Tuesday 13 May 2014

#PRKTelukIntan: PENGUNDI #P076 MAHU AHLI PARLIMEN YANG BERFUNGSI BUKAN SEKADAR HIASAN !!!


Pengundi bagi kerusi Parlimen Teluk Intan mahu bakal wakil rakyat mereka nanti seorang yang mesra rakyat dan mampu memahami hasrat dan aspirasi mereka.



“Kita perlukan ahli Parlimen yang boleh menyuarakan hasrat dan memberi perkhidmatan kepada rakyat apabila mereka berdepan masalah,” kata seorang peniaga Gobi Ramdas, 34.

Kawasan Parlimen itu yang merangkumi bandar Teluk Intan, kawasan perladangan, sawah serta kampung tradisi di daerah Hilir Perak, merupakan sebuah kawasan yang sedang membangun.

Dengan jumlah pengundi melebihi 60,000 yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan jumlah terbesar iaitu 45 peratus bekerja sebagai peniaga dan diikuti dengan pekerja kerajaan dan swasta (35 peratus), diikuti dengan mereka yang terbabit dengan pertanian (15 peratus), cita rasa para pengundi kawasan ini hampir sama.

Gobi berkata beliau juga mahu mereka yang menjadi calon wakil rakyat mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri ataupun pusat supaya masalah mereka didengar dan diambil tindakan.

Bagi Tan Meng Wah, 53, seorang anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beliau tidak mahu calon yang hanya pandai menabur janji kosong dan tidak turun padang untuk mendengar permasalahan rakyat setempat.

Suri rumah, Fatimah Sahat, 65, berharap calon wakil rakyat kawasan Parlimen Teluk Intan ini mampu membawa perubahan dari segi pembangunan dan kemudahan infrastruktur yang memberi keselesaan kepada rakyat kawasan itu kerana sebelum ini wakil pembangkang tidak mampu membantu.

“Kami tidak mahu termakan dengan janji palsu pembangkang yang hanya turun padang bila ada pilihan raya tetapi selepas itu hilang tak nampak muka. Pembangkang juga tak pernah nak selesaikan masalah rakyat dengan alasan mereka bukan kerajaan yang memerintah,” katanya.

Peniaga Nur Haneem Baharuddin, 30, berharap calon yang dipilih parti-parti yang bertanding adalah mereka yang mampu bekerja dan mesra rakyat, dan bukan hanya pandai bercakap tetapi mempunyai rancangan membangunkan kawasan Telun Intan. Pilihan Raya Kecil kerusi Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 1 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas, Seah menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK Teluk Intan pada 19 Mei dan pengundian pada 31 Mei.

Sebanyak 60,349 pemilih berdaftar layak pengundi pada PRK kali ini yang terdiri daripada Cina 25,310 orang (41.94 peratus), Melayu 23,301 (38.61 peratus), India 11,468 (19 peratus) dan kaum-kaum lain.

Sementara itu, jumlah pengundi wanita di kawasan parlimen Teluk Intan adalah 31,049 (51.45 peratus) dan lelaki 29,300 (48.55 peratus)

Pengundi paling ramai adalah mereka yang berumur antara 30 hingga 39 tahun merangkumi 12,365 pengundi (20.49 peratus); diikuti 12,242 (20.29 peratus) berumur 50 hingga 59 tahun dan 11,446 (18.97 peratus) berumur 40 hingga 49 tahun.

PRK Parlimen Teluk Intan merupakan PRK keenam selepas PRU-13 bermula dengan PRK DUN Kuala Besut, Terengganu pada 24 Julai 2013, DUN Sungai Limau, Kedah (4 November 2013), DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014), DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014) dan Parlimen Bukit Gelugor (25 Mei ini). – BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??