Thursday, 24 May 2012

PEMILIH DIMINTA SPR UNTUK SEMAK BUTIRAN DARI SEKARANG !!!


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua yang telah berdaftar sebagai pemilih, terutama yang mendaftar pada suku pertama tahun ini, agar menyemak butiran mereka dengan SPR dari sekarang.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata semakan itu perlu bagi SPR membuat pindaan atau pembetulan jika ada kesilapan, sebelum pilihan raya umum ke-13 berlangsung.

"Jangan tunggu sehingga hari mengundi baru nak semak, ini akan menyukarkan kedua-dua pihak jika berlaku kesilapan dan sebagainya sebab kita tak tahu bila pilihan raya akan diadakan," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Inovasi dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPR 2011, di sini pada Isnin.

Sehubungan itu juga katanya SPR akan mengadakan kempen semakan daftar pemilih secara besar-besaran selama sebulan bermula 1 hingga 31 Jun ini di seluruh negara.

Beliau juga meminta 100,000 pemilih yang dikesan mempunyai alamat sama agar mengemas kini maklumat mereka dengan SPR bagi mengelak kesulitan apabila pilihan raya berlangsung kelak.

"Ini kerana segala butiran atau pindaan tidak boleh dibuat menerusi talian, SMS atau panggilan telefon kepada SPR, malah mengikut undang-undang SPR tidak ada hak untuk meminda alamat atau apa-apa butiran melainkan pemilih sahaja yang berhak membuat pertukaran dan pindaan tersebut," katanya.

Beliau berkata pemilih yang ingin melakukan pindaan perlu mengisi Borang A dan pindaan yang dibuat sebelum suku kedua tahun ini berakhir akan dipamerkan pada minggu ketiga bulan Ogos nanti.

Mengenai poster pilihan raya, Abdul Aziz berkata SPR akan memutuskan sama ada mewajibkan parti politik yang bertanding meletakkan nama pencetak dan penerbit pada poster yang mempunyai slogan parti.

"Perkara ini akan diputuskan esok dalam mesyuarat panel SPR. Dulu kita tarik balik arahan tersebut," katanya menjelaskan perkara tersebut hanya meliputi poster yang tidak dicetak dan poster berslogan.

Poster yang hanya memaparkan gambar calon dan nama kawasan yang ditandingi tidak termasuk dalam peraturan ini, katanya. - BERNAMA






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??