Tuesday 25 December 2012

RAKYAT MALAYSIA PERAMAH - DUTA PAKISTAN !!!



Tempoh perkhidmatan Masood Khalid selaku Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia mungkin singkat, tetapi berdasarkan ucapan perpisahannya, beliau terharu dengan layanan rakyat Malaysia yang peramah dan mesra.

Selepas kira-kira dua tahun berada di sini, Masood, yang bakal bertukar ke Beijing, China akan meninggalkan Malaysia dengan nostalgia indah.

"Saya seronok tinggal di sini, walaupun tempohnya singkat. Saya seronok menikmati keindahan negara anda, makanan, adat resam, budaya dan rakyat Malaysia yang bersemangat," katanya pada majlis perpisahan dan penghargaan anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan baru-baru ini.

"Dan saya sendiri merasai pengalaman berhubung sentimen istimewa terhadap rakyat Pakistan di mana-mana saya pergi. Malah dalam kalangan orang lelaki yang saya temui di jalanan, apabila saya berkata saya dari Pakistan, saya dapat melihat sentimen istimewa dan keramahan yang ditunjukkan terhadap rakyat Pakistan. Ia amat menyentuh hati saya dan keluarga," kata Pesuruhjaya Tinggi itu.

Mengimbau kembali hari-hari awal ketika beliau bertugas di sini pada Ogos 2010, beliau berkata terkejut apabila mendapati rakyat Malaysia banyak mengetahui tentang beriani.

"Setiap orang yang saya jumpa bercakap tentang beriani. Ia merupakan kejutan bagi saya kerana saya tidak tahu Malaysia tahu banyak perkara tentang beriani," katanya.

Bagaimanapun, mengetepikan tentang beriani, beliau berharap Pakistan dan Malaysia dapat meningkatkan kesedaran tentang budaya kedua-dua negara melalui pertukaran kebudayaan.

Beliau menyatakan terdapat banyak persamaan antara dua budaya kerana nilai agama, sejarah dan penggunaan meluas bahasa Inggeris.

Masood juga menekankan peranan yang dimainkan oleh Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan merujuk hubungan perdagangan dua hala, dan berkata ia boleh bertindak sebagai platform untuk menembusi peluang perniagaan di Pakistan.

Ditubuhkan pada Mac tahun lepas, majlis itu dipengerusikan Datuk Mohamad Salim Fateh Din, yang Masood percaya telah membuat permulaan yang baik dengan menganjurkan pelbagai aktiviti, termasuk menghantar delegasi ke ekspo yang diadakan baru-baru ini di Pakistan dan mengadakan sesi padanan perniagaan untuk usahawan kedua-dua negara.

Masood juga mengumumkan pengiktirafan terhadap Mohamad Salim berhubung sumbangan dan peranannya dalam meningkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, kerajaan Pakistan akan menganugerahkan beliau Pingat Kecemerlangan, yang akan diserahkan kepada beliau sempena sambutan Hari Pakistan, 24 Mac tahun depan.

Apabila ditanya berhubung tempat baru tugasan beliau, Masood berkata beliau tidak sabar untuk bertugas di sana dan menyifatkan bertugas di China adalah 'tugasan penting bagi setiap diplomat Pakistan'.

Sementara itu, Mohamad Salim, bersetuju dengan penubuhan majlis itu, usahawan Malaysia kini mempunyai platform untuk menembusi pasaran Pakistan.

"Kita kini boleh bercakap mengenai isu ekonomi dan sosial serta perkara lain yang sebelum ini tidak dibincangkan oleh ahli perniagaan kedua-dua negara. Majlis ini adalah platform penting untuk menerajui lebih banyak interaksi perniagaan termasuk sosial dan pertukaran budaya," katanya. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??