Dr Asri pernah mengeluarkan kenyataan agar dihentikan tindakan mengendap pasangan khalwat atau zina.
Menurutnya ia bertentangan dengan prinsip hak peribadi, Islam tidak menggalakkan manusia mendedahkan perbuatan maksiat dan prinsip amar makruf nahi munkar hanya terpakai bila perbuatan jenayah dan maksiat dilakukan secara terbuka.
Kita rungkai persoalan itu satu persatu.
(1) Menyalah-tafsirkan makna hak peribadi menurut Islam.
Dr. Asri Zainul Abidin mengatakan amalan tersebut adalah bertentangan dengan prinsip hak peribadi menurut ajaran Islam dan juga terjumlah kepada suatu tindakan pencerobohan.
Penjelasan: Di dalam Islam, hak peribadi diiktiraf selagi ia tidak bercanggah dengan hukum Syarak.
Tidak ada di dalam Islam apa yang dinamakan hak atau kebebasan untuk melakukan maksiat atau kemungkaran.
Seorang muslim tidak hanya diseru menjauhi munkar dan maksiat, malah diseru agar mengelak dari tempat-tempat yang meragukan, yakni menimbulkan salah tanggap orang lain terhadap dirinya.
Sabda Rasulullah s.a.w.;
دَعْ ما يَرِيبُكَ إلى ما لا يَرِيبُكَ
“Elakkanlah dari yang meragukan kepada yang tidak meragukan”.
(Riwayat Imam at-Tirmizi dan an-Nasai. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh)
Berkata Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah (Hukum-Hakam Pemerintahan) dalam bab berkenaan al-Hisbah (Tugas menjalan amar makruf nahi munkar);
“Jika orang yang bertanggungjawab menjalankan tugas amar makruf nahi munkar (yakni al-Muhtasib) telah melihat seorang lelaki bersama seorang wanita di satu jalan yang sunyi, maka kedududukan jalan yang sunyi itu merupakan suatu yang menimbulkan keraguan (terhadap pasangan tersebut), maka hendaklah ia menegah mereka, namun janganlah tergesa-gesa mengenakan hukuman/denda ke atas mereka berdua kerana dibimbangi wanita itu adalah mahramnya.
Jika ia dapati wanita itu adalah mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada lelaki tersebut; ‘Jagalah wanita kamu itu dari tempat-tempat yang mendatangkan keraguan’.
Adapun jika ia mendapati wanita itu bukan mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada lelaki itu; ‘Takutlah kepada Allah dari bersunyian (dengan wanita yang bukan mahram) yang akan membawa kamu kepada melakukan maksiat kepada Allah’.
Dan cara ia bertindak mencegah perkara tersebut hendaklah bergantung kepada tanda-tanda yang dilihatnya”. (Halaman 376)
Jika berada di satu jalan yang sunyi sudah dianggap meragukan, maka bagaimana jika seorang lelaki dan wanita yang diketahui bukan muhrim dilihat oleh orang yang mengenali mereka telah menyewa bilik yang sama, tidakkah itu lebih meragukan ?
Adakah hal sedemikian perlu dibiarkan dengan alasan menjaga hak peribadi ?
(2) Terdapat kenyataan beliau di dalam akhbar; “Islam tidak menggalakkan manusia untuk pergi mendedahkan perbuatan maksiat”.
Penjelasan; Sememangnya Islam tidak menggalakkan pendedahan maksiat, namun harus diingat bahawa Islam juga mewajibkan maksiat dicegah apabila ia berlaku atau diketahui akan berlaku.
Pencegahan terhadap munkar menjadi tanggungjawab yang amat besar di dalam Islam.
Ini dibukti dengan banyaknya ayat di dalam al-Quran yang mewajibkan umat Islam melaksanakan tugas al-Amru Bil-Makruf Wa an-Nahyu ‘Anil-Munkar (Mengajak kepada makruf dan mencegah dari Munkar).
Mengikut banciannya, sebanyak sembilan kali perintah tersebut diulang oleh Allah di dalam al-Quran.
Apabila dua orang yang bukan mahram dilihat atau diketahui berada dalam satu bilik yang tertutup, adakah mereka tidak perlu diselidiki atau dicegah dengan alasan Islam tidak membenarkan pendedahan maksiat atau munkar ?
Apakah apabila telah berlakunya zina dan perempuan yang terlibat dilihat mengandungkan anak haram, ketika itu barulah pencegahan boleh dibuat ?
Kita meyakini bahawa para pegawai agama yang menjalankan operasi pencegahan maksiat, niat dan tujuan mereka pergi ke sarang maksiat atau ke tempat-tempat yang dikhuatiri berlaku maksiat bukan untuk mendedah maksiat tetapi untuk menyelidik dan melakukan pencegahan jika didapati maksiat/munkar benar-benar berlaku.
Tugas ini menepati peranan Hisbah yang telah lama dihuraikan oleh ulamak-ulamak Islam dalam kitab-kitab karangan mereka.
Malah menurut ulamak, peranan Hisbah ini merupakan salah satu cabang tugas atau tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dalam sebuah pemerintahan Islam.
Huraian lebih terperinci tentang Hisbah ini akan kita kemukakan di depan nanti.
(3) “Prinsip amr makruf nahi munkar hanya boleh dilaksanakan apabila sesuatu perbuatan maksiat dan jenayah dilakukan secara terbuka”.
Penjelasan; Kenyataan tersebut pada amnya benar, namun ia memerlukan penjelasan lanjut untuk mengelak kekeliruan.
Dalam Sistem Pemerintahan Islam terdapat satu jawatan khusus yang dinamakan al-Hisbah.
Orang yang menjawatnya dinamakan dengan al-Muhtasib.
Jawatan Hisbah tersebut berperanan secara rasmi bagi menangani tugas dalam negara untuk mengajak orang ramai kepada makruf (melaksana perintah Allah) dan mencegah munkar dan maksiat.
Menurut ulamak, antaranya Imam al-Mawardi; Al-Muhtasib (orang yang menjawat jawatan Hisbah tersebut) hendaklah benar-benar menjalankan peranannya tersebut.
Tidak harus ia meninggalkan peranan tersebut kerana urusan-urusan yang lain.
Atas dirinya tugas amar makruf nahi munkar adalah fardhu ‘ain yang tidak boleh diabaikannya.
Kenyataan tersebut menggambarkan kepada kita bahawa betapa pentingnya tugas amar makruf dan nahi munkar dalam sebuah negara dan masyarakat Islam pada pandangan ulamak. (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 363)
Dalam hal berkaitan dengan perbahasan kita, Imam al-Mawardi menjelaskan;
“Harus al-Muhtasib untuk menyelidik kemungkaran-kemungkaran yang diketahui secara zahir dengan tujuan untuk mencegahnya dan juga menyemak jika ada perkara makruf (perintah Allah) yang diabaikan dengan tujuan untuk mengajak orang ramai melaksanakannya…”.
Sememangnya munkar yang menjadi tanggungjawab al-Muhtasib menurut ulamak ialah munkar yang dzahir.
Lebih jelas, para ulamak meletakkan tiga syarat bagi munkar yang hendak dicegah oleh al-Muhtasib;
a) Munkar itu adalah munkar yang zahir.
b) Munkar itu ialah munkar yang sedang berlaku atau dikhuatiri berlaku, yakni bukan munkar yang telah berlalu (kerana munkar yang telah berlalu menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mengenakan hukuman).
c) Munkar itu bukanlah yang diiktilafkan terhadap hukum munkarnya.
Namun demikian, perlu difahami bahawa syarat pertama (iaitu “Hendaklah munkar itu zahir”), bukan bermaksud hanya munkar yang berlaku terang-terangan atau di depan mata sahaja yang perlu diselidiki dan dicegah.
Secara tepatnya, syarat tersebut bermaksud; “Hendaklah munkar itu terdedah kepada al-Muhtasib atau sampai ke pengetahuannya, bukan melalui intipannya”.
Menurut penjelasan Dr. Abdul-Karim Zaidan;
“Termasuk dalam pengertian munkar yang zahir (nyata) ialah mana-mana tempat yang dirasai oleh al-Muhtasib dengan sangkaan yang ghalib bahawa terjadi munkar di situ, maka wajib atasnya untuk keluar ke tempat tersebut dan melakukan pemeriksaan serta pencegahan.
Tidak harus ia mengabaikan perkara tersebut dengan duduk di rumahnya dengan alasan munkar itu belum berlaku atau belum diketahui…”. (Usul ad-Dakwah, hlm. 190).
Berhubung dengan hukum melakukan intipan oleh al-Muhtasib, menurut Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah; larangan-larangan Allah (maksiat atau munkar) yang tidak zahir (yakni yang tidak terdedah atau tidak sampai ke pengetahuan al-Muhtasib), tidak harus ia membuat intipan terhadapnya.
Oleh demikian, tidak harus al-Muhtasib mengintai-ngintai ke dalam rumah seseorang untuk melihat ada berlaku munkar atau tidak.
Namun dalam pada itu, beliau (yakni Imam al-Mawardi) menegaskan; jika al-Muhtasib merasai dengan sangkaan yang ghalib bahawa ada kumpulan atau pasangan sedang merancang secara rahsia untuk melakukan munkar berdasarkan tanda-tanda atau kesan-kesan yang dapat dilihat atau menjadi petunjuk, maka dalam hal ini, hendaklah diperhatikan jenis munkar tersebut;
Pertama; Munkar dari jenis yang boleh membawa kepada rosaknya kehormatan jika dibiarkan seperti pembunuhan atau penzinaan.
Contohnya; al-Muhtasib telah diberi tahu oleh seorang yang siqah (dapat dipercayai) bahawa seorang lelaki sedang bersunyian dengan seorang wanita (yang bukan mahram) untuk berzina dengannya.
Dalam kes ini menurut Imam al-Mawardi, harus al-Muhtasib membuat intipan dan melakukan tinjauan atau siasatan.
Kedua; Munkar dari jenis yang tidak sampai pada tahap tersebut, maka tidaklah harus dilakukan intipan oleh al-Muhtasib.
(Rujuk; Halaman 379-380)
Itu adalah ulasan Imam al-Mawardi tentang munkar yang berlaku secara tertutup.
Adapun munkar atau maksiat yang dilakukan di tempat terbuka (di taman, di tepi jalan, tempat-tempat reakreasi dan sebagainya), apa yang dapat kita fahami dari tulisan beliau dalam kitab tersebut ialah; munkar-munkar yang berlaku secara terang-terangan tidak harus dibiarkan sama sekali.
Menjadi kewajipan al-Muhtasib (atau pegawai agama yang bertangjawab hari ini) untuk melakukan tindakan mencegahnya sama ada dengan amaran atau disusuli dengan denda/hukuman jika perlu.
Malah beliau menyebutkan;
“Jika seorang lelaki terang-terangan meminum arak di khalayak ramai, jika ia seorang muslim, maka hendaklah dicurahkan araknya dan dikenakan hukuman ke atasnya. Jika ia seorang kafir zimmi, hendaklah didenda atas kesalahan meminum arak secara terang-terangan (bukan atas kesalahaan meminumnya)”. (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 377).
Wallahu-a’lam...
Sumber : MI
No comments:
Post a Comment