Tuesday 25 December 2012

KALIMAH ALLAH UNTUK KRISTIAN - PAS DENGAN GUAN ENG GADUH LAGI !!! SANDIWARA SEMASA !!!



PAS dan ulama membidas tindakan Lim Guan Eng membangkitkan semula isu menuntut Kerajaan Pusat membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Tindakan itu kata mereka bukan saja akan mengelirukan umat Islam malah menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak menghormati keputusan yang sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. 

Guan Eng dalam perutusan khas sempena Krismas di laman blognya, semalam menggesa Kerajaan Pusat diterajui Barisan Nasional (BN) membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu. 

Ahli Majlis Syura Ulama PAS yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud Iraqi, berkata tindakan Setiausaha Agung DAP itu mengelirukan umat Islam di negara ini.

“PAS mengambil pendirian seperti diputuskan Majlis Syura parti sebelum ini, tidak bersetuju dengan desakan mana-mana pihak berhubung isu berkenaan.

“Kita tidak boleh lawan Majlis Syura yang sudah putus perkara ini sebelum ini, kalau lawan.... jadi benda lain. Kita tidak akan ikut, pakai dia (Guan Eng), sebab dia keliru banyak, nak guna benda karut.

“Tapi terpulang kepada kerajaan (Persekutuan), kalau nak buat. Bagi PAS, kita bantah, tidak boleh guna perkataan itu,” katanya kepada BH.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi mahu Guan Eng berhenti daripada membangkitkan isu itu kerana boleh mencetuskan kekeliruan umat Islam. 

“Tindakan Guan Eng itu boleh mencetuskan semula polemik yang sudah lama reda. Isu ini tidak perlu ditimbulkan lagi dan sepatutnya beliau merujuk kepada ulama sebelum mengeluarkan kenyataan seperti itu secara terbuka.

“Isu kalimah Allah ini bukan boleh dijadikan polemik kerana ia sangat sensitif dan boleh menimbulkan ketegangan agama jika tidak ditangani dengan baik,” katanya.

Nasrudin berkata, jika masyarakat agama lain masih tidak memahami isu itu sewajarnya ia dibincangkan secara tertutup bersama ulama bagi mengelakkan ketegangan agama.

Ditanya sama ada PAS akan bertemu dengan Guan Eng berhubung isu terbabit, Nasrudin berkata, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Sebelum ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 sudah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah.

Muzakarah memutuskan bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam serta tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama lain.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad berkata, negeri itu mewartakan kalimah Allah sebagai antara 40 perkataan yang tidak boleh digunakan bukan Islam.

Beliau berkata peraturan itu dikuatkuasakan pada zaman pakatan pembangkang memerintah dan dipersetujui Guan Eng sebagai pemimpin tertinggi. 

“Jabatan Mufti Pulau Pinang sudah putuskan perkataan seperti Allah, haji, masjid contohnya hanya boleh digunakan mereka yang beragama Islam.

“Dia (Guan Eng) pun tahu perkara ini, kita sudah maklum dan peraturan ini sudah diwartakan, pelik juga beliau cakap macam tu,” katanya. 

Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Muhamad berkata, keputusan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible perlu dihormati semua kaum. - Berita Harian


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??