Sunday 25 November 2012

SEBAB TUN M PILIH HADI DAN BUKAN ANWAR !!!



Presiden Pas, Hadi Awang mempunyai kelebihan berbanding Anwar Ibrahim untuk beliau dianggap oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin layak diangkat sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pentadbiran negara pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dua sarjana yang juga pemerhati politik tanah air berpendapat, sebagai negarawan yang sudah puluhan tahun bergelumang dalam arena politik negara, Dr Mahathir sudah tentu mempunyai cukup keupayaan untuk menilai kelayakan dua tokoh pembangkang itu, apa lagi beliau sendiri pernah berdamping rapat dan mempunyai hubungan kerja yang sangat dekat dengan Anwar.

"Tun (Mahathir) sudah tentu mampu melihat kelebihan pada Abdul Hadi berbanding Anwar dan dia juga tahu siapa yang lebih baik untuk rakyat dan negara," kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Berbanding Anwar, katanya, Abdul Hadi tiada krisis atau masalah peribadi.

"Isu peribadi mampu menjejaskan kredibiliti seseorang pemimpin jika dia sering dikaitkan dengan imej negatif," katanya.

Sehubungan itu, katanya, keyakinan Dr Mahathir bahawa Abdul Hadi lebih layak jadi Perdana Menteri berbanding Anwar adalah satu pandangan perlu dikongsi orang ramai kerana pemimpin Pas itu tidak mempunyai sejarah seperti Anwar.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian berkata, perkara yang paling utama dilihat Dr Mahathir dalam membuat penilaian itu sudah tentu aspek moral yang membezakan kedua-duanya.

“Tun Mahathir melihat kelebihan yang ada pada Abdul Hadi berbanding Anwar yang pernah didakwa atas tuduhan moral sebelum ini. Selain itu, Abdul Hadi juga memimpin parti besar pembangkang, iaitu Pas yang merupakan sebuah parti yang berstruktur dan tersusun.

“Mungkin inilah salah satu faktor yang menyebabkan Abdul Hadi dipilih oleh Tun Mahathir,” katanya.

Sivamurugam berkata, seseorang Perdana Menteri mempunyai tanggungjawab besar memastikan wujudnya kestabilan berterusan dalam negara.

“Ciri-ciri penting seorang Perdana Menteri ialah mampu memelihara kestabilan, keselamatan dan urus tadbir serta permuafakatan dengan mempertahankan perpaduan masyarakat rencam,” katanya. - Sinar


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??