Friday 7 December 2012

120 SUKARELAWAN MALAYSIA TIBA DI GAZA BERSAMA BANTUAN !!!



Misi Persaudaraan Aman Palestin (AP) 2012 yang disertai 120 sukarelawan tiba di sini pada Khamis bagi menyampaikan bantuan daripada rakyat Malaysia bernilai RM1.8 juta.

Misi yang dianggotai golongan profesional, artis, atlet dan penuntut itu memasuki Gaza pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (11.40 malam waktu Malaysia) selepas menaiki bas selama enam jam dari Kaherah melalui Terusan Suez, Ismailliya, bandar Sinai dan Arish.

Ketua Pegawai Eksekutif AP Awang Suffian Awang Piut berkata perjalanan jauh itu berbaloi kerana mereka membawa pelbagai bentuk sumbangan termasuk ubat-ubatan serta pembiayaan mikro, iaitu mekanisme untuk membantu penduduk Gaza membina semula kehidupan mereka.

"Kami membawa ubat-ubatan bernilai RM120,000 serta bantuan berjumlah RM315,000 untuk keluarga miskin dan RM300,000 bagi anak yatim di Gaza. Jumlah ini sememangnya tidak mencukupi," katanya kepada Bernama di Rafah.

Katanya sebanyak RM900,000 diperuntuk di bawah program pembiayaan mikro bagi membantu petani dan nelayan membina semula perniagaan mereka yang terjejas teruk dalam serangan terkini Israel.

Katanya bagi tujuan itu, mereka akan menandatangani satu perjanjian dengan Bank Al-Quds yang akan melaksanakan program.

"Kami diberitahu Perdana Menteri Palestin sangat berminat dengan program itu dan kemungkinan besar akan hadir pada majlis tersebut," katanya.

Ketibaan pasukan itu ke Gaza disambut pegawai kerajaan, diketuai Ketua Pembebasan Sekatan Abu Usama Kurd yang juga bekas Menteri Komuniti.

Menurut Abu Usama, kehadiran delegasi Malaysia terutama badan bukan kerajaan sudah menjadi perkara biasa di Gaza dan penduduknya sangat menghargai usaha untuk membantu perjuangan rakyat Palestin itu.

"Gaza kini menjadi pusat tarikan dunia Islam dan negara lain. Satu daripada negara paling berpengaruh dalam membina semula semenanjung ini ialah Malaysia, sebuah negara yang banyak membantu kami pada masa sukar," katanya pada majlis meraikan ketibaan pasukan di Pusat Imigresen Gaza.

Beliau juga berharap Gaza akan menjadi pusat yang menyatukan semua negara, terutama negara Islam, sekali gus meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Palestin sendiri.

"Pasukan ini, yang terbesar dari Malaysia setakat ini, akan terus mendorong kami untuk meneruskan dengan perjuangan. Kehadiran anda sekalian menunjukkan sentimen kemenangan kepada semua penduduk Gaza, terima kasih semua," katanya.

Misi enam hari itu bertujuan menyatakan semangat persaudaraan dan sokongan rakyat Malaysia kepada semua mangsa dalam serangan terkini regim zionis. Pasukan itu akan melawat hospital, mangsa dan juga anak yatim bagi mengenal pasti keperluan mereka.

Sementara itu, ikon AP Farrah Adeeba Mohd Asyraf berkata tindakan membawa kumpulan besar ke sini amat bagus kerana dapat menyedarkan mereka bahawa Gaza merupakan kawasan paling padat di dunia dengan penduduk berjumlah 1.7 juta.

"Saya sudah ke sini sebanyak dua kali dan saya tahu kesannya kepada saya secara peribadi. Saya fikir mereka yang baru pertama kali sampai akan lebih teruja untuk melakukan sesuatu selepas menyaksikan sendiri keadaan di sini.

"Kunjungan ini akan terus mendorong mereka untuk menyokong perjuangan Palestin selepas kembali ke tanah air," katanya.

AP merupakan organisasi Malaysia pertama di Semenanjung Gaza yang memulakan kegiatan amal di sini pada 2006, terutama dalam melaksanakan projek bagi meningkatkan perkhidmatan perubatan serta menjaga kebajikan pelarian. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Yang Mana Pilihan Kalbu??