Polis Melaka menahan lapan individu termasuk empat warga asing yang dipercayai terlibat dalam penipuan wang palsu bernilai hampir RM10,000 di sekitar negeri itu antara Januari hingga awal November lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan Soh Hock Sing berkata, kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 26 tahun itu ditahan selepas dikesan oleh pihak bank dan pekerja pasar raya.
"Kita berjaya merampas wang palsu bernilai RM9,970 dengan RM4,960 berjaya di kesan melalui bank manakala RM4,810 dikesan oleh pihak pasar raya," kata beliau kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini.
Menurut beliau, kesemua wang palsu yang dirampas itu melibatkan 91 keping wang kertas RM100, 17 keping wang kertas RM50 dan dua keping wang kertas RM10.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan cubaan pihak tidak bertanggungjawab dalam mengedarkan wang palsu tersebut terutama melibatkan wang kertas bernilai RM100 dan RM50. - Kosmo!
No comments:
Post a Comment