Monday 10 August 2015

@NajibRazak MAHU KEYBOARD WARRIOR TETAPI DIMANA KETUA-KETUA PENERANGAN UMNO ?!!


Semalam, Najib ada sebut supaya lebih ramai ahli UMNO untuk jadi 'keyboard warrior', maka ada juga yang sasau!

Najib berpesan kepada ahli-ahli UMNO, yang puak pembangkang sentap dah kenapa, sejak bila isi borang UMNO?


Ada juga yang salah faham isi pesanan Najib berkaitan 'keyboard warrior ni'.

Najib tak suruh jadi cytro atau blogger, tapi sekadar jadi keyboard warrior je pun dengan menjawab isu-isu berkaitan yang mana jawapan tu mudah dijumpai di portal-portal berita dan juga di blog-blog pro-kerajaan.

Tak susah pun, 'copy paste' dan 'share' sahajalah! 

Selain menjawab, boleh juga jadi 'kaki viral' perkara-perkara atau info-info positif berkaitan parti.

Selain ahli biasa, pada aku pemegang jawatan UMNO yang WAJIB menjadi keyboard warrior adalah Ketua Penerangan semua peringkat.

Setiap cawangan UMNO sekurang-kurangnya ada 3 Ketua Penerangan (Cawangan, Wanita dan Pemuda) dan 4 Ketua Penerangan jika ada sayap Puteri.

Setiap bahagian UMNO pula ada 4 Ketua Penerangan (Bahagian, Puteri, Wanita dan Pemuda).

Jika satu bahagian ada 50 cawangan, paling minima pun UMNO sepatutnya ada 153 orang keyboard warrior (tanpa ambil kira sayap Puteri kerana ada cawangan yang tiada sayap Puteri), bayangkan jika ditambahkan dengan sayap Puteri pasti hampir 200 orang. Betul tak?

Jumlah tersebut jika didarab dengan 191 Bahagian pula, UMNO sepatutnya ada lebih 30 ribu orang keyboard warrior. Ini sekadar congakan aku sahaja lah sebab aku ambil angka minima.

Ini belum lagi dicampur dengan Penerangan dan biro-biro berkaitan dalam UMNO Pusat.

Soalnya sekarang dimana Ketua-Ketua Penerangan ini? Apa peranan mereka? Dimana gelanggang mereka membuat kerja-kerja penerangan? Tak kan selfie wefie memanjang? Apakah masih leka ber'lifestyle'?

Yang puak-puak Pemuda pula lebih ghairah menjadi KAUNTER PERTANYAAN dan blogger bebas pula yang kena jawab pada agen-agen KAUNTER PERTANYAAN Pemuda ni!

Nak harapkan pada Facebooker/Twitterian/Blogger bebas yang bukan ahli UMNO tetapi menyokong kerajaan dan Perdana Menteri sahaja ke untuk buat kerja-kerja penjelasan dan penerangan?

Kalau begitu, eloklah letak jawatan atau jawatan tu dimansuhkan, betul tak...


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata UMNO perlu mewujudkan lebih ramai 'keyboard warriors' bagi menangkis persepsi negatif terhadap parti di media sosial. 
Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata perkara ini perlu memandangkan pembentukan minda masyarakat hari ini banyak bergantung kepada persepsi berbanding realiti. 
Beliau menyifatkan penyebaran fitnah kini 'di hujung jari' disebabkan ruang siber menjadi medan perjuangan penting berbanding sebelum ini secara fizikal atau berhadapan. 
Najib berkata UMNO kini dalam kemelut kerana pihak pembangkang tahu bagaimana untuk memanipulasi medan baharu itu. 
"Pembangkang tidak perlu buat banyak. Mereka cuma perlu timbulkan persepsi, keraguan dan persoalan. Tidak perlu 'deliver' apa-apa. 
"Mereka hanya perlu timbulkan persoalan di minda rakyat, yang cukup untuk menghakiskan kepercayaan kepada parti," kata beliau ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini Ahad. 
Mengambil contoh isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), antaranya dakwaan mengenai kerugian RM42 bilion dan mempunyai RM16 bilion aset yang tidak bernilai, perdana menteri menegaskan ia bukan fakta sebenarnya, sebaliknya diputarbelitkan melalui media sosial sehingga menimbulkan persepsi negatif kepada syarikat berkenaan. 
"Kalaulah aset-aset ini tidak bernilai, masakan hari ini ada tawaran berbilion ringgit untuk membeli janakuasa Edra, tawaran untuk membeli Tun Razak Exchange (TRX) dan tawaran untuk membeli Bandar Malaysia. 
"Saya beritahu dalam masa lima bulan akan datang, hutang 1MDB akan dapat dikurangkan kepada tahap yang jauh lebih rendah. Saya atau pihak 1MDB akan umumkan secara berperingkat," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan. 
Najib turut membidas sebilangan anggota UMNO yang mudah mempercayai 'persepsi negatif' yang dilemparkan di medan sosial sehingga melupakan segala inisiatif baik kerajaan Barisan Nasional yang telah memberi manfaat kepada rakyat. 
"Malaysia Airlines (dulu) memang rugi, kita suntik dana RM6 bilion, tapi saya tak perlu kupas. Dulu tiada media sosial, tau-tau dah habis isu itu. Sekarang ni, belum jadi apa-apa, dah meletup jadi panas, jadi sasaran tiba-tiba. 
"Tak adil, kalau nak kira kerugian (1MDB), banyak lagi isu lain. 1MDB belum ada kerugian sebab kita masih ada aset. Ada hutang yang boleh kita selesaikan. Ini perspektifnya yang saya nak letakkan," kata beliau. 
Walhal, kata Najib, dalam pentadbiran negara, banyak yang telah dilakukan oleh kerajaan BN termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), program pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan penggandaan nilai pasaran tiga kali ganda oleh syarikat berkaitan kerajaan (G20) dalam masa 20 tahun. 
Merujuk kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Najib berkata hasil daripada GST akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk program faedah rakyat yang akan diumumkan beliau pada pembentangan Bajet 2016 Oktober ini. 
"(Bagaimanapun) Saya berterima kasih kepada UMNO Johor dalam memberi teguran membina, bahawa mereka sokong bagi saya merungkai segala permasalahan yang melanda UMNO," kata beliau. 
Merujuk kepada isu pembinaan jambatan bengkok, beliau dalam nada spontan berkata, "nak buat jambatan bengkok, saya serah kepada UMNO Johor tetapi mesti kena ada asasnya." - BERNAMA



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??