Monday, 1 October 2012

TEKS BAJET 2013 : INILAH SEBUAH JANJI DITEPATI


PENUTUP 

Tuan Yang di-Pertua, 

161. Bajet yang baru saya bentangkan untuk tahun 2013 ini adalah bajet terakhir sebelum pilihanraya umum ke-13. 

Ia merupakan antara siri-siri bajet yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional. 

162. Dengan izin Allah SWT dan dengan sokongan serta dukungan rakyat Malaysia, InsyaAllah kita akan menyaksikan enam lagi bajet yang akan dibentangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum Malaysia berubah status daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 

163. Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru agar rakyat menilai secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional. 

Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. 

Tuan Yang di-Pertua, 

164. Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan. 

Secara berlapang dada, dalam sebuah negara yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga ada hak namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa akan mendapat mandat melalui peti undi. 

165. Kini, masanya hampir tiba apabila rakyat Malaysia akan membuat pilihan bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka. 

Persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah, sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan adakah hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi. 

Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada. 

Tuan Yang di-Pertua, 

166. Pujangga bermadah, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak. 

Kita akur, Kerajaan BN tidak bebas dari kekhilafan tetapi yang membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadu’an untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain. 

Tuan Yang di-Pertua, 

167. Pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan rekod mereka. 

Kerana mereka bukannya tidak dikenali rakyat Malaysia. 

Malah, ada di kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. 

Tidak cukup dengan itu, hari ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai Kerajaan. 

168. Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan. 

Hakikatnya, jika ketika berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang. 

Tuan Yang di-Pertua, 

169. Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatnya? 

Jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa. 

170. Ini berbeza dengan kerajaan BN. 

Apabila berjanji, ditepati. 

Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. 

Bukannya mengambil sikap asal menang, segalanya-galanya sanggup dipertaruhkan. 

Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana. 

Tuan Yang di-Pertua, 

171. Kata Plato “The measure of a man is what he does with power”

Justeru, hari ini, kita dapati, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa, sanggup menggadai segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa. 

Kerajaan BN, dibimbing prinsip “fastabiqul khairat” sepertimana terkandung di dalam ayat al-Quran yang saya baca pada awal ucapan tadi, iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan. 

Sedangkan pegangan puak sana tampaknya “fastabiqul fasad”, iaitu berlumba-lumba membuat onar kerosakan. 

172. Kalau kita lihat lagi, hakikatnya Kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak lain yang ingin menjadi Kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan kebencian.

Kerajaan difitnah dan dituduh semahunya. 

173. Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN dengan amal perbuatan bukannya retorik. 

Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan. 

Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda kasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap. 

174. Sesungguhnya, kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. 

Malaysia yang makmur dan aman. 

Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. 

Mudah-mudahan dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah realiti dari impian. 

Kepada Allah kita berserah. 


1 comment:

  1. I thinκ the admin οf thіs website iѕ truly worκing hard in favor of hiѕ web ѕіte, for the reason that here eνery information is quality baseԁ material.
    my web page - 12 month loans

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??