Saturday, 23 February 2013

FADZILAH KAMSAH DAN KELUARGA DISERANG !!! JIHAD FADZILAH KAMSAH !!!



Bismillahirrahmanirrahim.

As salamu’alaikum sahabat yang dimuliakan Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Didoakan semuga kita semua dirahmati Allah SWT.


Saya terpanggil untuk memberi penjelasan kerana maruah keluarga saya terjejas dan untuk mengelakkan salah faham dan penjanaan dosa yang berterusan.

Saya tak mampu nak jawab semua isu, cuma nak sebut mana yang termampu.

Mempertahankan maruah diri dan keluarga adalah jihad dan jika mati dalam usaha mempertahankan maruah diri dan keluarga, insya-Allah di kira mati syahid.

Pertamanya saya memohon ampun dan maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan komen saya tersebut.

Saya cuma seorang rakyat biasa dan bukan bercakap sebagai orang politik.

Saya langsung tidak bermaksud untuk memalukan mana-mana pihak.

Amat malang sekali bila komen saya dipolitikkan hingga menyebabkan kemarahan berbagai pihak.

Rakaman temuramah tersebut dilakukan di PWTC selepas majlis Bantuan Amal Palestin.

Saya telah ditemuramah lebih 10 kali oleh berbagai stesyen TV, radio, akhbar, majalah dan blogger.

Suasana sekitar yang agak bising menyebabkan saya menguatkan suara saya untuk menenggelamkan kebisingan dipersekitaran.

Ini menyebabkan suara saya dianggap kasar bila menjawab soalan-soalan yang diajukan.

Bila dah menjawab terlalu banyak soalan, maka soalan daripada blogger (penemuramah terakhir) saya jawab dalam kedaan yang tergesa-gesa dan mungkin tak berfikir dengan mendalam.

Bila bercakap tentang kezaliman, saya memberikan pandangan secara umum dan membandingkan situasi di Malaysia dan situasi dan penderitaan rakyat Palestin.

Di Majlis Bantuan Amal palestin itu kita telah diterangkan melalui ucapan YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai kezaliman Israel terhadap saudara seIslam kita di Palestin.

Itu sebab saya katakan, berbanding penderitaan rakyat Palestin, kita di Malaysia amat bahagia dan tidak dizalimi.

Inilah konteks hujah saya ketika itu.

Sejak kecil saya telah dididik oleh ibubapa dan guru-guru saya untuk sentiasa berbuat baik kepada orang lain, membantu orang lain setakat kemampuan dan mendoakan kebaikan orang lain.

Justeru, saya amat sedih bila orang mendoakan kehancuran saudara seIslam sama ada di Malaysia atau dimana-mana didunia ini.

Saya juga amat sedih jika tindakan kita itu disalah ertikan oleh orang bukan Islam di Malaysia.

Tindakan sedemikian juga boleh memberi gambaran yang kurang positif kepada anak-anak yang masih belum mampu berfikir dengan rasional seperti orang dewasa.

Saya yakin masih banyak cara yang lebih tertib dan berhikmah yang boleh digunakan.

Saya lihat diri saya sebagaai guru dan pendakwah kerdil (walaupun saya bukan ustaz dan jahil agama), dan akan berterusan mencari ilmu, berkongsi ilmu dan membantu sesiapa saja yang perlukan bantuan nasihat dan kaunseling.

Inilah jihad kecil yang saya akan lakukan hingga akhir hayat saya.

Saya juga telah memberi teguran setakat kemampuan kepada berbagai pihak termasuk media di Malaysia melalui kursus yang saya kendalikan atau program motivasi dimedia tempatan.

Insya-Allah teguran saya tidak tertumpu kepada pihak-pihak yang tertentu sahaja.

Saya tak takut kepada sesiapapun didunia ini, saya cuma takut kpd Allah SWT.

Di Mekah dan Madinah tempohari saya telah berpesan kepada sahabat-sahabat dari Malaysia untuk tidak lupa mendoakan keselamatan Malaysia, agar semua orang Islam di Malaysia bersatu dan kita mati dalam husnul khatimah.

Saya amat sedih bila gambar-gambar anak-anak saya yang sudah lebih 9 tahun yang lalu, disebarkan semula.

Gambar anak lelaki saya dan isterinya juga disebar seolah-olah gambar masa berdating, walhal itu gambar-gambar selepas mereka berkahwin.

Insya-Allah anak-anak saya telah berubah dan saya telah berwasiat kepada mereka untuk: Jaga solat 5 waktu, baca Quran tiap hari, tutup aurat setiap masa, buat apapun dengan terbaik, bantu orang dan jangan menyusahkan orang lain.

Pesan Nabi SAW: Barangsiapa yang menutup aib saudaranya, maka Allah akan tutup aibnya didunia dan diakhirat.

Saya seru diri saya dan sahabat yang dimuliakan supaya tidak mengaibkan sesiapa didunia ini.

Bila nampak orang buat silap, nasihatkan dia jika mampu dan doakan agar Allah beri mereka hidayat, segera bertaubat dan dapat berubah.

Bila kita mengutuk orang lain, kita seolah-olah mengatakan kita ni sempurna dan kita lebih baik daripada orang yang di kutuk itu.

Ingat pesanan Imam al Ghazali: Jika kamu nampak orang jahat depan kamu, jangan sangka kamu lebih baik daripada orang itu.

Orang yang jahat itu mungkin sempat bertaubat sebelum mati, dan kita yang kononnya baik ini (pastinya banyak dosa) belum pasti sempat bertaubat sebelum mati.

Kita tidak maksum dan semua kita buat silap.

Orang yang bertaubat, insya-Allah akan diampunkan semua dosanya.

Moga sahabat yang mulia dapat ampunkan semua dosa kami sekeluarga.

Dengan rendah diri saya memohon agar saudara Norsammudin dapat menurunkan atau delete video tersebut dan semua sahabat dapat delete gambar-gambar yang boleh memalukan keluarga saya.

Doakan saya sekeluarga agar dapat menjadi insan yang Allah redha dan dapat memberi sumbangan kepada rakyat di Malaysia.

Salam hormat dan salam ukhwah daripada saya sekeluarga.

Moga Allah rahmati dan lindungi kita semua. Aamiin. Wassalam.

- Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah


No comments:

Post a comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??