Barisan Nasional (BN) mendesak Kerajaan Negeri Selangor menjelaskan percanggahan ketara melibatkan penilaian aset dibuat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bernilai RM113 juta berbanding RM375 juta dibuat Sulaiman & Co iaitu jurunilai dilantik Talam Corporation Berhad (Talam).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Sulaiman Abdul Razak berkata, penilaian dibuat itu meragukan kerana terdapat perbezaan melibatkan aset Talam bernilai RM262 juta.
Berdasarkan kertas putih penstrukturan hutang Talam dibentangkan Kerajaan Negeri Selasa lalu, nilai tanah Talam berstatus pertanian di Bukit Beruntung yang dibuat oleh JPPH adalah RM113 juta manakala Sulaiman & Co pula mencatatkan nilainya sebanyak RM375 juta.
“Apabila melibatkan kepentingan orang ramai dan kerajaan maka sudah pasti penilaian JPPH bernilai RM113 juta digunakan tetapi Menteri Besar tak nak malah memilih penilaian Sulaiman bernilai RM375 juta yang dilantik Talam,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Dalam perkembangan sama, Adun Kuala Kubu Baru, Wong Koon Mun menyifatkan tanah di Bukit Beruntung berstatus ‘pembangunan bercampur’ bukannya tanah pertanian tetapi bagaimana ia boleh dinilai pada harga RM375 juta.
Katanya, lebih meragukan adalah penukaran status tanah dibuat Talam pada 1994 masih belum diselesaikan kerana ketika itu, syarikat itu tidak membayar caruman perparitan sebanyak RM4 juta.
“Begitu juga dengan tanah Talam di Ulu Yam yang mana Sulaiman & Co. menetapkan nilai tanah itu sebanyak RM12 juta tetapi Kerajaan Negeri mengambil tanah itu pada nilai RM18 juta,” katanya.
Menurutnya, beliau mempertikaikan tindakan Kerajaan Negeri menjadikan perjanjian tersebut sebagai rujukan kerana pada 14 Julai 2009, Kerajaan Negeri mengarahkan semua agensinya membatalkan perjanjian dengan Talam. - Sinar
No comments:
Post a Comment