Sunday 25 November 2012

UMNO BUKAN BATU LONCATAN BUAT SISWA DAN SISWI !!!



Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan mahasiswa dalam dan luar negara agar tidak mempergunakan parti itu sebagai batu loncatan bagi mencapai kepentingan diri sendiri.
   
Mereka sepatutnya perlu terus kekal setia dan menyayangi Umno kerana parti itu mempunyai wadah perjuangan yang jelas untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari sempena Wacana Kepimpinan Mahasiswa Nasional institusi pengajian tinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
   
"Jangan guna Umno sebagai batu loncatan. Jangan kerana kita tak faham (wadah perjuangan), akhirnya makan diri sendiri," katanya.
   
Tengku Adnan berkata mahasiswa perlu sentiasa mengingati asal usul masing-masing dan bagaimana mereka mampu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, termasuk ke luar negara.
   
"Saya meminta keikhlasan, tolong jangan bermain api," katanya.

Program yang disertai mahasiswa dari 150 institusi pengajian tinggi tempatan negara dan 72 perwakilan Kelab Umno luar negeri itu bertujuan mendedahkan peserta kepada hala tuju perjuangan pemimpin Umno pada masa kini.
   
Melalui program itu, mahasiswa dan golongan muda diharap dapat memain peranan masing-masing dalam meneruskan perjuangan pemimpin parti.
   
Seorang peserta, Nik Muhammad Amiruddin Mohd Sakeri, 18, berkata program itu memberi ruang kepada mahasiswa mengetahui kebenaran tentang isu politik semasa dan membuka mata mereka agar lebih berhati-hati dalam menerima sesuatu maklumat.
   
Muhamad Anas Misbahudin, 20, pula berkata wacana itu membantu membina platform kerjasama antara pelajar dalam dan luar negara dengan kerajaan.
   
"Pemimpin boleh berkongsi pengalaman bagaimana menjadi pemimpin yang baik sekaligus menolak persepsi negatif tentang keadaan politik di negara ini yang dimanipulasi pelbagai pihak," katanya. - Bernama


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??