Sunday 4 November 2012

REMAJA 14 TAHUN PANDU KERETA BAPA DAN MAUT !!!


Tindakan berani seorang pelajar tingkatan dua memandu kereta bapanya mengundang padah apabila terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta menyebabkan dia dan tiga lagi maut dalam nahas di Kilometer 38.5, Jalan Air Panas-Kesang dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kemalangan berlaku pada pukul 11.15 malam.

Mereka yang maut ialah Mohd. Hafiz Helmi, 14; pemandu Perodua Myvi, Mohd. Shahir Mat Sahat, 27, dan dua rakannya, Hairul Nizam Alias, 34, serta Mohammad Izzuddin Usop, 21.

Beliau berkata, kereta Toyota Corolla yang dipandu Mohd. Hafiz dari arah Air Panas ke Kesang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh Perodua Myvi.

Mohd. Hafiz yang merupakan pelajar tingkatan dua SMK Iskandar Shah, Jasin, dikatakan baru memandu sejauh 700 meter dari rumah mereka di Rumah Awam, Kesang sebelum kemalangan berlaku.


"Saya reda dengan apa yang berlaku, cuma satu yang saya pelik, siapa yang memandu kereta sedangkan Mohd. Hafiz sebelum ini tidak pernah menghidupkan enjin kereta, inikan pula memandu."

Demikian kata Helmi Othman, 42, bapa kepada Mohd. Hafiz yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 38.5, Jalan Air Panas-Kesang malam kelmarin.

Menurut Helmi, kali terakhir dia berbual dengan anaknya pada pukul 8.30 malam di rumah mereka di Rumah Awam Kesang dan ketika itu anaknya memberitahu teringin makan mi segera.

Helmi juga mendakwa, dia tidak sedar bila anak kedua daripada tiga beradik itu keluar rumah kerana tertidur.

"Saya hanya tahu Hafiz tiada di rumah pada pukul 11.30 malam apabila ada orang telefon beritahu kereta saya terlibat dalam kemalangan.

"Apabila diperiksa, kereta saya tiada di luar dan Hafiz pula tiada di bilik," katanya.

Dakwanya, sejurus tiba di tempat kejadian, dia terkedu melihat mayat anaknya terbaring tidak bernyawa di dalam kereta tersebut.

Sumber : Kosmo!



1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??