadah seperti futsal dan gim.

Keunikan UTC ini, ia beroperasi bermula dari 8.30 pagi hingga 10 malam, 7 hari seminggu.

104. Di bawah UTP, Kerajaan telah melancarkan 2 Pusat Transformasi Bandar atau UTC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur.

Terkini, UTC KL telah menerima purata seramai 4,000 orang sehari.

Pelaksanaan UTC akan diperhebatkan dan dilaksanakan secara berperingkat di 6 bandar utama, iaitu Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

Program Transformasi Luar Bandar

105. Di luar bandar, Kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan bagi menyediakan sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik serta ruang niaga.

Berdasarkan manfaat yang diterima, Kerajaan akan terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Kerajaan juga akan menaik taraf Medan Info Desa seluruh negara sebagai Mini-RTC.

Pembangunan Luar Bandar dan Masyarakat Orang Asli

106. Kawasan luar bandar akan terus dibangunkan bagi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar.

4.5 bilion ringgit akan disediakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2013 termasuk:

Pertama : Sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan 441 kilometer projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa yang memanfaatkan 220 ribu penduduk;

Kedua : Sebanyak 1.6 bilion ringgit diperuntukkan untuk projek infrastruktur utiliti luar bandar bagi projek bekalan air kepada 24 ribu buah rumah dan projek penyambungan bekalan elektrik kepada 19 ribu buah rumah;

Ketiga : Sebanyak 137 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai Program Desa Lestari melibatkan 29 buah kampung di seluruh negara dan memanfaatkan 38 ribu penduduk. Program utama termasuk menaik taraf kilang pemprosesan hasil laut dan makanan, pembinaan jeti baru, pembinaan pusat pemasaran serta menambah baik pakej dan aktiviti homestay serta rekreasi;

Keempat : Sebanyak 88 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan program pembangunan ekonomi dan projek bekalan air bagi masyarakat Orang Asli; dan

Kelima : Sebanyak 100 juta ringgit bagi membekal 40 ribu tangki air menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Kesihatan Asas Kesejahteraan

Tuan Yang di-Pertua,

107. Kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang memuaskan.

Bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 19.3 bilion ringgit untuk perkhidmatan mengurus dan pembangunan.

108. Pembukaan Klinik 1Malaysia telah mendapat sambutan baik dan memberi manfaat dalam meringankan kos rawatan selain memudahkan akses bagi mendapatkan rawatan.

Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 20 juta ringgit bagi membuka tambahan 70 klinik pada tahun 2013.

Klinik 1Malaysia juga akan mula menyediakan perkhidmatan ujian kolesterol dan glukosa serta ujian urin kepada mereka yang memerlukan.

Selain itu, sebanyak 100 juta ringgit akan diperuntukkan untuk membaik pulih 350 klinik di seluruh negara, di samping menambah 150 buah mesin dialisis di pusat hemodialisis Kerajaan seluruh negara.

Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Tuan Yang di-Pertua,

109. Memang benar, wanita bukan sahaja penting dalam pembentukan keluarga bahagia malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Untuk itu, Kerajaan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyokong dwi peranan wanita ini dengan melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pertama : Seramai 500 wanita akan dilatih di bawah Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat;

Kedua : Program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT) akan dipertingkatkan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan kepada ibu tunggal dalam bidang keusahawanan; dan

Ketiga : Program Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu 50 ribu usahawan kecil, terutamanya wanita melonjakkan perniagaan dengan meningkatkan jualan secara atas talian dengan geran seribu ringgit melalui peruntukan 50 juta ringgit oleh SKMM.

Keempat : Peruntukan sebanyak 25 juta ringgit untuk kemudahan pemeriksaan percuma ujian Mamogram. Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan seramai 100 ribu wanita berumur 40 tahun dan ke atas.

110. Sesungguhnya Kerajaan amat menitikberatkan golongan yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah dalam memastikan mereka ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Justeru, program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak 1.2 bilion ringgit meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik.

111. Kerajaan telah melancarkan program 1AZAM atau Akhiri Zaman Miskin yang bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah.

Antara program di bawah inisiatif ini adalah Azam Kerja, Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat.

Untuk ini, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 400 juta ringgit yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 58,330 peserta.

112. Selain itu, Kerajaan telah menyediakan 2 pusat Anjung Singgah bertujuan untuk menempatkan warga emas, kanak-kanak jalanan dan mereka yang memerlukan tempat tinggal sementara sebelum mereka mendapat pekerjaan atau kemudahan tempat tinggal yang tetap.

Seterusnya, Kerajaan menambah lagi 6 pusat Anjung Singgah.
Kerajaan juga akan mewujudkan 5 Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin atau ahli keluarga yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital Kerajaan.

Belia dan Sukan

Tuan Yang di-Pertua,

113. Sukan adalah pemangkin perpaduan nasional yang terbaik kerana melibatkan semua golongan masyarakat.

Nama-nama seperti Lee Chong Wei, Nicol Anne David, Pandelela Rinong, Azizulhasni Awang dan Muhamad Ziyad adalah antara hero dan heroin sukan yang dikagumi.

Kejayaan dan pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan.

Kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara berterusan.

Untuk itu, bagi tahun 2013 sebanyak 738 juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan.

114. Kerajaan akan memperuntukkan 15 juta ringgit bagi mempersiapkan para atlet ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013, Sukan Para ASEAN 2013, Sukan Komanwel serta Sukan Asia tahun 2014.

Sebagai tambahan juga, 50 juta ringgit lagi diperuntukkan untuk tempoh 4 tahun khusus bagi persiapan Sukan Olimpik Rio 2016 di bawah program Road to Rio.

115. Bagi menggalakkan perkembangan sukan lumba basikal dan badminton, Kerajaan akan membina sebuah velodrom tertutup di Seremban dan Akademi Badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

116. Dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti tinggi, berintegriti, kreatif dan berinovasi serta berdaya saing, Kerajaan melancarkan program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di seluruh negara.

Kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya yang merupakan perhimpunan belia terbesar negara bersempena dengan perisytiharan tahun 2013 sebagai tahun kesukarelaan nasional.

117. Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah yayasan dengan nama New Enterpreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak 50 juta ringgit.

NEF akan menjadi platform bagi program latihan dan bimbingan.

118. Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan oleh SME Bank.

Dana pinjaman mudah ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi kadar faedah pinjaman sebanyak 2 peratus dan had maksimum pinjaman sebanyak 100 ribu ringgit serta tempoh bayaran balik selama 7 tahun.

119. Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam mengaspirasikan pembangunan negara.

Untuk itu, Kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia For Youth atau 1M4U untuk mereka mempersembahkan idea-idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan.

3 idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

120. Sebahagian besar daripada 22 peratus rakyat Malaysia yang menggunakan telefon pintar untuk melayari internet adalah golongan belia.
Oleh itu, bagi membuka akses golongan muda kepada lebuhraya maklumat, satu pakej khas akan diperkenalkan oleh kerajaan melalui kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi.

Melalui Pakej Komunikasi Belia, rebat 200 ringgit akan diberi secara one-off bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G melalui pengedar-pengedar rasmi.

Ia terbuka kepada belia yang berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah.

Sebanyak 300 juta ringgit telah disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta belia.

Mengiktiraf Karyawan dan Seniman

Tuan Yang di-Pertua,

121. Menjengah peranan karyawan, budayawan dan seniman dalam proses pembangunan negara, kita maklum bahawa kemajuan Malaysia tidak diukur semata-mata pada pendapatan perkapita dan pertumbuhan ekonomi.

Ia turut diukur menggunakan pelbagai dimensi.

Para karyawan memainkan peranan penting dalam meningkatkan peradaban nasional.

Sebagai menghargai peranan mereka ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah 6 juta ringgit sebagai bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan yang berdaftar.

Memperluas Jaringan Pengangkutan Awam Bandar

Tuan Yang di-Pertua,

122. Bercakap pula ehwal perkhidmatan pengangkutan awam yang baik, ia adalah nadi kepada pembangunan sesebuah komuniti.

Lanjutan daripada kejayaan pengenalan RapidKL dan RapidPenang, Kerajaan akan melancarkan RapidKuantan mulai 1 Disember 2012 bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas berkualiti di Kuantan yang dapat memanfaatkan rakyat teramai.

Syarikat Prasarana juga dalam proses untuk memperluaskan perkhidmatan ini di bandar lain seperti Ipoh, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu.

123. Kerajaan memandang serius kepentingan pengangkutan bagi orang ramai terutamanya mereka yang tinggal dan bekerja di bandar besar.

Pada masa ini, golongan OKU, pesara dan pelajar telah menikmati diskaun 50 peratus kadar tambang apabila menggunakan perkhidmatan komuter KTMB.

Sebagai lanjutan, suka saya mengumumkan, bahawa Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan diskaun 50 peratus kadar tambang ini, kepada semua warganegara Malaysia yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah.

Perumahan untuk Rakyat

Tuan Yang di-Pertua,

124. Kerajaan sedar, perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas paling utama kepada rakyat.

Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia berpeluang untuk memiliki rumah mereka sendiri.

Ini bukan sahaja satu imperatif yang bersifat ekonomi, malahan ia adalah imperatif moral bagi sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab.

Oleh itu, Kerajaan akan menjadikan hasrat ini sebagai prioriti berterusan.

Bagi tahun 2013 sahaja, suka saya umumkan, Kerajaan akan memperuntukkan 1.9 bilion ringgit bagi membina 123 ribu unit rumah dengan harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik.

Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan Perumahan Negara.

125. Sebanyak 500 juta ringgit akan dibelanjakan oleh PR1MA untuk membina 50 ribu unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara 100 hingga 400 ribu ringgit seunit.

Antara bandar-bandar utama tersebut adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bharu, Seremban dan Kuantan.

126. Di samping itu, PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan berjumlah 500 juta ringgit untuk membina 30 ribu unit rumah secara usaha sama dengan pemaju perumahan swasta.

Harga rumah yang ditawarkan di bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding dengan harga di pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka.

127. Manakala sebanyak 320 juta ringgit diperuntukkan melalui SPNB untuk membina sebanyak 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik.

Projek perumahan SPNB yang akan dilaksanakan segera termasuk membina sebanyak 1,855 unit apartmen kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh.

Unit kediaman ini akan dijual pada harga sekitar 120 ribu hingga 220 ribu ringgit seunit.

128. Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, SPNB akan membina sebanyak 21,000 unit rumah untuk tahun 2013.

Di bawah program ini, SPNB akan membina rumah berharga 65 ribu ringgit dengan subsidi sebanyak 20 ribu ringgit serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak 2 peratus.

129. Selain itu, peruntukan sejumlah 543 juta ringgit akan disediakan bagi Jabatan Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah Industrialised Building System.

Kesemua unit kediaman ini akan dijual antara 30 hingga 40 ribu ringgit seunit berbanding harga pasaran sekitar 120 ribu ringgit seunit.

20 peratus daripada keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian kepada golongan OKU.

130. Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah yang pertama, Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancarkan melalui bajet yang lalu, akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan daripada 3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit sebulan atau 10,000 ringgit sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri.

Di samping itu, syarat keperluan simpanan 3 bulan deposit serta tempoh minimum bekerja 6 bulan juga akan dimansuhkan.

Tuan Yang di-Pertua,

131. Dalam Bajet 2009, Kerajaan telah pun memberi pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara perjanjian pindah milik dan pinjaman sebuah rumah kediaman pertama yang berharga sehingga 350 ribu ringgit.

Kerajaan bercadang melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31 Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga 400 ribu ringgit.

Kajian Semula Cukai Keuntungan Hartanah

132. Menyangkut hal penawaran hartanah yang terhad terutamanya di kawasan bandar, ia membuka ruang kepada aktiviti spekulasi.

Dengan itu, Kerajaan mencadangkan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh perolehan hartanah berkenaan, dikenakan pada kadar 15 peratus dan 10 peratus bagi pelupusan hartanah dalam tempoh 2 hingga 5 tahun.

Bagi hartanah yang dilupuskan selepas tempoh 5 tahun daripada tarikh perolehannya, CKHT tidak dikenakan.

Sementelahan itu, keuntungan daripada pelupusan sebuah rumah kediaman sekali dalam seumur hidup dan pelupusan hartanah atas dasar kasih sayang antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak, datuk atau nenek dan cucu dikecualikan daripada CKHT.

Galakan Cukai untuk Memulih Projek Perumahan Terbengkalai

133. Selanjutnya, bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan 100 juta ringgit kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai.

Sebagai tambahan untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta, Kerajaan akan menyediakan insentif cukai seperti berikut:

Pertama: Institusi perbankan diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan faedah yang diterima daripada kontraktor penyelamat;

Kedua : Kontraktor penyelamat diberi potongan cukai 2 kali ke atas bayaran faedah dan semua kos langsung dalam mendapatkan pinjaman;

Ketiga : Kontraktor penyelamat diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan pindah milik tanah atau rumah dan surat cara pinjaman bagi membiayai kos pemulihan; dan

Keempat : Pembeli asal rumah terbengkalai diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan mendapat pembiayaan tambahan dan pindah milik rumah.

Bantuan dan Insentif Rakyat

Tuan Yang di-Pertua,

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

134. Sesungguhnya, Kerajaan ini adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat.

Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi.
Kerajaan ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan masa depan orang ramai.

Bukan seperti sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma, itupun percuma, hutang tak perlu bayar, hatta menjanjikan syurga semata-mata untuk berkuasa.

Namun, saya selaku Menteri Kewangan, tidak akan menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit.

Pendek kata, Kerajaan ini tidak akan mengaburi mata rakyat.

135. Menyedari hakikat inilah, Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi dan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian subsidi daripada subsidi pukal yang membawa kepada banyak ketirisan dan sehingga orang yang berada pun memperoleh, kepada subsidi yang bersasar.

Di bawah prinsip ini, subsidi akan diteruskan tetapi akan diberi hanya kepada kelompok yang betul-betul memerlukannya.

Hakikatnya, jika Kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan menghancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung akibat, seperti mana yang berlaku di sesetengah negara di dunia.

Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut berlaku.

136. Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar, Kerajaan komited bagi memastikan setiap segmen rakyat Malaysia dapat mengongsi kemakmuran negara.

Ini hanya akan berlaku, sekiranya ekonomi nasional terus tumbuh secara mapan dan kekayaan negara dapat terus dijana.

Sukacita saya mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0. Kriteria penerima tetap sama iaitu ketua isi rumah yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah.

Sebagai tambahan, sukacita juga saya mengumumkan pemberian BR1M 2.0 ini diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan.

Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak 250 ringgit.

137. Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis malah manifestasi sebuah Kerajaan bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah.

Ia memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan 3 bilion ringgit.

Ia akan dibayar mulai awal tahun 2013.

Bagi memudahkan pelaksanaan, penerima BR1M sedia ada tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru boleh mula mendaftar mulai November 2012 secara atas talian atau melalui kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua,

138. Gula yang diambil secara berpatutan adalah baik, namun sekiranya diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun.

Setakat ini, sekitar 2.6 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes.

Oleh itu, Kerajaan bercadang mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September 2012.

Kerajaan menyeru kepada para peniaga bahawa janganlah membebankan saudara se-Malaysia dengan kenaikan harga.

Sebaliknya kurangkanlah kandungan gula.

139. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kg yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 278 juta ringgit.

Malah pengurangan subsidi ini disokong oleh persatuan-persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.

140. Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak yang semakin meningkat, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 1.5 bilion ringgit bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.

Penyeragaman Harga

Tuan Yang di-Pertua,

141. Secara umumnya, harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak adalah lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi.

Bagi memastikan kos dan harga barangan dapat dikurangkan, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga, pemberian subsidi pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia.

Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 386 juta ringgit bagi memastikan harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M dan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman.

Sebagai contoh di Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kg setong dijual pada harga RM70.

Dengan program penyeragaman harga, gas memasak tersebut boleh dibeli hanya dengan RM26.60 setong.

142. Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus.

Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan.

Mempermudah Ibadah Haji

143. Sekali lagi kita memasuki musim panggilan Haji menuju Baitullah.
Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran awal menunaikan rukun ke 5 ini melalui penghadangan Akaun 2 sebanyak 1,300 ringgit.

Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528 pencarum telah menggunakan inisiatif ini.

Sebagai langkah tambahan untuk membantu bakal-bakal haji, saya ingin mengumumkan bahawa bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang.

Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga 3 ribu ringgit.

Kajian Semula Cukai Pendapatan Individu dan Koperasi

144. Kerajaan prihatin ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat serta tanggungan cukai pendapatan mereka.

Kerajaan telah pun menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan 2 rebat cukai.

Berikutan pelepasan dan rebat cukai ini, hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.

145. Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi 2,500 ringgit sehingga 50 ribu ringgit.

Langkah ini akan mengeluarkan seramai 170 ribu pembayar cukai daripada membayar cukai serta pembayar cukai pendapatan sedia ada juga menikmati penjimatan bayaran cukai mereka.

Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan 5 ribu ringgit, akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga 425 ringgit seorang.

146. Pada masa yang sama, bagi terus memacu transformasi gerakan koperasi, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan antara 1 hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai.

Dengan ini, seramai 7 juta ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai galakan untuk meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam bidang perniagaan.

Meringankan Beban Pengusaha Bas Sekolah

Tuan Yang di-Pertua,

147. Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas sekolah yang kurang memuaskan.

Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi.

Untuk itu, Kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai 10 ribu ringgit dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk.

Skim pinjaman ini diuruskan oleh BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.

148. Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit.

Usaha ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pelajar dengan perlindungan maksimum sebanyak 100 ribu ringgit dan kos premium sebanyak 40 juta ringgit untuk tempoh 2 tahun yang akan diselia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat.

Mengurangkan Kos Pembelajaran Pelajar

149. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan persekolahan.

Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion ringgit diperuntukkan pada tahun 2013.

150. Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan persekolahan 100 ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah.

Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, Kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian bantuan persekolahan 100 ringgit kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 dan bermanfaat kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit.

151. Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan pra-universiti.

Suka saya mengumumkan, bahawa nilai baucar akan ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit.

Langkah ini melibatkan peruntukan 325 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.

152. Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak.

Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak 4,000 ringgit seorang sekarang ini, dinaikkan kepada 6,000 ringgit mulai tahun taksiran 2013.

Langkah ini menunjukkan komitmen dan tumpuan Kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.

153. Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga saya mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi sehingga 3,000 ringgit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan kepada 6,000 ringgit.

154. Menurut hukum, hutang wajib dibayar.

Pinjaman PTPTN satu amanah.

Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak.

Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan.

Oleh itu, bagi memudahkan proses pembayaran balik, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa insentif.

Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan ke atas jumlah pinjaman mereka.

155. Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan.

Kita tahu Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang mencadangkan supaya hutang keseluruhan hutang PTPTN dimansuhkan.

Ini adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, siapa yang akan menanggung lebih 30 bilion ringgit hutang PTPTN.

Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia?

Bertanggungjawabkah jika kita yang berhutang masyarakat yang menanggung?

Itulah persoalannya.

Program Jalur Lebar untuk Rakyat Termiskin di Bandar

Tuan Yang di-Pertua,

156. Kerajaan akan menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun 2013 hingga 2015 di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat.

Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar bagi kegunaan harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka.

Untuk itu, SKMM akan menyediakan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.

Menggalakkan Aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)

Tuan Yang di-Pertua,

157. Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan Kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat atau ‘Corporate Social Responsibility’.

Bagi menyokong usaha Kerajaan untuk merancakkan aktiviti CSR, program yang akan dilaksanakan oleh GLC dan agensi termasuklah:

Pertama: Felda akan melaksana dan menyiapkan projek perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas 5,000 ekar tanah dalam kawasan Felda. Projek ini akan menelan belanja sebanyak 1.5 billion ringgit dalam tempoh tersebut. Di samping itu, Felda telah memperuntukkan sebanyak 60 juta ringgit bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan. Felda juga akan berbelanja sebanyak 100 juta ringgit setahun untuk program pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5000 anak generasi baru, 30 peratus atau 2,000 orang dari jumlah ini adalah terdiri dari anak-anak dari luar Felda;

Kedua: Yayasan 1MDB akan menyediakan 300 juta ringgit bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar pra-sekolah di pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif; dan

Ketiga: Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan hampir 500 juta ringgit untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam persekitaran.

Tuan Yang di-Pertua,

158. Sebaik manapun dasar yang telah digubal pihak Kerajaan tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan.

Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam negara yang merupakan jentera pelaksanaan dasar negara sama ada yang berada di peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat.

159. Kerajaan juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf peranan yang dimainkan Kementerian Kewangan sebagai pelaksana dasar fiskal negara, Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab terhadap dasar monetari negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang mengawal keutuhan pasaran modal kebangsaan.

160. Makanya, sebagai Kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji.

Seperti kita tahu, dari jumlah ini, setengah bulan telahpun diberikan menjelang perayaan Aidilfitri yang lepas, sejumlah setengah bulan gaji lagi akan diberikan pada bulan Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan diberikan pada bulan Januari nanti.

Diharapkan pemberian bonus ini akan mengurangkan beban para penjawat awam terutamanya yang berkeluarga sempena musim awal persekolahan. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??