Wednesday, 23 May 2012

"KEMPEN 1 DALAM SEJUTA" FACEBOOK PM


S
ertai "Kempen 1 Dalam Sejuta" Facebook PM

Datuk Seri Najib Tun Razak mengundang pengikut Facebook beliau menyertai "Kempen 1 Dalam Sejuta" untuk merebut peluang bertemu dengan Perdana Menteri.

Najib berkata sejak mula berkecimpung dalam dunia media sosial, pertemuan seumpama itu banyak membantu beliau mengetahui isu-isu yang menyentuh kehidupan rakyat negara ini.

Katanya hasrat untuk meluangkan masa dengan rakan-rakan online telah lama dinyatakan, dan cara terbaik adalah untuk bertemu dan bersemuka.

"Selepas bertemu dengan beberapa pengikut Twitter saya baru-baru ini, saya ingin bersua pula dengan rakan-rakan Facebook saya.

"Oleh itu, untuk memilih rakan online saya yang bertuah, saya ingin mengundang semua rakyat Malaysia - termasuk anda - untuk menyertai kempen 1 Dalam Sejuta," katanya.

Memaklumkan perkara itu menerusi entri terbaru di blog www.1Malaysia.com, hari ini, Perdana Menteri berkata mereka yang berhajat hanya perlu melawati laman Facebook beliau untuk mendaftar.

Sambil menyatakan yang beliau menantikan penyertaan semua, Najib juga mengingatkan supaya berita dan peluang itu turut dikongsi dengan keluarga dan rakan-rakan.

"Sekiranya rakan yang anda jemput dipilih sebagai pemenang, anda juga mungkin berpeluang untuk turut hadir bersama dengan mereka," katanya.

Pada 21 Mac lepas, Najib menyatakan hasratnya untuk bertemu dan minum petang bersama pengikut Facebook ke satu juta sebagai tanda terima kasih beliau terhadap sokongan rakan media sosialnya sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Perdana Menteri pertama kali mengadakan pertemuan dengan sekumpulan rakan-rakan onlinenya pada 13 Mac 2010 dengan menjemput mereka menghadiri majlis jamuan teh di Seri Perdana, Putrajaya.

Rakan-rakan online yang bertuah menyertai jamuan itu dipilih setelah mengisi borang kehadiran yang disediakan di laman blog Najib, www.1Malaysia.com.my. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??